KEHUJAHAN HADIS MURSAL
PENGENALAN
Hadis mempunyai kategori yang tersendiri. Antara kategorinya ialah sahih, hasan dan da’if. Hadis da’if merupakan hadis yang lemah. Terdapat beberapa jenis hadis da’if seperti hadis mursal, hadis mu’allaq, hadis munqati’, hadis mudallas, hadis muttarib, hadis munkar dan hadis mubham. Hadis-hadis ini jarang digunapakai oleh para ulama untuk menggunakan sebagai hujah. Sekiranya mereka mahu menggunakannya, mereka perlu memastikan sanad hadis itu bersambung dengan Rasulullah S.A.W ataupun tidak. Sekiranya ia tidak bersambung, hadis itu dinamakan sebagai hadis mursal.
Dalam membincangkan tentang hadis mursal, ia akan melibatkan bidang yang amat luas kerana perbincangan ini perlu dilihat dari pelbagai sudut dan aspek. Antaranya ialah dari sudut kesempurnaan syarat ke atas sanad dan matannya, dari sudut bilangan perawi dan sebagainya. Hadis ini juga adalah salah satu sumber rujukan dalam perundangan Islam, fiqh dan sebagainya.
Kertas kerja ini akan membincangkan mengenai definisi hadis mursal dan pendapat ilmuan tentangnya. Di sini juga, penulis akan menjelaskan kehujahan hadis mursal. Terdapat tiga kategori kehujahan hadis mursal iaitu menyokong, menolak dan menerima dengan syarat hadis tersebut. Penulis juga turut menjelaskan hukum beramal dengan hadis ini. Selain itu, penulis turut membincangkan serba sedikit mengenai hadis Mursal Sahabiyy. Akhir sekali, penulis menyatakan mengenai peringkat-peringkat hadis mursal dan turut menyatakan perawi-perawi hadis mursal.
DEFINISI
Hadis mursal dari segi bahasa diambil daripada perkataan al-irsal yang bermaksud melepaskan dan tiada halangan. (Ibn Manzur 1976:3/285)
Manakala dari segi istilah, terdapat pelbagai perbezaan pendapat daripada para ulama. Antaranya ialah pendapat jumhur ahli hadis yang mengatakan bahawa hadis mursal ialah setiap yang diriwayatkan oleh seorang tabi’in sama ada besar atau kecil daripada Nabi Muhammad S.A.W dari segi perkataan atau perbuatan atau perakuannya. Ibn Hajar berkata hadis mursal ialah hadis yang didengari oleh seorang tabi’in bukan daripada Rasulullah S.A.W. (Muhammad Ibn Muhammad Abu Shuhbah 1982:280)
Hadis mursal menurut ulama fiqh dan usul pula adalah hadis yang diriwayatkan oleh selain Sahabat. Disebut mursal kerana perawinya tidak menyebut sanad tanpa menjelaskan nama Sahabat yang meriwayatkan hadis tersebut. (‘Ajaj Al- Khatib 1999:430)
KEHUJAHAN
Ulama telah bersepakat bahawa hadis mursal adalah kategori hadis yang lemah (Muhammad Jamaludin 1987:137). Namun demikian, dari sudut kehujahannya yang menjadi perselisihan :
1. Sama sekali tidak boleh dijadikan hujah.
2. Diterima dan boleh dijadikan hujah.
3. Menerima mursal dengan bersyarat, tidak menerima secara keseluruhan.
Menolak Mursal Secara Mutlak
Pendapat yang pertama diwakili oleh Imam Nawawi dan Imam Muslim. Mereka mengatakan bahawa mursal tidak boleh dijadikan hujah sama sekali. Imam Nawawi berkata dalam kitabnya al-Taqrib: “Hadis mursal adalah hadis yang lemah menurut jumhur dan kebanyakan ulama fekah serta ulama usul (Al-Nawawi 1980:66). Manakala Imam Muslim dalam permulaan kitabnya iaitu Sahih Muslim berkata: “Riwayat-riwayat mursal menurut pandangan kami dan ahli ilmu dalam bidang hadis tidak boleh dijadikan hujah”(1998:54). Imam Nawawi tidak menerima hadis mursal kerana perawinya tidak diketahui, menjadikannya sebagai majhul al-‘ain dan majhul al-hal.
Menerima Hadis Mursal Secara Mutlak
Ini merupakan pendapat yang masyhur daripada Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad dan juga sebahagian ulama yang lain. Bagi Imam Abu Hanifah pula, beliau menerima hadis mursal yang diriwayatkan oleh tiga golongan sama ada Sahabat, tabi’in atau tabi’ tabi’in. (Muhammad Ibn Muhammad Abu Shuhbah 1982:283). Penerimaan mursal tersebut dengan syarat bahawa perawi yang meriwayatkan hadis secara mursal ini terdiri daripada perawi yang thiqah dan tidak meriwayatkan hadis melainkan daripada orang yang thiqah juga kerana seseorang tabi’in yang thiqah tidak mungkin berkata, “Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Begitu dan begini melainkan dia mendengar sendiri hadis tersebut daripada orang yang thiqah sahaja”. Imam Nawawi telah berkata dalam bukunya al-Majmu’ Sharh Al-Muhadhdhab tentang ramai ulama fekah mengatakan mursal itu boleh dijadikan hujah (Al-Nawawi 1980:164).
Begitu juga Al-Qarafiyy dalam Sharh At-Tanqih meriwayatkan sesetengah ulama mengatakan bahawa hadis mursal itu boleh dijadikan sebagai hujah. Aspek pengharusan hadis mursal itu tidak meletakkan nama Sahabat adalah berdasarkan keadilan yang terdapat dalam diri mereka. Beliau tidak menyebut nama perawi kerana berdiam itu sudah memadai bahawa beliau mengambil kira sifat adil yang ada pada Sahabat. (Al-Qarafiyy 1971:164).
Ibn Jarir pula berkata dalam kitabnya al-Tadrib: “Aku mengumpulkan daripada orang yang hidup semasa zaman tabi’in serta mengetahui segala-galanya tentang mereka, aku dapat melihat tentang penerimaan mursal itu. Tidak ada seorang pun yang mengingkarinya”. (Al-Suyuti 1972:67).
Al-Sakhawiyy turut berkata dalam kitabnya Fath al-Mughith bahawa para ulama terdahulu juga memerlukan hadis mursal seperti Sufyan al-Thawriyy, Malik dan al-Auzaiyy. (Muhammad Jamaludin 1987:139).
Menerima Hadis Mursal Dengan Bersyarat.
Terdapat sebahagian ulama menerima hadis mursal sebagai hujah. Namun begitu, mereka meletakkan beberapa syarat tertentu. Di antara mereka adalah Imam al-Syafie. Di dalam kitab Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab, Imam al-Nawawi (1980:1/20) ada menyebut mengenai syarat-syarat yang dinyatakan oleh Imam al-Syafie. Di antaranya ialah :-
i. Perawi terdiri daripada kalangan tokoh-tokoh tabi’in (kibar al-tabi’in).
ii. Diriwayatkan secara musnad dari periwayatan yang lain.
iii. Tidak melalui Sahabat.
iv. Disokong oleh Qawl al-Sahabiyy.
Antara ulama yang menerima hadis mursal dengan bersyarat ialah Imam al-Syafie. Beliau hanya menggunakan hadis mursal yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Musayyib. Ini kerana hadis mursal yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Musayyib adalah sahih menurut sebahagian ulama. Contoh hadis mursal yang diriwayatkan olehnya adalah seperti berikut:
عن سعيد بن المسيّب أنَّ رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نهى عن بيع اللحم بالحيوان.
Maksudnya: “Daripada Sa’id bin Musayyib, sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang jual beli daging dengan haiwan”.
Hadis di atas menunjukkan pengharaman jual beli secara menukar daging dengan haiwan yang telah diriwayatkan oleh Sa’id bin Musayyib. Imam al-Syafie juga telah mengambil hukum pengharaman tersebut walaupun Sa’id bin Musayyib bukan daripada kalangan Sahabat. Hujah al-Syafie dalam masalah ini adalah kerana hadis mursal yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Musayyib adalah hadis hasan. (Muhammad Jamaludin 1987:144)
Oleh yang demikian, mengikut pendapat golongan yang kedua ini dalam menerima hadis mursal terdapat beberapa syarat yang ditetapkan. Selepas mengetahui tiga pendapat ulama mengenai kehujahan hadis mursal, penulis turut membincangkan mengenai Mursal Sahabiyy.
MURSAL SAHABIYY
Sahabat didefinisikan sebagai seorang yang adil, dan secara zahirnya setiap apa yang disampaikan oleh para Sahabat adalah perkara yang disampaikan oleh Nabi S.A.W kepada mereka, atau Sahabat yang lain telah mendengar daripada Sahabat yang lain. (Muhammad Fuad Muhammad Suariyy. 2005:147)
Menurut ulama jumhur yang terdiri daripada ahli-ahli Hadis dan ahli-ahli Usul, mereka telah mengatakan bahawa mursal Sahabiyy boleh dijadikan sebagai hujah. Ini kerana hadis mursal adalah hadis yang telah diriwayatkan oleh para Sahabat yang mana mereka memperoleh hadis itu daripada kata-kata Rasulullah S.A.W ataupun daripada perbuatan Rasulullah S.A.W. (Muhammad Ibn Muhammad Abu Shuhbah 1982:284)
Sahabat yang meriwayatkan hadis mursal ini tidak melihat atau mendengar daripada Rasulullah S.A.W disebabkan oleh faktor umurnya yang masih muda pada ketika itu, ataupun lambat memeluk agama Islam atau mereka merupakan seorang Sahabat yang tidak dikenali. Kebanyakan yang meriwayatkan hadis ini adalah merupakan dari kalangan sighar al-sahabah seperti Ibn ‘Abbas, Ibn Zubayr dan lain-lain lagi. (Manna’ Al-Qattan 2001:122)
Pada pandangan yang lain pula, mereka mengatakan bahawa hukum hadis mursal ini sama seperti hadis mursal yang lain dan pandangan ini adalah pandangan yang lemah dan ditolak. (Manna’ Qattan 2001:123)
Terdapat satu contoh hadis yang berkaitan dengan musal Sahabiyy iaitu mengenai ‘Aisyah yang meriwayatkan hadis mengenai penurunan wahyu Rasulullah S.A.W. Pada waktu penurunan wahyu, Aisyah tidak lahir lagi. Oleh itu, hadis yang diriwayatkan Aisyah adalah hadis Mursal Sahabiyy.
Oleh itu, dapat dilihat bahawa hadis mursal Sahabiyy juga adalah merupakan salah satu cabang daripada hadis mursal. Ini kerana keadaan para Sahabat ketika menerima hadis daripada Rasulullah S.A.W sama ada ketika umurnya masih muda, lewat memeluk agama Islam atau yang tidak dikenali. Seterusnya, penulis membincangkan mengenai peringkat hadis mursal.
Peringkat Hadis Mursal
Al-Sakhawiyy telah berkata dalam kitabnya Fath al-Mughith bahawa peringkat mursal yang tertinggi ke peringkat yang paling rendah adalah seperti berikut:
1) Diriwayatkan oleh Sahabat yang sabit mendengarnya daripada Nabi S.A.W.
2) Hadis mursal yang diriwayatkan oleh para Sahabat yang hidup pada zaman Rasulullah S.A.W tetapi hanya mendengar daripada Sahabat yang lain.
3) المحضرم.
4) المتقن iaitu mereka yang benar-benar mantap dalam bidang hadis seperti Sa’id bin Musayyib.
5) Hadis-hadis mursal yang diriwayatkan oleh mereka yang benar-benar mengkaji latar belakang syeikhnya seperti al-Sha’bi dan Mujahid.
6) Diriwayatkan oleh mereka yang mengambil hadis daripada orang yang diperkatakan sebelum ini seperti hadis hassan.
7) Sighar al-tabi’in yang dabit seperti Qatadah, al-Zuhriyy dan Humaid al-Tawil yang kebanyakannya diambil daripada al-tabi’in (Subhi Salih 2000:167).
Penulis telah menyatakan tentang peringkat hadis mursal. Berikutnya, penulis akan menyatakan senarai perawi hadis mursal ini secara ringkas.
Perawi Hadis Mursal
Kebanyakan perawi hadis mursal tinggal di Mekah, Madinah, Kufah, Mesir dan Syam. Antaranya ialah:
i) Ata’ bin Abi Rabah,
ii) Hasan al-Basri,
iii) Ibn Musayyib,
iv) Ibrahim bin Yazid al-Nakhai’
v) Sa’id bin Abi Hilal. (Abi Abdillah Muhammad 405H:25)
Perawi-perawi di atas telah berpendapat bahawa di antara hadis mursal yang sahih adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Musayyib. Hal ini kerana beliau merupakan anak kepada Sahabat dan telah hidup pada zaman khalifah ’Umar al-Khattab. Selain itu, beliau mendapat hadis mursal dengan sanad yang sahih serta dalil yang dinyatakan adalah jelas. (Muhammad Jamaludin 1987:147).
CONTOH HADIS MURSAL
(رواه المسلم)
Maksudnya : Daripada Nafi’ daripada Ibn ‘Umar telah meriwayatkan bahawasanya: “Rasulullah s.a.w melarang (jual beli) muzabanah.” (Riwayat Al-Muslim)
Hadis di atas diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar yang diambil daripada Rasulullah S.A.W tanpa menyebut nama Sahabat.
قال مالك عن جعفر بن محمد عن أبيه أن رسول الله قضى باليمن والشاهد
Maksudnya: Daripada Malik daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W menghukum menggunakan sumpah dan saksi.
Di sini Muhammad bin Ali Zainul Abidin tidak menyebutkan Sahabat yang menjadi perantara antara Nabi dan bapanya.
عن سعيد بن المسيّب أنَّ رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نهى عن بيع اللحم بالحيوان.
Maksudnya: “Daripada Sa’id bin Musayyib, sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang jual beli daging dengan haiwan”.
Hadis di atas menunjukkan pengharaman jual beli secara menukar daging dengan haiwan yang telah diriwayatkan oleh Sa’id bin Musayyib. Imam al-Syafie juga telah mengambil hukum pengharaman tersebut walaupun Sa’id bin Musayyib bukan daripada kalangan Sahabat.
روى يحيى عن مالك عن ابن شهاب عن سعيد بن المسيب أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: من أكل من هذه الشجرة فلا يقرب مسجدنا يؤذينا بريح الثوم.
Maksudnya: Diriwayatkan Yahya daripada Malik daripada Ibn Shihab daripada Sa’id bin Musayyib sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda: sesiapa yang makan daripada pokok ini (bawang), maka janganlah hampiri masjid kami kerana ia akan menyakiti kami dengan bau bawang tersebut.
Hadis ini daripada Sa’id bin Musayyib yang tidak menyebut nama Sahabat dalam meriwayatkan hadis ini.
RUJUKAN
‘Abdullah Al-Hafiz Naisaburi, Abi ‘Abdillah Muhammad. 405H. Kitab Ma’rifah ‘Ulum Hadith. Beirut: Maktabah at-Tijariyy al-Thaba’ah Wa Tauzi’ wa al-Nashr.
Ibn Manzur. 1976. Lisan al-‘Arabiyy: Beirut. Dar Sadir. Jil. 3. Rabat: Maktan Tansiq al-Ta’rib.
Al-Khatib, ‘Ajaj. 1999. Keutamaan Ilmu-ilmu Hadis. Terjemahan Drs. H. M. Qodirun Nur. Johor Bharu: Badan Cemerlang Sdn Bhd.
Muhammad Fuad Muhammad Suariyy. 2005. Al-Madkhal ila Dirasah al-Fiqh al-Islami: Kuala Lumpur: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Muhammad Ibn Muhammad Abu Shuhbah. 1982. Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadith. Qaherah: Dar Al-Fikr Al-‘Arabi.
Muhammad Jamaluddin al-Qasimi. 1987. Qawa’id al-Tahdith Min Fununi Mustolah al-Hadith: Beirut: Dar al-Nafais.
Muhyiddin Abu Zakariya Yahya. 1998. Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi. Qaherah: Dar al-Hadith.
Al-Nawawi. 1980. Majmu’ Sharh Al-Muhadhdhab. Madinah : Maktabah al-Salafiyyah.
Al-Qarafiyy. Al-‘Allamah Al-Shihab Al-Qarafiyy. 1971. Tarikh al-Fusul fi Ikhtisar al-Mahsul fi al-Usul. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiah.
Al-Qattan, Manna’, 2001. Mabahith fi ‘Ulum al-Hadith. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Subhi Salih. 2000. ‘Ulum al-Hadith Wa Mustalah: Beirut: Dar al-‘Ulum.
Al-Suyuti, Abu al-Fadl 'Abd al-Rahman ibn Abi Bakr Jalal al-Din al-Suyuti. 1972. Al-Tadrib Rawi fi Sharh al-Taqrib al-Nawawiyy. Beirut: Dar al-Fikr.
NUR AQILAH DALILAH BINTE MOHAMMED ALIM
ATRASINA BINTI MOHD ZAHRULLAIL
WAN NURBAINI BINTI MOHAMED AMIN
SITI NORAIN SAMEHAH BT HARUN
WAN NUR NADIYATUL HUSNA BT WAN AKASHAH
perkongsian ilmu yang sangat bagus.
ReplyDelete