Pages

Monday, November 8, 2010

MAFHUM AL-SHART

DEFINISI AL-SHART

 

Al-Shart dapat didefinisikan sebagai sesuatu ibarat atau lafaz yang menunjukkan kepada maknanya atau madlulnya adalah melalui dua cara iaitu secara langsung daripada ibarat tersebut kepada makna atau madlul lafaz atau ibarat yang dicakapkan. Kaedah ini dikenali sebagai دلالة المنطوق manakala cara yang kedua ialah secara pemahaman daripada percakapan tetapi bukanlah tempat yang dicakapkan. Ini dikenali dengan دلالة المفهوم. Mafhum ini terbahagi kepada mafhum muwafaqah dan mafhum mukhalafah. Mafhum mukhalafah pula terbahagi kepada beberapa jenis seperti mafhum al-sifah, mafhum al-shart dan lain-lain. (Dr. Ismail Mahmud et. al 2006: 202)

 

Syarat dari sudut bahasa mempunyai dua makna iaitu apabila ia dibariskan sukun atau dibariskan mati pada huruf ر pada kalimah الشرط membawa maksud komitmen ataupun tanggungjawab untuk melaksanakan perkara tersebut. Kata jamak bagi kalimah  الشرط ialah شروط . (Bashir Mahdi al-Kubaysi 2007: 145)

 

            Sekiranya الشرط  dibariskan dengan baris fathah pada huruf  ر membawa maksud alamat ataupun tanda. Kata jamak bagi kalimah الشرط di sini ialah أشراط . Misalnya firman Allah S.W.T di dalam surah Muhammad dari ayat 18 yang bermaksud :

 

Maksudnya: “Maka apa lagi yang mereka tunggu-tunggu selain hari kiamat yang datang kepada mereka secara tiba-tiba kerana tanda-tandanya sesungguhnya telah datang ”.

 

 

Dari segi istilah ahli nahu, mafhum al-shart bermaksud perkara yang dimasuki oleh salah satu daripada huruf-huruf syarat seperti إذا , كان , لو , متى dan sebagainya. (Dr. Ismail Mahmud et. al 2006: 206)


Mafhum al-shart yang dimaksudkan di sisi ahli-ahli usul ialah mafhum syarat di sisi ahli nahu. Contohnya dalam firman Allah S.W.T iaitu: (Dr. Ismail Mahmud et. al 2006: 206)

 

 

Maksudnya: “Maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”

 

 

Ayat tersebut secara mafhum mukhalafah menunjukkan kepada tidak harus qasar jika aman daripada fitnah orang-orang kafir. Contoh yang lain seperti sabda Nabi S.A.W:

 

إذا كان الماء قلتين لم يحمل الخبث وفي لفظ لم ينجس

Maksudnya: “Apabila ia sampai dua qullah ia tidak menanggung kotoran (pada satu lafaz: tidak najis)”

 

Mafhumnya ia akan menjadi najis sekiranya kurang daripada dua qullah. (Dr. Ismail Mahmud et. al 2006: 206-207)

 

Takrif mafhum al-shart pula ialah dalalah ataupun lafaz yang menunjukkan kepada hukum yang berkait dengan syarat yang membawa kepada ketiadaan hukum dengan ketiadaan syarat. (Bashir Mahdi al-Kubaysi 2007: 146) Contohya di dalam firman Allah di dalam surah Al-Talaq ayat 6 yang bermaksud :

 

Maksudnya: “Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sampai melahirkan kandungannya” .

 


Ayat ini menerangkan bahawa pemberian nafkah bergantung kepada syarat kehamilan seseorang. Sekiranya tidak hamil, maka pemberian nafkah adalah tidak wajib.

 

Firman Allah S.W.T. di dalam surah yang lain adalah seperti di dalam surah An-Nisa’ ayat 25 yang bermaksud :

 

Maksudnya : “Dan barangsiapa di antara kamu tidak mempunyai kemampuan untuk menikahi perempuan merdeka yang beriman, maka (dihalalkan menikahi perempuan) yang beriman dari hamba sahaya yang kamu miliki”.

 

Maksud daripada firman Allah di atas adalah, seseorang itu ditegah untuk berkahwin dengan seseorang hamba sekiranya dia mampu berkahwin dengan perempuan merdeka yang beriman. Ayat ini menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu jika mampu untuk berkahwin dengan perempuan merdeka yang beriman, maka tidak diharamkan baginya untuk berkahwin dengan hamba sahaya yang beriman.

 

 

KEHUJAHAN MAFHUM SHART
Sesuatu hukum yang digantungkan dengan syarat melalui adatnya (hurufnya) akan mempunyai 4 perkara: (cIsa Zahran 1995: 27)
1)      Sesuatu perkara yang disyaratkan itu akan sabit jika terdapat syarat.
2)      Dalalah huruf syarat untuk mensabitkan perkara yang disyaratkan jika syarat itu ada.
3)      Perkara yang disyaratkan itu tiada jika tidak wujud syarat.
4)      Dalalah huruf syarat menafikan perkara yang disyaratkan jika syarat itu tiada.

 
Tiada khilaf mahupun perselisihan bagi perkara pertama sehingga perkara ketiga. Persoalan yang timbul di sini adalah berkenaan perkara yang keempat iaitu berkenaan huruf syarat menafikan perkara yang disyaratkan jika syarat itu tiada. Ulamak yang mempunyai khilaf terhadap perkara yang keempat tersebut ialah :
a)      Pendapat Imam Baidawi dan Imam al-Razi dan pengikut-pengikutnya mengatakan mafhum al-shart sebagai hujah.

b)      Pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Al-Qadi Al-Baqillani dan majoriti golongan Mu’tazillah, Imam al-Ghazali, mengatakan mafhum al-shart bukan sebagai hujah.



PUNCA PERSELISIHAN

Punca perselisihan di sini ialah apabila penggunaan ان semata-mata untuk syarat, dan jika ia membawa maksud selain daripada syarat, maka ia terkeluar daripada tajuk perbincangan ini. Misalnya, seorang lelaki berkata kepada anaknya (لابنه): “Taatilah aku jika kamu anak aku”. Mengikut mafhum al-shart, seseorang itu wajib mentaati ayahnya apabila ayahnya mengenakan syarat demikian kepada anaknya dan tidak wajib mentaati ayahnya jika tiada syarat dikenakan. Walaubagaimanapun, menurut hukum syarak seseorang anak itu wajib mentaati bapanya walaupun tiada syarat dikenakan kerana itu merupakan kewajipan seorang anak. Dan firman Allah S.W.T : “Maka makanlah segala rezeki daripada Allah yang halal lagi baik dan bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu semua menyembah kepadaku”. Berdasarkan ayat ini, seseorang itu perlu makan daripada rezeki yang halal sekiranya dia menyembah Allah dan jika dia tidak menyembah Allah maka dia tidak perlu makan daripada rezeki yang halal dan baik. Menurut hukum syarak seseorang itu perlu makan daripada rezeki yang baik dan halal sama ada dia menyembah Allah ataupun tidak.
Di sini terdapat dua hujah mengenai punca perselisihan pendapat para ulamak berkaitan dengan huruf syarat. (cIsa Zahran 1995: 28)

1.      Hujah pendapat pertama: Ahli-ahli nahu mengatakan bahawa sesuatu akan menjadi syarat apabila diletakkan huruf syarat sebelumnya. Sekiranya huruf syarat tiada maka tiadalah syarat. Misalnya firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Talaq ayat 6 yang berbunyi :

Maksudnya: “Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sampai melahirkan kandungannya” .


Berdasarkan ayat di atas, penggunaan huruf إن menjadi syarat bagi wajibnya nafkah. Sekiranya tidak wujud huruf إن maka seseorang itu tidak wajib untuk memberikan nafkah.

2.      Hujah pendapat kedua: Mafhum al-shart bukan sebagai hujah kerana walaupun tiada syarat, tetapi hukum tetap ada. Contohnya, firman Allah S.W.T di dalam surah An-Nur dari ayat 33 yang berbunyi:
 
Maksudnya: “Janganlah kamu memaksa budak-budak wanita kamu untuk melakukan pelacuran sedangkan mereka sendiri mahu kesucian”.


Menurut ayat ini, tidak boleh memaksa seseorang gadis untuk berzina jika dia mahu menjaga maruahnya dan boleh memaksa seseorang gadis untuk berzina jika dia tidak mahu menjaga kesuciannya (maruahnya). Walau bagaimanapun, perkara ini tidak boleh diterima kerana menurut syarak berzina adalah tetap haram sama ada dia mahu menjaga maruahnya atau tidak.

DISEDIAKAN OLEH: 
* NURUL NUR IZZATIE BT. MOHD ZAIDI
* NURSAHILA BT. AYUB
*  NURUL HAFISAH BT. HASAN
* KHAIRUL NURAIN BT. ABD AZIZ

No comments:

Post a Comment