Pages

Tuesday, April 26, 2011

ISU-ISU SEMASA BERKENAAN SADD AL-DHARA'I

PENDAHULUAN

Sumber perundangan Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Sumber pertama dikenali sebagai sumber yang disepakati, manakala sumber kedua pula dikenali sebagai sumber yang tidak disepakati. Sumber yang disepakati terdiri daripada al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. Sumber yang tidak disepakati pula terdiri daripada istihsan, istishab, maslahah mursalah dan sebagainya.( Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali 1997 : 3) Al-Quran dan al-Sunnah merupakan sumber perundangan Islam yang tidak boleh dipertikaikan kehujahannya serta tidak boleh disangkal lagi kesahihannya. Sumber yang tidak disepakati ini juga penting di dalam perundangan Islam bagi menyelesaikan hukum-hakam atau masalah yang tiada di dalam nas al-Quran mahupun al-Sunnah.
            Setiap perundangan sama ada perundangan Allah ataupun perundangan buatan manusia, sudah semestinya ia mempunyai ciri-ciri tersendiri yang boleh dijadikan dasar dan sebagai asas perundangan. Dengan wujudnya ciri-ciri perundangan tersebut, maka ia akan menggambarkan bahawa ia boleh diterima pakai oleh semua golongan dalam semua keadaan. Kebiasaannya, kriteria atau ciri-ciri perundangan tersebut adalah selari atau sejajar dengan kemampuan manusia, serta ia juga bersifat sejagat dan universal.
            Undang-undang Islam sama ada penggubalannya melalui al-Quran, al-Sunnah atau ijmak, qiyas  mahupun sumber-sumber sampingannya, adalah bertujuan untuk kebaikan dan kesenangan kepada manusia keseluruhannya. Penulisan ini membincangkan salah satu daripada sumber hukum yang tidak disepakati di kalangan ulama iaitu sadd al-dhara’i. Perkara yang akan dibincangkan meliputi pengertian sadd al-dhara’i dari segi bahasa dan istilah, bahagian-bahagiannya , kehujahan sadd al-dhara’i serta contoh-contoh isu semasa yang berkaitan dengan sadd al-dhara’i terutamanya yang berlaku di Malaysia.



MAKSUD SADD AL-DHARA’I

Sebelum sadd al-dhara’i dibincangkan secara mendalam dan lebih terperinci, kita akan meneliti terlebih dahulu definisi sadd al-dhara’i dan maksud gabungan dua perkataan tersebut, iaitu ‘sadd’ dan ‘dhara’i Bagi memudahkan lagi pemahaman mengenai pengertian sadd al-dhara’i kedua-dua gabungan perkataan ini hendaklah diberikan penjelasan secara terperinci.
             Menurut Kamus Mucjam al-Tullab pula, sadd membawa maksud mendapat, tegap dan lurus, manakala al-dhara’i pula bererti sesuatu yang membawa kepada sesuatu yang lain sama ada memberi kesan baik atau buruk.( Kamus Mucjam Al-Tullab 1985 : 217) Di samping itu, sadd juga bermaksud penghalang antara dua perkara, manakala al-dhara’i pula bermaksud jalan atau penyebab kepada sesuatu perkara. ( Mucjam al-Wasit 1979 : 423 )
            Selain itu, al-dhara’i merupakan kata jamak daripada perkataan dhari’ah yang memberi maksud jalan-jalan atau lorong-lorong. ( c Abbas Mutawalli Hamadah 1968 : 265 ) Selain itu, al-dhara`i juga bermaksud perantaraan yang menjadi penghubung kepada sesuatu sama ada sesuatu yang boleh dicapai dengan pancaindera atau makna iaitu baik atau buruk. ( Badran Abu al-cAinan Badran 1965 : 333 ) Walaubagaimanapun, kebiasaan penggunaan perkataan al-dhara`i selalu merujuk kepada makna keburukan. ( cAbdul Karim Zaidan 2009 : 195 )
            Oleh itu, sadd al-dhara`i dari segi istilah bermaksud menutup atau mencegah perkara-perkara yang dapat mendorong seseorang kepada hal yang dilarang dalam agama. (rujukan) Dengan erti kata yang lain, setiap perbuatan yang pada asalnya diizinkan tetapi datang sesuatu yang menyebabkan perbuatan itu seringkali bertukar menjadi mafsadah.( cAbdul Mujieb 1997 : 48) Berdasarkan pengertian sadd al-dhara`i, telah berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum setiap pembahagian sadd al-dhara`i. Para ulama telah membahagikan al-dhara`i kepada beberapa bahagian dan memberi hukum setiap bahagian tersebut mengikut kesesuaian matlamat syariat.



BAHAGIAN-BAHAGIAN AL-DHARA`I DAN HUKUM SETIAP PEMBAHAGIAN 

Antara ulama yang banyak membicarakan hal ini ialah Imam Al-Qarafi, Al-Shatibi dan Ibn al-Qayyim. Secara umumnya, pengkategorian yang dibuat oleh Imam Al-Qarafi dan Al-Shatibi adalah hampir sama.Oleh itu, kajian ini akan menyatakan pembahagian menurut Imam Al- Shatibi. Imam Al-Shatibi membahagikan al-dhara`i kepada empat bahagian. Setiap satu daripada bahagian itu mengandungi akibat, tahap kemudaratan serta hukumnya :

i.          Perbuatan yang harus dilakukan tetapi pasti membawa kepada mafsadah
 Ini bermaksud, seseorang mukallaf itu mengetahui dan yakin bahawa perbuatan atau tindakan yang hendak dilakukannya itu pasti akan memberi kesan buruk sama ada kepada individu mahupun orang lain. Contohnya seseorang mukallaf yang menggali lubang seperti parit atau telaga pada waktu tengah-tengah malam dan tempat yang sering menjadi laluan orang ramai.(Badran Abu Al-cAinan Badran 1965:335) Hukum perbuatan menggali lubang adalah harus dan tidak menyalahi syarak. Tetapi, tempat yang digali adalah merupakan tempat awam dan menjadi laluan orang ramai yang pasti melalui kawasan tersebut. Maka, diandaikan sesiapa sahaja yang melalui jalan itu pasti akan terjatuh ke dalam lubang tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan membawa keburukan atau mafsadah sama ada kepada individu mahupun orang lain. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa perbuatan itu ditegah. Ini kerana kerosakan yang akan berlaku hasil daripada perbuatan tersebut adalah suatu yang pasti. (Amir Syarifudin 2004:121)

ii.         Perbuatan yang harus dilakukan tetapi jarang membawa kepada mafsadah.
Contoh untuk bahagian kedua ini adalah seseorang mukallaf yang menggali lubang atau parit di tempat yang jarang dilalui oleh orang awam.(Hamadah 1968:272) Perbuatan ini pada kebiasaannya tidak akan menyebabkan ramai orang awam yang jatuh kerana tempat tersebut tidak menjadi laluan majoriti orang awam. Namun, kebarangkalian hanya beberapa individu sahaja yang akan jatuh ke dalam lubang tersebut kerana melalui kawasan tersebut. Begitu juga dengan menanam anggur dengan bertujuan untuk memakan buah anggur tersebut. Namun demikian, ada juga segelintir individu yang memproses buah anggur tersebut untuk dijadikan sebagai arak atau benda lain yang memabukkan. Hukumnya adalah harus kerana syariat melihat terdapat banyak kebaikan yang akan terhasil dan kerosakan yang terjadi juga adalah minima.             ( Hamadah 1968 : 273)

iii.        Perbuatan yang harus dilakukan tetapi kebiasaannya membawa kepada mafsadah.
 Dua contoh boleh diberikan. Pertama, orang Muslim yang menjual senjata kepada musuh terutama ketika peperangan berlaku dan keduanya pula adalah seseorang yang menjual anggur kepada pembuat arak. Para ulama telah berselisih pendapat pada bahagian sadd  al-dhara’i yang ketiga ini yang sebahagian daripada mereka seperti Imam al-Shatibi telah menghukum bahagian ini seperti bahagian pertama iaitu ditegah. Ini kerana, sangkaan kuat yang mengatakan bahawa senjata yang dijual kepada musuh akan digunakan untuk memerangi umat Islam. Manakala anggur yang dijual kepada peniaga arak kebiasaannya digunakan untuk memproses arak. Walaubagaimanapun, segelintir ulama yang lain beranggapan sebaliknya kerana kemungkinan ia tidak digunakan untuk berbuat demikian dan kemudharatan juga tidak akan mungkin berlaku. (Amir Syarifudin 2004 : 122 )

iv.        Perbuatan yang  harus dilakukan tetapi seringkali membawa kepada mafsadah.
 Dengan kata lain, jika sesuatu perbuatan itu dilakukan, kemungkinan besar ia akan memberi mafsadah kesan daripada perbuatan tersebut, tetapi tidak sampai ke tahap persangkaan yang kuat, apatah lagi ke tahap kebenaran dan keyakinan yang pasti. Contohnya  adalah bay’ al-‘inah. Dipercayai bahawa kemungkinan bay’al-inah boleh mendatangkan unsur  riba, namun ia tidak sampai ke tahap yang kuat dan yakin bahawa riba itu benar-benar berlaku. Para ulama juga turut berselisih pendapat dalam masalah seperti ini. ( Nazih Hammad 1995 :103)

            Setelah dikaji mengenai pembahagian sadd al-dhara’i, inilah yang menjadi perselisihan di kalangan ulama Usul Fiqh sama ada kaedah ini diterima sebagai sumber hukum atau tidak. Antara ulama yang menerima sadd al-dhara`i sebagai sumber hukum adalah ulama dari mazhab Maliki dan Hanbali manakala ulama yang tidak menerima sadd al-dhara`i pula adalah dari mazhab Shafici dan Zahiri.



ISU-ISU SEMASA BERKAITAN DENGAN SADD AL-DHARA’I.

Kaedah sadd al-dhara’i telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ini dapat dibuktikan melalui peristiwa Nabi SAW melarang para Sahabat daripada mencaci dan mencela tuhan-tuhan yang disembah selain Allah SWT. Perintah ini berdasarkan firman Allah SWT :
Ÿwur (#q7Ý¡n@ šúïÏ%©!$# tbqããôtƒ `ÏB Èbrߊ «!$# (#q7Ý¡uŠsù ©!$# #Jrôtã ÎŽötóÎ/ 5Où=Ïæ 3 y7Ï9ºxx. $¨Y­ƒy Èe@ä3Ï9 >p¨Bé& óOßgn=uHxå §NèO 4n<Î) NÍkÍh5u óOßgãèÅ_ó£D Oßgã¥Îm7t^ãsù $yJÎ/ (#qçR%x. tbqè=yJ÷ètƒ ÇÊÉÑÈ  
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (6:108)

            Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT melarang kita daripada mencaci tuhan-tuhan bukan Muslim. Ini kerana, ia akan membuka ruang dan peluang kepada bukan muslim untuk mencaci semula Allah SWT. Maka, sikap muslim yang membuka peluang untuk Allah SWT dihina adalah berdosa dan ditegah.   
            Selain daripada peristiwa ini, banyak lagi peristiwa lain yang membuktikan bahawa Rasulullah SAW telah menggunakan kaedah sadd al-dhara’i sebagai salah satu sumber perundangan Islam. Ini bermakna, kaedah ini boleh dijadikan sebagai hujah bagi menyelesaikan permasalahan isu-isu semasa yang berlaku pada masa kini.


1.     Memboikot segala produk keluaran negara yang memerangi Islam.

Antara perbuatan lain yang membawa kepada berlakunya sadd al-dhara’i ialah dengan memboikot segala produk keluaran negara-negara yang memerangi Islam.
            Perbuatan membeli barang yang diperlukan untuk kegunaan seharian adalah diharuskan. Namun, perbuatan yang pada asalnya diharuskan ini telah ditegah apabila seringkali ia akan membawa kepada mafsadah melalui kesan buruk yang akan timbul sekiranya perbuatan ini tidak dilakukan dengan cara yang berhikmah.
            Pada hari ini, terdapat barangan dan produk yang telah dikeluarkan oleh negara-negara yang memerangi umat Islam berada di setiap pasaraya seluruh negara. Sehubungan dengan itu, ada kemungkinan bahawa sumber ekonomi yang dijana hasil daripada pembelian produk dari negara-negara ini akan disumbangkan  kepada pembinaan senjata dan kekuatan ketenteraan untuk memerangi, menindas dan membunuh umat Islam di seluruh dunia. Oleh itu, sekiranya kita membeli barangan keluaran negara-negara ini, ia bererti kita turut menyumbang ke arah usaha untuk menghancurkan umat Islam tanpa kita sedari. Firman Allah SWT:
(#qçRur$yès?ur n?tã ÎhŽÉ9ø9$# 3uqø)­G9$#ur ( Ÿwur (#qçRur$yès? n?tã ÉOøOM}$# Èbºurôãèø9$#ur 4
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (5:2)

            Berdasarkan ayat ini, Allah menuntut supaya umat Islam saling tolong-menolong dalam melakukan perkara kebaikan dan mencegah daripada menolong melakukan perkara kemungkaran. Ini termasuklah menolong saudara seagama mereka apabila mereka ditindas atau diperangi oleh musuh Islam. Selan itu, kita juga ditegah untuk membantu pihak musuh memerangi umat Islam. Ini dapat dilaksanakn dengan cara melumpuhkan ekonomi mereka melalui perbuatan memboikot barangan mereka.
            Rentetan masalah ini, menjadi satu tuntutan kepada kita semua untuk menolong saudara Islam yang ditindas oleh orang kafir. Oleh yang demikian, perbuatan memboikot barangan keluaran negara-negara ini merupakan antara salah satu  tindakan yang wajar diambil bagi melumpuhkan ekonomi negara-negara yang menindas umat Islam. Selain itu, tindakan memboikot juga merupakan salah satu senjata pada zaman Nabi SAW (Khalil Idham Lim 2011). Kesannya, mereka tidak akan mampu lagi untuk memerangi umat Islam apabila mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membina kelengkapan senjata dan barisan tentera.
             Namun, ada sesetengah pihak yang memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengelak daripada membeli barangan dari kedua-dua negara ini disebabkan ia merupakan satu keperluan yang sangat-sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Alasan seperti ini tidak dapat diterima kerana mereka sebenarnya mempunyai pilihan sama ada ingin memboikot atau tidak. Ini kerana, pada hari ini sudah banyak produk dan barangan yang berasaskan makanan, pakaian dan keperluan harian lain yang telah dikeluarkan oleh beberapa buah syarikat di negara kita yang beragama Islam. Jadi, tidak menjadi masalah kepada kita untuk mendapatkan barangan yang bukan daripada negara-negara yang memerangi umat Islam.
            Oleh yang demikian, setelah ditinjau dari sudut mafsadah yang kebiasaannya akan berlaku kepada umat Islam keseluruhannya, maka usaha untuk memboikot daripada membeli barangan keluaran negara yang memerangi umat Islam, merupakan antara langkah terbaik untuk menyekat kemudaratan yang akan berlaku terhadap umat Islam khususnya.


2.      Senaman tarian poco-poco.

Senaman tarian poco-poco merupakan senaman yang manfaatnya semata-mata bagi menyihatkan tubuh dan anggota badan dan pada asalnya, ia adalah sesuatu yang tidak salah dan harus. Namun begitu, senaman poco-poco dikatakan mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica oleh masyarakat yang beragama Kristian ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Sekiranya kita amati pergerakan tarian senaman ini, ia membentuk salib atau huruf ”t”. Namun, ada maklumat yang menyatakan bahawa tarian poco-poco ini berasal dari Indonesia kerana lirik atau seni kata lagu itu mempunyai unsur atau elemen Indonesia. (Anon 2011)
      Maklumat dari kamus JAMAICA versi English menyatakan bahawa perkataan poco-poco ini bermaksud 'cult'  kepercayaan tentang agama atau pemujaan roh, yang sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian. Mereka menari mengikut bulatan berlawanan jam diikuti gendang khas. Ada juga pendapat yang menyatakan asal usul tarian poco-poco adalah sejenis tarian tradisi yang diperturunkan oleh nenek moyang masyarakat Yospan di daerah Papua dan juga masyarakat Wayase di daerah Ambon. Gerak tubuh yang berbeza  antara dua masyarakat ini akhirnya dicantum dan dikembangkan tanpa nama dan lebih dikenali sebagai tarian ramai-ramai. (Anon 2011)
      Nama poco-poco kononnya ditampilkan oleh seniman dari Ternete berdarah Ambon iaitu Arie Sapulette. Beliau melihat seorang gadis sedang menari tarian itu dengan lincah di satu pesta. Lantas secara tiba tiba perkataan poco-poco  yang membawa maksud gadis yang tubuhnya berisi  dan lincah terbit dari mulutnya. Sejak itu, tarian yang ditarikan mengikut rentak gendang itu dinamakan poco-poco. (Anon 2011)
Hasil dari keterangan utama ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dapat merumuskan bahawa tarian mahupun senaman yang disebut sebagai poco-poco didapati bercanggah dengan syarak disebabkan (Anon 2011) :
a)  Kaitannya dengan kepercayaan agama dan pemujaan roh serta bercirikan agama Kristian.
b) Di samping itu, perbuatan tersebut yang berbentuk tarian, senaman atau setiap bentuk gerakan yang dinamaknan sebagai poco-poco jelas menunjukkan bahawa ia tiada kaitan dengan Islam serta boleh menjerumuskan pelakunya kepada meniru-niru budaya dan cara hidup orang kafir terutamanya Kristian.
c)  Gerakan bagi tarian atau senaman poco-poco menyerupai lambang salib.
Hal ini dikuatkan lagi dengan dalil al-Quran dalam surah Al Isra’ ayat 36 :
Ÿwur ß#ø)s? $tB }§øŠs9 y7s9 ¾ÏmÎ/ íOù=Ïæ 4 ¨bÎ) yìôJ¡¡9$# uŽ|Çt7ø9$#ur yŠ#xsàÿø9$#ur @ä. y7Í´¯»s9'ré& tb%x. çm÷Ytã Zwqä«ó¡tB ÇÌÏÈ
Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (17:36)

      Ayat di atas menjelaskan bahawa sesuatu perbuatan yang dilakukan mestilah dengan pengetahuan untuk mengelakkan diri daripada meniru-niru, lebih-lebih lagi jika ia menyerupai acara penyembahan agama lain seperti yang ada dalam senaman poco-poco.
      Ini menunjukkan bahawa tarian senaman poco-poco ini boleh membawa kepada penyelewengan akidah dengan adanya perbuatan yang menyerupai amalan agama Kristian, malah pergerakannya membentuk lambang agama Kristian itu sendiri. Hal ini boleh menjadikan manusia mengagung-agungkan sesuatu yang lain selain Allah. Bukan itu sahaja, senaman poco-poco ini juga dilakukan dengan bercampur antara lelaki dan wanita yang bukan mahram dan kebanyakannya tidak menutup aurat seperti yang ditetapkan oleh syarak dan ia dibuat di tempat terbuka. Senaman poco-poco yang mengandungi unsur-unsur falsafah keagamaan bukan Islam adalah dilarang dan diharamkan beramal dengannya. Manakala senaman poco-poco yang hanya bersifat posisi tubuh badan semata-mata perlu dijauhi bagi mengelakkan umat Islam terjebak ke dalam perkara syubhah serta penyerupaan terhadap ibadat agama lain. Dalam hal ini, keharusan untuk bersenam itu ada namun mafsadahnya lebih besar. Ini jelas menunjukkan bahawa tarian senaman poco-poco mendatangkan mafsadah berbanding maslahah. Atas asas yang demikian, mengikut kaedah sadd al-dhara’i maka tarian dan senaman poco-poco adalah haram.


3.      Isu penggunaan nama Allah.

Di dalam Islam, kita tidak disuruh mengorek rahsia orang sehingga ke dalam hati orang lain seperti kita tidaklah disuruh menyoal motif pihak yang mahu menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka. Apabila kita melihat isu ini dengan ilmiah, kita akan mengetahui bahawa kalimah "Allah" itu umum merujuk kepada tuhan bagi semua manusia baik yang Muslim, bukan Muslim, manusia dan haiwan serta seluruh hidupan dan semua bentuk kewujudan di alam ini.( Emran 2009)
      Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa, dan lafaz Allah yang digunakan oleh orang-orang Kristian pula merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’. Pada asalnya ia tidak salah atau harus untuk digunakan oleh orang bukan Islam dan “Allah” itu bermaksud tuhan. Namun apabila dikaji dengan lebih mendalam,  perkataan Allah sebenarnya tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai kitab Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana kitab Taurat ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Bible ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan Yhwh, bukannya Allah.(Anon 2008)
      Ini mengakibatkan berlakunya pertikaian pendapat apabila orang Kristian ingin menggunakan nama Allah bagi membawa maksud tuhan mereka sedangkan dengan penggunaan tersebut boleh mengakibatkan salah faham dalam kalangan umat Islam tentang maksud Allah itu yang sebenar. Hal ini berbeza sama sekali dengan perkara yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah. (Anon 2008)
      Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini. (Anon 2008)
      Selain itu, kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam. (Anon 2008)
      Justeru, untuk menjaga maslahah, umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama dan jangan bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain. Perkara ini amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama. (Anon 2008)
      Oleh itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh demikian, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan haram bagi orang bukan Islam untuk menggunakannya kerana lebih banyak mafsadah berbanding maslahah akibat penggunaannya, maka ia perlu disekat penggunaannya mengikut kaedah sadd al-dhara’i. (Anon 2008)


4.      Mewujudkan sekolah harapan bagi wanita yang hamil.

Antara contoh lain yang membuktikan sadd al-dhara’i diaplikasi pada isu-isu semasa adalah dengan mewujudkan sekolah harapan bagi wanita hamil serta memberikan kemudahan semasa proses kehamilan sehingga melahirkan anak.
            Kewujudan sekolah harapan ini sebenarnya merupakan satu inisiatif yang baik daripada pihak kerajaan bagi memastikan gejala buang anak tidak berlaku secara berleluasa. Oleh itu, pada awalnya, hukum kewujudan sekolah harapan ini harus. Namun, kewujudan sekolah harapan ini yang pada asalnya hukumnya diharuskan boleh menjadikan hukum itu beralih kepada satu bentuk tegahan apabila ia seringkali akan membawa kepada mafsadah.
            Tidak dapat dinafikan kewujudan sekolah harapan ini sebenarnya mempunyai satu matlamat yang murni iaitu matlamat penubuhannya adalah untuk memberi peluang kepada wanita yang terjebak dalam perbuatan zina untuk melahirkan anak yang dikandung mereka dalam keadaan selamat dan terbela. Selain itu, penubuhan sekolah ini juga adalah untuk memberi pendidikan agama kepada wanita-wanita tersebut supaya mereka mampu untuk mengubah cara hidup mereka daripada jahil dalam ilmu agama kepada bijak memahami hukum syarak. Seterusnya, ibu-ibu malang ini mampu untuk belajar cara menjaga anak selepas lahir sehingga dewasa. Daripada matlamat-matlamat di atas menyebabkan hukum kewujudan sekolah harapan ini sebenarnya harus.
            Namun demikian, apabila kewujudan sekolah harapan ini akan mengakibatkan pelbagai bentuk mafsadah yang akan akan timbul di kalangan masyarakat dan juga individu. Pertamanya, mafsadah dalam bentuk masyarakat. Apabila masyarakat di Malaysia khasnya mengetahui akan kewujudan sekolah harapan ini, secara tidak langsung, mereka beranggapan, mereka ini tidak lagi bertanggungjawab dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar disebabkan mereka beranggapan bahawa kewujudan sekolah ini akan memudahkan wanita untuk melahirkan anak luar nikah itu dengan selamat. Ini bertentangan dengan firman Allah s.w.t yang berbunyi :
(#qçRur$yès?ur n?tã ÎhŽÉ9ø9$# 3uqø)­G9$#ur ( Ÿwur (#qçRur$yès? n?tã ÉOøOM}$# Èbºurôãèø9$#ur 4 (#qà)¨?$#ur ©!$# ( ¨bÎ) ©!$# ߃Ïx© É>$s)Ïèø9$# ÇËÈ
Maksudnya: dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (5:2)

Daripada maksud ayat di atas, membuktikan bahawasanya masyarakat perlu untuk bersatu hati dalam menangani segala bentuk kemungkaran seterusnya bersama-sama untuk menegakkan hukum syarak untuk memastikan umat Islam hidup secara aman damai dan tidak ada pergaduhan dan permusuhan antara satu sama lain.
            Keduanya, mafsadah dalam bentuk  individu. Individu ini sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam membantuk sahsiah diri mereka dan seterusnya pandangan masyarakat terhadap diri mereka. Oleh yang demikian, apabila individu ini tidak menghayati erti dan matlamat kehidupan di dunia ini, maka mereka ini selalunya akan mengikut jalan yang sesat dalam melakukan sesuatu perkara dalam erti kata lain melakukan sesuatu megikut hawa nafsu mereka. Oleh itu, pelbagai bentuk gejala sosial yang berlaku akibat individu itu sendiri lemah dalam mengawal nafsu mereka. Contohnya seperti lumba haram, melepak, minum arak dan yang paling ketara sekali adalah melakukan zina. Perbuatan keji ini, majoritinya dilakukan oleh golongan remaja yang sedang meningkat dewasa.
            Tambahan pula, apabila mereka tahu akan kewujudan sekolah harapan ini, mereka beranggapan sekolah harapan ini mampu membela nasib anak yang dilahirkan secara luar nikah nanti. Oleh yang demikian, kewujudan, sekolah harapan ini, pada awalnya mempunyai matlamat penubuhan yang baik, akhirnya telah menjadi satu pandangan yang negatif apabila penubuhan sekolah harapan ini menjadi alasan dan harapan kepada individu yang melakukan zina. Oleh yang demikian, perbuatan zina ini tidak akan berhenti atas alasan mereka mempunyai tempat berteduh jika ingin melahirkan anak.
            Oleh yang demikian, apabila dilihat daripada sudut mafsadah dalam kewujudan sekolah harapan ini kepada masyrakat umumnya dan individu khasnya, maka kewujudan sekolah harapan ini sebenarnya lebih mendatangkan mafsadah kepada masyarakat Malaysia daripada mendatangkan manfaat. Ini kerana, masyarakat tidak lagi bersatu padu dalam menangani masalah perbuatan zina ini seterusnya mengakibatkan berlaku kehidupan secara berpuak-puak. Manakala, bagi individu pula, mereka tidak lagi mampu untuk menjaga maruah mereka dan ahli keluarga mereka. Tambahan pula, mereka menganggap bahawa mereka mempunyai tempat berteduh jika melakukan perzinaan. Apabila dinilai semula, kewujudan sekolah harapan bagi tempat wanita yang terlibat dalam perzinaan ini, banyak mendatangkan mafsadah daripada manfaatnya.


KESIMPULAN

Sadd al-dhara’i merupakan salah satu kaedah yang dibincangkan sebagai sumber dalam penetapan bagi sesuatu hukum yang tidak dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran atau hadis. Dalam menetapkan sadd al-dhara’i sebagai sumber hukum, ulama telah berselisih pendapat sama ada kaedah ini diterima sebagai sumber hukum atau tidak. Antara ulama yang menerima sad al-dhara’i sebagai sumber hukum adalah ulama dari mazhab Maliki dan Hanbali manakala ulama yang tidak menerima sadd al-dhara’i dari mazhab Syafice dan Zahiri. Setiap pandangan yang dikemukan oleh para ulama dalam menetapkan sadd al-dhara’i sebagai sumber hukum atau tidak adalah berdasarkan alasan serta kehujahan yang tersendiri.





RUJUKAN
Al-Qur’an

Anon . 2008. Isu penggunaan nama Allah
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan-penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-allah [16 April 2011]

Anon . 2011. Senaman tarian poco-poco.
http://mufti.perak.gov.my/images/pdf/poco2.pdf [16 April 2011]

cAbbas Mutawalli Hamadah. 1968. Usul al-fiqh. Mesir: Jamiah al-Qahirah.

Badran Abu Al-cAinan Badran. 1965. Usul al-fiqh. Jamiah Iskandariah: Dar Al-Ma’rif

Emran. 2009. Isu Penggunaan nama Allah.
http://ustaz.blogspot.com/2009/03/apabila-si-jahil-berbicara-islam-jadi.html
[16 April 2011]

Hammadah. 1968. Usul al-fiqh. al- Qahirah: Dar al-Nahdah al- Arabiyyah.

Khalil Idham Lim. 2011. Memboikot barangan Israel dan Amerika menurut Islam.             http://idhamlim.blogspot.com/2010/01/memboikot-barangan-israel-dan-amerika.html.          [15 April 2011]

M. cAbdul Mujieb. 1997. Kamus Istilah Fiqh.  tpt : Advance Publication.

Muslim bin Hajjaj. t.th. Sahih Muslim bi sharh al-Nawawi. Beirut: Dar al-Kutub Al-cIlmiyyah.

Al- Mucjam al-Tullab. 2000. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah

Al- Mucjam al-Wasit. 1392H/l972. Istanbul: Dar al-Dacwah.

Al- Zuhaily, Wahbah. 1969. Usul al-fiqh al-Islamiyy.  tpt : Al-Matbacah al-cIlmiyyah.


No comments:

Post a Comment