Pages

Friday, November 12, 2010

Pengenalan Usul Fiqh


NURDINIE BINTI KAMAL (A135364)
SYAHIRAH BINTI MOHDAS (A135445)
AINUN MARDZIAH BINTI MAT SIDI (A134045)
NUR SYUHAIDAH BINTI MUHAMAD ROZALI (A132037)



PENDAHULUAN

Usul fiqh merupakan satu-satunya manhaj ilmiah untuk mengistinbat hukum syarak. Ia merupakan panduan untuk memahami serta mentafsirkan nas-nas al-Quran  dan al-Sunnah ketika merumus hukum hakam dan mendabit pemikiran mahupun ijtihad. Pentafsiran yang dilakukan adalah yang berkaitan dengan hukum syarak dan hukum-hakam yang dimaksudkan hanyalah hukum - hakam amali bukan hukum-hakam akidah. Perkataan amali bermaksud semua perbuatan termasuk perbuatan hati.

Di samping itu juga, manhaj bukanlah teknik atau sistem kajian ilmiah sebaliknya ia adalah jalan (al-tariqah) yang akan memandu seseorang pengkaji menemui kebenaran sama ada dalam bentuk berita yang hendak dipastikan kesahihannya iaitu perkhabaran melalui periwayatan yang sampai kepada asal atau isu yang hendak dipastikan kebenaran atau kepalsuan buktinya. Manhaj ilmiah juga adalah suatu ilmu yang telah disaring serta lengkap yang boleh diyakini untuk dijadikan sumber ilmu.

Syarat manhaj pula ialah ia mestilah yang telah sedia wujud dalam diri manusia iaitu secara semulajadi dalam dasar pemikiran manusia. Ia bukanlah ciptaan dan rekaan kerana jika ia adalah suatu rekaan, maka pasti memerlukan kepada manhaj yang lain untuk memastikan manhaj yang pertama tepat, benar dan seterusnya memenuhi spesifikasi ilmiah. Selain itu, melalui manhaj yang telah sedia wujud ini juga merupakan penyeru atau penyokong kepada pembaharuan dan tidak sewenang-wenangnya boleh dipermain atau mengubah hukum syarak. Maka, asas-asas hukum yang kononnya hendak diperbaharui itu tidak akan terhasil dengan dawabit yang yang terikat kemas dan mempunyai manhaj yang mengawalnya. (Muhammad Adib bin Samsudin 2010: 70)


Oleh itu, pengenalan terhadap usul fiqh akan diterangkan secara terperinci dalam penulisan ini untuk kita mengetahui kaedah pengistinbatan hukum dengan menggunakan kaedah usul fiqh. Definisi usul fiqh yang meliputi pentakrifan secara Idafiyy dan laqabiyy, mawdu’ usul fiqh, sejarah perkembangan, kaedah penyusunan serta faedah mempelajarinya akan dikupas secara terperinci di dalam penulisan ini.

TAKRIF USUL FIQH

Perkataan usul fiqh adalah kombinasi daripada dua perkataan al-Usul dan perkataan al-Fiqh. Daripada kedua-dua perkataan ini digabungjalinkan menjadi satu rangkaian perkataan iaitu Usul al-Fiqh. Oleh itu, untuk memberikan definisi kepada ilmu usul fiqh ini boleh dilihat dari dua sudut atau pendekatan.

Pertamanya ialah definisi secara Idafiyy atau dengan kata yang lain definisi secara Idafiyy ialah melihat kepada tiap-tiap perkataan iaitu perkataaan usul dan perkataan al-fiqh. Seterusnya makna bagi setiap perkataan itu digabungkan menjadi satu definisi yang dapat menyampaikan maksud dengan jelas dan inilah yang diistilahkan sebagai ilmu Usul al-Fiqh. Keduanya ialah definisi secara mufrad iaitu dengan melihat pada kedua-dua perkataan itu sebagai satu rangkaian yang khusus tanpa dipisahkan antara satu sama lain. (Azhar bin Abdul Aziz 1993:73)

Oleh itu, ahli-ahli usul telah mentakrifkan ilmu ini dari sudut istilah dengan iktibar kepada  dua bahagian. Berikut ialah pentakrifan secara Idafiyy dan pentakrifan secara laqabiyy.


PENTAKRIFAN SECARA IDAFIYY

Setiap perkataan mempunyai maksud yang tersendiri. Begitulah pentakrifan yang ingin dibuat melalui pentakrifan secara Idafiyy. Sandaran perkataan ‘USUL’ kepada ‘FIQH’ iaitu kedua-dua perkataan ini saling bersandar dan tidak akan berdiri sendiri akan tetapi masing-masing mempunyai maksud yang tersendiri.

Perkataan usul yang terdapat dalam perkataan usul al-fiqh adalah kata jamak yang diambil daripada perkataan ASL yang bererti asal bagi sesuatu yang menjadi asas atau dasar bagi pembinaan sesuatu perkataan sama ada secara hissiyy atau ‘aqliyy. Contohnya membina atap di atas tiang sama maksudnya dari definisi usul iaitu membina hukum di atas dalil. Maka di sini, tiang dan dalil ialah asal kerana sesuatu yang dibina ke atasnya. ( Sofiah Ahmad Khalifah 2005:40)

Manakala perkataan usul dari segi istilah pula ialah:

1)      Dalil. Misalnya kepada kefardhuan solat  :

أَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Ertinya: Maka dirikanlah solat.
(Al-Baqarah 2 : 83)

Ini bermakna kewajipan menunaikan solat berdasarkan kepada dalil al-Quran di atas.

2)      Kaedah yang berterusan. Contohnya keharusan memakan bangkai  berlawanan dengan hukum asal iaitu kaedah yang sentiasa dipakai ialah hukum memakan bangkai itu haram kecuali keadaan darurat.

3)      Rajih. Misalnya pada percakapan itu ialah hakikat iaitu yang rajih pada pendengar itu adalah sesuatu yang hakikat.

4)      Sesuatu untuk dijadikan sebagai qiyas. Contohnya rukun qiyas  terbahagi kepada empat iaitu  al-asl, hukum al-asl, furu’ dan ‘illah.


Sementara itu, perkataan al-fiqh dari segi bahasa adalah bermaksud faham. Selain itu, perkataan fiqh juga ditakrifkan sebagai mengetahui maksud atau tujuan seseorang. (al-Amidiyy 1909:10 )

Manakala pengertian fiqh mengikut istilah hukum syarak  pula ialah:

Mengetahui ketentuan hukum-hukum syarak yang tertakluk kepada perkataan dan perbuatan orang-orang yang mukallaf yang didapati hukum-hukumnya daripada dalil-dalil yang terperinci. ( Al-Asnawiyy 2005: 1/8 )

Hukum syarak secara amali ialah perkara yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf, seperti solat, puasa, zakat, jual beli dan jenayah. Dalam syarat amali ini ialah setiap yang bersangkut paut dengan perkara ibadat  dan muamalat. Maka dalam konteks ini, tidak termasuk apa-apa yang berkaitan dengan hukum-hukum iktikad seperti beriman dengan Allah dan hari kiamat. Begitu juga dengan akhlak, terkeluar daripada topik ini. Semua ilmu ini tidak dibahaskan dalam ilmu usul fiqh, kerana ilmu-ilmu ini dibincangkan dalam ilmu tauhid. Disyaratkan juga dalam hukum syarak secara amali ini mestilah diistinbat oleh mujtahid daripada dalil-dalil tafsiliyy. ( Sofiah Ahmad Khalifah 2005:52 )
Contohnya:

Mengetahui bahawa berniat ketika waktu berwuduk itu hukumnya adalah wajib. Dalilnya diambil daripada hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar daripada Rasulullah S.A.W bersabda:

Ø  إنما الأعمال بالنيات

“ Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat ”

Riwayat Bukhari dan Muslim




PENTAKRIFAN SECARA LAQABIYY 

Pentakrifan secara laqabiyy adalah takrifan yang dibuat melaui gabungan perkataan USUL dan FIQH yang memberi satu makna yang khusus. Maka menurut takrifan secara laqabiyy, Usul Fiqh ialah mengetahui dalil-dalil fiqh secara ijmaliyy (umum) dan cara cara mengistinbat hukum dari dalil-dalil ijmaliyy tersebut serta hal ehwal mujtahid. (Azhar Abdul Aziz 1992: 80)  

Berdasarkan kepada takrif yang diberikan, maka definisi Usul al-Fiqh mengandungi tiga pecahan yang kecil iaitu mengetahui dalil-dalil fiqh secara ijmaliyy (umum), mengetahui cara-cara untuk  mengistibat  hukum daripada dalil-dalil ijmaliyy dan mengetahui hal  keadaan para mujtahid.
Mengetahui dalil-dalil fiqh secara ijmaliyy (umum)

Maksud dalil adalah setiap yang boleh membawa kepada maksud yang dikehendaki setelah dibuat penelitian sama ada secara qat’iyy atau zanniyy. Kewujudan dalil juga akan dapat membuktikan sesuatu hukum. Mengetahui dalil-dalil fiqh bermaksud mengetahui semua hal yang bersangkut paut dengan dalil tersebut seperti lafaz amr (perintah) dalam dalil menunjukkan kepada wajib ketika tidak ada qarinah yang mengkehendaki selain daripada makna wajib. Contohnya, ungkapan  أَقِيمُوا الصَّلَاةَ  adalah salah satu daripada dalil. Perkara yang berkaitan dengannya ialah perkataan أَقِيمُوا  kerana ia adalah perintah dan ia menunjukkan kepada wajib. Oleh itu perintah supaya mengerjakan sembahyang adalah wajib.

Selain itu, penyandaran kepada perkataan al-fiqh juga untuk menunjukkan bahawa pengetahuan tentang fiqh itu mestilah secara menyeluruh sama ada dalam perkara yang disepakati atau perkara yang ada perselisihan di kalangan ulama.(Azhar Abdul Aziz 1992: 82)  
 
Perkataan ijmal di dalam takrif pula untuk menunjukkan keadaan dalil. Ia tidak boleh digunakan untuk menerangkan keadaan  ke macrifah kerana jika dihubungkan kepada perkataaan macrifah akan merosakkan makna. Di samping itu, dalil- dalil secara umum itu adalah hal kepada dalil iaitu mengetahui himpunan dalil secara ijmaliyy yang terkandung di dalamnya al-amr secara mutlak dan al-nahy secara mutlak.

Mengetahui cara-cara untuk  mengistibat  hukum daripada dalil-dalil ijmaliyy.    
Firman Allah S.W.T:
أَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Ertinya: Maka dirikanlah solat.
(Al-Baqarah 2 : 83)

Ia adalah satu dalil tafsiliyy iaitu ayat Al-Quran al –Karim. Ia mengandungi perintah (amr). Berdasarkan kaedah yang umum seseorang mujtahid mampu untuk mengistinbatkan hukum dari ayat di atas seperti berikut:
Setiap perintah bermaksud wajib, maka ayat di atas merupakan perintah- maka kesannya: solat adalah wajib. ( Mohd Zamro Muda et.al 2001: 75 )

1)      Mengetahui hal  keadaan para mujtahid.

Para mujtahid adalah golongan yang mengeluarkan hukum daripada dalil. Dengan itu, maksud mengetahui hal keadaan mereka ialah mengetahui sifat-sifat mereka dan mengetahui syarat-syarat yang perlu ada pada mereka untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dengan sempurna sebgai seorang ahli mujtahid. Golongan muqallid iaitu mereka yang mengikut pendapat para mujtahid terhadap sesuatu hukum yang dikeluarkan tidak termasuk  kerana bukan ahli mujtahid. (Azhar Abdul Aziz 1992: 86)  
 



MAWDUC USUL FIQH

Mawduc usul fiqh ialah dalil-dalil yang berbentuk ijmaliyy dari aspek untuk dijadikan sebagai asas kepada pensabitan hukum-hukum yang berbentuk kulliyy yang membawa kepada pengistinbatan hukum-hukum fiqh daripada dalil-dalil tafsiliyy. (Abd al-Fattah al-Shaykh 1994:9)

 Dalil-dalil ialah ijmaliyy sumber daripada al-Kitab iaitu al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qiyas dan lain-lain.

             Dalil-dalil yang berbentuk ijmaliyy   itu adalah perkara kulliyy yang terdapat di bawahnya perkara-perkara juz’iyy. Al-Amr iaitu dalil kulliyy yang terkandung di bawahnya semua tuntutan untuk melakukan sesuatu. Contohnya perintah bagi mendirikan solat. Mendirikan solat adalah tuntutan Allah yang wajib dilakukan oleh setiap muslim. Manakala al-nahy pula ialah dalil kulliyy yang terkandung di bawahnya semua tuntutan untuk meninggalkan sesuatu. Sebagai contoh, larangan pengharaman zina. Pengharaman zina adalah tuntutan Allah untuk meninggalkan perbuatan zina.
  
             Aspek untuk dijadikan sebagai asas kepada pensabitan hukum yang berbentuk kulliyy bermaksud mengeluarkan hukum kulliyy daripada dalil-dalil seperti al-wujub, al-nadb, al-hurmah, al-karahah, al-sihhah, al-fasad dan lain-lain. Sebagai contoh, larangan pengharaman zina hukumnya haram. Oleh itu, perkara yang membawa kepada pengistinbatan hukum-hukum fiqh iaitu secara langsung atau paling dekat adalah dengan menggunakan kaedah usul iaitu bukan ilmu kalam atau ilmu bahasa Arab.( Abd al-Fattah al-Shaykh 1994:10)






SEJARAH PERKEMBANGAN USUL FIQH

Usul Fiqh merupakan ilmu yang mempunyai kedudukan yang sangat tinggi,  berpengaruh serta paling banyak faedah kerana ia bertanggungjawab sepenuhnya mengenai pengistinbatan hukum syarak daripada al-Quran dan al-Sunnah. Dengan ungkapan lain, ia adalah manhaj atau metode yang merupakan pegangan dan panduan yang menjadi ukuran untuk memahami serta mentafsirkan nas-nas al-Quran mahupun hadis dalam merumus hukum hakam serta mendabit pemikiran dan ijtihad.

Kewujudan ilmu usul fiqh yang merupakan manhaj ilmiah dalam bentuk yang tersusun pada hari ini pada hakikatnya melalui sejarah perkembangan yang panjang. Sejarah perkembangan usul fiqh amat penting untuk kita mengetahui dengan lebih mendalam. Ini kerana kita akan dapat dengan lebih jelas mengenai perkembangan ilmu usul fiqh ini yang menjadi panduan kepada umat zaman dahulu hingga sekarang.


 ZAMAN RASULULLAH

Ilmu usul fiqh sebagai satu manhaj ilmiah pada hakikatnya telahpun wujud sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi tetapi dari segi penulisan serta pembukuan manhaj ini hanya lahir setelah berlalu separuh daripada usia al-salaf al-salih.

Pada zaman Rasulullah, tidak memerlukan kepada pengumpulan dan pembukuan kepada kaedah usul ini kerana Nabi Muhammad S.A.W adalah ‘sumber hukum’ terhadap segala permasalahan yang timbul.  Hukum-hukum diambil daripada wahyu iaitu dalam bentuk al-Quran dan penjelasan Baginda iaitu al-Sunnah. Segala perkara yang berlaku dirujuk kepada Rasulullah. Baginda akan menjawab secara terus berdasarkan ayat al-Quran yang diturunkan atau penjelasan Baginda sendiri. pengistinbatan hukum bermula dengan al-Quran dan berakhir dengan ijtihad. Rasulullah S.A.W adalah satu-satunya ‘sumber’ hukum ketika itu kerana al-Quran diturunkan melalui Baginda dan hadis juga merupakan wahyu Allah S.W.T kepada RasulNya S.A.W. (Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali 2009:7)

 ZAMAN SAHABAT

Setelah kewafatan Junjungan Besar S.A.W, para Sahabat walaupun mula mengistinbat hukum syarak, namun keperluan kepada dokumentasi kaedah usul masih tidak mendesak kerana faktor penguasaan bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran di samping ‘persahabatan’ rapat dengan Rasulullah S.A.W dan mengetahui sebab turun ayat mahupun sebab wurud hadis bahkan mereka sendiri adalah perawi hadis menyebabkan mereka orang paling mengetahui rahsia-rahsia perundangan Islam. Tambahan pula, mereka dikurniakan dengan kelebihan yang istimewa iaitu kejernihan jiwa, ketajaman fikiran dan kecerdasan akal. (Muhammad Adib bin Samsudin 2010:93)

    Pada zaman perkembangan ilmu usul fiqh ini juga, sebarang masalah yang timbul dirujuk kepada para Sahabat. Mereka berupaya mengistinbat hukum terus dari al-Quran dan sunnah kerana beberapa faktor, antaranya:

1.      Penguasaan bahasa Arab yang baik membolehkan mereka memahami al-Quran dan sunnah dengan tepat.
2.      Mempunyai pengetahuan tentang nuzul ayat dan sebab-sebab sebuah hadis diucapkan.
3.      Mereka merupakan para perawi hadis. Oleh itu, mereka tidak perlu kepada metod tertentu untuk menentukan kesahihan sesebuah hadis.

             Faktor-faktor ini menyebabkan para Sahabat memiliki kepakaran yang cukup untuk mengistinbat hukum-hukum. Mereka menetapkan sesuatu hukum dengan merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Seterusnya, apabila mereka mendapati tiada sebarang ketetapan hukum tentangnya, mereka akan berijtihad dengan menggunakan qiyas. Inilah cara yang digunakan oleh para mujtahid dari kalangan para Sahabat seperti Abu Bakar,Umar,Uthman dan Ali. Manakala kata sepakat yang diperolehi oleh para Sahabat  adalah ijmak.( Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali 2009:7 )

                                                                            
 ZAMAN TABI’IN

Era tabiin selepas itu tidak banyak berubah memandangkan kaedah usuliyyah yang diperlukan oleh mujtahid untuk mengistinbat hukum telah sedia ada dan sebati dalam diri mereka. Oleh itu, mereka tidak perlu kepada pembukuan asas-asas dan kaedah-kaedah ini dalam bentuk istilah-istilah mahupun undang-undang bertulis kerana ia pada hakikatnya wujud dalam diri mereka tetapi dalam bentuk anugerah (jibillah) dan bakat (malakah).
 Pada zaman tabi’in ini juga, cara ulama mengambil hukum tidak jauh bezanya dengan zaman sahabat. Persamaan ini disebabkan jarak masa mereka kewafatan Rasulullah tidak terlalu jauh. Cuma jika sesuatu hukum itu tidak terdapat dalam al-Quran, al-Sunnah dan  ijmak, mereka akan merujuk pada pandangan Sahabat sebelum mereka berijtihad. Oleh sebab itu idea untuk menyusun ilmu usul fiqh belum muncul ketika itu. Inilah cara yang dilakukan oleh  Syuraih dan Ibrahim bin Najai’.( Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali, 2009:9)

 ZAMAN KEMUNCULAN ILMU USUL FIQH

Setelah berlaku zaman tabi’in, keadaan umat Islam semakin berubah. Selain itu, bilangan umat Islam yang bertambah ramai juga menyebabkan pencampuran antara orang Arab dan orang bukan Arab. Kesannya, penguasaan bahasa Arab di kalangan orang-orang itu sendiri menjadi lemah. Pada masa itu juga timbul banyak masalah baru yang tiada ketentuan hukumnya dalam al-Quran dan al-Sunnah secara jelas. Keadaan tersebut menyebabkan para ulama mula menyusun kaedah-kaedah tertentu yang dinamakan ilmu usul fiqh untuk dijadikan landasan kepada ijtihad mereka. Ini berlaku pada akhir kurun kedua hijrah. Hal seperti ini memerlukan ijtihad daripada para mujtahid untuk mengembangkan lapangan ijtihad dan penetapan hukum syariat Islam terhadap persoalan-persoalan tersebut. Di samping itu, pintu perbahasan dan analisa semakin terbuka lebar sehingga semakin luas skop pembentukan hukum fiqh. Semua hukum tersebut dibuat bersandarkan apa yang digunakan pada zaman Rasulullah dan Sahabat. Dan yang terakhir, untuk mengistinbat hukum, antara sumber perundangan yang digunakan ialah al-Quran, al-Sunnah, ijtihad Sahabat,dan ijtihad para mujtahid.

           Tambahan lagi, perkembangan ilmu usul fiqh muncul dan dihasilkan secara langsung mulai kurun ke-2 Hijrah iaitu dengan inisiatif dan penyusunan serta penulisan ilmu Usul Fiqh yang dipelopori oleh Muhammad bin Idris al-Syafie’. Beliau telah menyusun kitab yang bernama al-Risalah. Dalam kitab Usul Fiqh yang disusun oleh beliau tersebut, beliau memasuk dan memuatkan ayat-ayat al-Quran dan keterangan hukum, nas nasikh dan mansukh, al-Sunnah dan kedudukannya, berhujah dengan hadis Ahad, ijtihad, ijmak ulamak dan juga al-qiyas.

Oleh kerana kitab al-Risalah merupakan kitab pertama disusun dalam bidang ini yang sampai kepada kita, Imam Syafie’ diiktiraf sebagai pengasas ilmu usul fiqh  Selepas ilmu asas dan pembukuan pertama yang di buat oleh Syafie’ itu, ulama lain terus muncul dan mengembangkan serta mengemaskinikan lagi perkembangan ilmu Usul Fiqh dengan lebih luas dan teratur. Walau bagaimanapun, semua ulama membahaskan topik yang sama, iaitu hukum, istinbat dan dalil, namun cara penyusunan kitab mereka sahaja yang berbeza.( Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali 2009:8)

 KAEDAH PENYUSUNAN ILMU USUL FIQH

Selepas usaha dan batu asas yang diletakkan oleh Imam Syafie’ mengenai penyusunan dan penulisan usul fiqh, ia kemudiannya dikembangkan oleh ulama lain dengan membuat beberapa tambahan dan penyusunan yang lebih teratur. Bentuk penyusunan ilmu fiqh yang berlaku selepas Imam Syafie’ boleh dibahagikan kepada tiga bentuk:
1.      Kaedah ulama al-Syafie’ dan al-Kalam
2.      Kaedah ulama Hanafi
3.      Kaedah ulama mutakhir


 KAEDAH ULAMA  AL-SHAFICIYY DAN AL-KALAM

Cara ulama pengikut al-Shaficiyy dan ulama kalam menyusun usul fiqh dengan membuat kaedah berdasarkan nas atau menetapkan kaedah yang disokong oleh dalil. Mereka meninggalkan kaedah yang bertentangan dengan dalil tanpa mengambil kira keselarasan kaedah yang mereka ambil itu dengan masalah fiqh yang diambil daripada imam mereka, ataupun kaedah yang mereka tetapkan itu menyamai atau tidak dengan kaedah yang ditetapkan oleh imam mereka. (Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali  2009:8)


            Oleh sebab itu, ulama al-kalam dan pengikut al-Shaficiyy tidak menyatakan dalam kitab-kitab usul fiqh mereka tentang masalah fiqh yang termasuk di dalam kaedah, kecuali hanya sekadar untuk memberi penjelasan. Antara contoh ketidaksamaan kaedah yang mereka tetapkan dengan kaedah yang ditetapkan oleh imam mereka ialah tentang kehujahan ijmak sukuti al-Amidiyy yang bermazhab al-Shaficiyy menetapkan di dalam kitabnya Al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam bahawa ijmak sukuti boleh dijadikan hujah, sedangkan imam al-Syafie’ berpendapat sebaliknya. (Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali  2009:8)

          Dalam keadaan lain juga, mereka mengemaskinikan kaedah yang dikukuhkan dengan dalil mantiq atau logik akal. Dalam keadaan tersebut, mereka menyusun mana-mana kaedah yang bersesuaian dengan dalil naqli dan aqli. Cara inilah yang diikuti oleh kebanyakan ulama Syafie’ seperti Imam al- Ghazaliyy.

         Antara kitab usul fiqh yang dikira sebagai asas yang disusun menurut kaedah ulama al-Kalam dan al-Syafie’ ialah:

a)                   Al-Burhan hasil karya Imam al-Haramayn cAbd al-Malik bin cAbdullah al-Juwayniyy.
b)                   Al-Mustasfa yang ditulis oleh Imam al-Ghazaliyy


c)                   Al-Imam al-Raziyy rahimahuLlah dalam karya agung beliau yang berjudul al-Mahsul Fi cIlm Usul al-Fiqh
d)                  Al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam Karangan Saif al-Din al-Amidiyy. (Abdul Latif       Muda dan Rosmawati Ali  2009:8)

 KAEDAH ULAMA HANAFIYYAH

Selain daripada aliran mutakallimin, penulisan ilmu usul selepas daripada kewafatan Imam al-Shaficiyy turut terbahagi kepada aliran yang dikenali dengan aliran hanafiyyah atau fuqaha. Aliran ini dinamakan dengan aliran hanafiyyah atau aliran fuqaha kerana pelopornya terdiri daripada kalangan ahli-ahli fiqh khususnya yang bermazhab Hanafi. 

Antara lain, ulama hanafiyyah menyusun kitab Usul Fiqh dengan menetapkan kaedah usul fiqh berdasarkan zann atau sangkaan yang kuat yang imam mazhab mereka berpegang dengan kaedah tersebut di dalam ijtihad mereka tentang sesuatu masalah fiqh. Justeru itulah, asas utama ulama hanafiyyah menetapkan kaedah usul fiqh ialah dengan menggubal atau menetapkan kaedah dengan berpandukan masalah fiqh yang diriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya. (Azhar Abdul Aziz 1992: 90)  

           Dalam konteks lain, cara yang digunakan oleh ulama hanafiyyah dalam membuat kaedah usul fiqh ialah dengan berpandukan dan berdasarkan furuk yang diambil daripada imam mereka dan kaedah-kaedah tersebut mestilah mencukupi semua furuk. Apabila ia tidak meliputi dan mencukupi semua furuk, maka mestilah diubahsuaikan sehingga ia meliputi dan mencukupi semua furuk serta ada penyelarasan di antara kaedah dengan masalah yang diambil dan dipindahkan daripada imam mereka. Contohnya, mereka menetapkan kaedah: Sesuatu lafaz tidak boleh digunakan untuk makna hakiki dan majazi serentak, dan lafaz musytarak tidak boleh digunakan kecuali untuk makna sahaja. Di dalam keadaan tertentu, mereka dapati ada masalah hukum fiqh mazhab mereka yang bercanggah dengan kaedah tersebut. (Azhar Abdul Aziz 1992: 91) 
          Antara kitab usul fiqh yang dikira sebagai asas yang disusun menurut kaedah untuk Hanafi ialah:

·         Abu Bakr Ahmad ibn Ali al-Jassas rahimahuLlah. Beliau menghasilkan Usul al-Jassas
·          Fakhr al-Islam cAli ibn Muhammad al-Bazdawiyy. Beliau mengarang Kanz al-Wusul Ila Macrifat al-Usul ( Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali, 2009:9)

 KAEDAH ULAMA MUTAKHIR

Cara ulama mutakhir menyusun kitab Usul Fiqh ialah dengan menggabungkan cara penyusunan yang dilakukan oleh ulama al-Kalam dan al-Syafi’e dengan ulama Hanafi iaitu dengan menetapkan kaedah usul dan membawa dalil serta diimplementasi atau dicantumkan kaedah-kaedah usul terhadap masalah-masalah fiqh atau juga dengan dikaitkan dengan masalah-masalah tersebut.

          Antara kitab usul fiqh yang dikira sebagai asas yang disusun menurut kaedah ulamak mutakhir ialah:

·         al-Amidiyy dan Usul al-Bazdawiyy lalu terhasillah karya yang berjudul Badic al-Nizam al-Jamic Bayn Kitabay al-Bazdawiyy wa al-Ihkam
·         Abu Ishaq Ibrahim ibn Musa al-Lakhmiyy al-Gharnatiyy yang lebih dikenali dengan al-Shatibiyy turut menyumbang kepada aliran muta’akhkhirin dengan menghasilkan karya agung beliau yang berjudul al-Muwafaqat Fi Usul al-Sharicah.
·         al-Imam Muzaffar al-Din Ahmad ibn cAli ibn Thaclab ibn al-Diya’ yang dikenali dengan Ibn al-Sacati al-Baghdadiyy al-Hanafiyy. Beliau menggabungkan intipati dua buah kitab iaitu al-Ihkam karangan al-Amidiyy dan Usul al-Bazdawiyy lalu terhasillah karya yang berjudul Badic al-Nizam al-Jamic Bayn Kitabay al-Bazdawiyy wa al-Ihkam.( Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali  2009:9)

 FAEDAH MEMPELAJARI ILMU USUL FIQH

Mempelajari dan meneliti ilmu Usul Fiqh dapat memberi faedah yang besar, antaranya ialah:

1.      Untuk mengetahui cara dan bagaimana ulama dan mujtahid mengeluarkan hukum dan menggunakan ilmu Usul Fiqh dalam menetapkan hukum bagi sesuatu masalah.
2.      Dapat mengetahui bagaimana cara ulama menetapkan sesuatu hukum dan menetapkan sesuatu hukum dengan berdasarkan dalil-dalil syarak.
3.      Mengeluarkan hukum baru yang sentiasa berubah-ubah mengikut perkembangan zaman dan keperluan masyarakat.
4.      Untuk mengetahui asas-asas bagi hukum syarak dan hikmat-hikmatnya.
5.      Dapat mengetahui cara mengeluarkan hukum daripada dalil sehingga dapat menentukan hukum terhadap perbuatan mukallaf.
6.      Melalui ilmu Usul Fiqh juga boleh mengetahui hukum syarak yang telah dikeluarkan oleh para mujtahid melalui kaedah usul  dan dipadukan dengan pendapat ulamak yang berselisih di antara mereka untuk mencari yang kukuh dan pendapat yang berpegang dengan dalil yang paling kuat untuk beramal dengan hukumnya.
7.      Melalui ilmu Usul Fiqh, ulamak yang bertugas mengeluarkan hukum atau fatwa menjadi mudah bagi mereka untuk mengeluarkan hukum kerana ada landasan dan panduan. (Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali 2009:10)








KESIMPULAN


Sebagai kesimpulannya, ilmu usul fiqh adalah ilmu yang menghuraikan tentang method yang dipakai oleh para imam mujtahid dalam menetapkan hukum syara dari nas. Berdasarkan nas pula, mereka mengambil illah yang menjadi landasan hukum serta mencari maslahah yang menjadi tujuan hukum syar’I yang dijelaskan dan diisyaratkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Ilmu usul Fiqh juga bererti suatu kumpulan kaedah metodologi yang menjelaskan bagi seorang mujtahid bagaimana cara mengambil hukum dari dalil-dalil syarak. Kaedah itu, boleh bersifat lafziyyah seperti dilalah suatu lafaz terhadap erti tertentu dan boleh bersifat maknawiyah seperti mengambil dan suatu illah dari nas serta cara yang paling tepat untuk penetapannya. Maka jelaslah bahawa ilmu usul fiqh merupakan pedoman yang tepat untuk memahami teks-teks perundangan di mana ilmu itu sendiri sangat mendalam dan boleh menjadi method bagi seorang ahli hukum di samping dapat melatih dan mengembangkan kemampuannya dalam pengistinbatan hukum.


12 comments:

  1. boleh tak nyatakan sumber dan rujukan secara jelas?

    ReplyDelete
  2. Tq...very helpful..
    Mcm dah trjemah sume dri buku arab saye nie...

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. alhamdulilah..syukran atas perkongsian ilmu....

    ReplyDelete
  6. Ape update terkini sbg smbgn utk ilmu usulfiqh ni...?
    Masih byk lg yg blh di bahas sbg sambungan ilmu ini.
    Smg kolum/blog di atas blh mjadi medan ilmu bg mrk2yg dahagakn ilmu.

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. selagi upaya kau turut diajarkkan

    ReplyDelete