Pages

Wednesday, November 10, 2010

AL-AMR


PENGENALAN

Gaya bahasa Al-Quran dan al-Sunnah sangat berlainan dengan gaya bahasa moden yang ada pada masa kini  kerana al-Quran dan al-sunnah  disampaikan dalam bahasa Arab. Kandungan al-Quran bukan sahaja terhad kepada perintah, larangan dan akibat hukumnya sahaja, tetapi juga dalam bentuk ajakan serta seruan moral untuk kesedaran setiap individu. Seruan mungkin berbentuk pujukan, kelebihan, peringatan, kebaikan dan keburukan  membuat atau meninggalkan sesuatu perintah juga balasan atau ancaman di akhirat  kelak. Suruhan  dan tegahan atau larangan dalam  al-Quran terdapat dalam pelbagai bentuk. Al-amr merupakan salah satu asas hukum syarak, kerana melaluinya kita dapat memahami dan mengeluarkan sesuatu hukum, walaupun pada dasarnya hukum asal bagi setiap perintah adalah wajib. Di sini, dihuraikan dengan panjang lebar perbahasan mengenai al-Amr sama ada dari sudut definisi, sighah-sighah yang menunjukkan perintah, hukum yang boleh diistinbat daripada sighah-sighah, kedudukan bentuk perintah selepas tegahan atau pengharaman, hujah-hujah para ulama, dan sebagainya yang berkaitan dengan al-Amr.




1.0       DEFINISI AL-AMR
Daripada sudut bahasa al-amr boleh didefinisikan sebagai perintah. Dari sudut istilah pula, para ulama berselisih pendapat mengenai definisi al-amr.

     I.            Jumhur ulama berpendapat bahawa al-amr ialah perkataan yang menuntut membuat sesuatu perbuatan.
القول الطالب للفعل

Maksudnya : perkataan yang menuntut membuat sesuatu perbuatan

Perkataan  القول menunjukkan isyarat yang menuntut melakukan sesuatu perbuatan tetapi ia tidak dinamakan perintah.

Manakala الطالب pula berperanan untuk mengeluarkan berita kerana perkataan yang berbentuk berita tidak dikatakan amar atau perintah.

Seterusnya, perkataan للفعل  digunakan dalam takrif untuk mengeluarkan tegahan kerana perkataan yang menunjukkan tegahan melakukan perbuatan tidak dinamakan al-amr tetapi dinamakan al-nahy.

Mengikut takrif ini, maka setiap perkataan yang menuntut melakukan sesuatu perbuatan dinamakan al-amr, sama ada perkataan itu lahir daripada orang atasan kepada orang bawahan ataupun sebaliknya. (Hassan Ahmad 2000 : 387)

  II.            Kebanyakan ulama Muktazilah dan sebahagian daripada ulama  as-Ashairah seperti Abu Ishak al-Shiraziyy bahawa al-amr ialah perkataan yang menuntut membuat sesuatu perbuatan dengan syarat lahirnya daripada orang peringkat atasan ke orang peringkat bawahan.

القول الطا لب للفعل بشرط صدوره ممن هو أعلى رتبة لمن هو دونه فى الرتبة

Maksudnya : perkataan yang menuntut melakukan sesuatu perbuatan dengan syarat yang dikeluar oleh orang atasan kepada orang bawahan.

Huraian  perkataan القول,  الطالب,  للفعل telah pun dijelaskan semasa penghuraian pengertian pertama di atas tadi bagi al-amr.  

Manakala, perkataan  بشرط صدوره ممن هو أعلى رتبة لمن هو دونه في فى الرتبة kegunaannya ialah mengeluarkan iltimas dan doa, kerana perkataan yang menuntut melakukan sesuatu perbuatan jika sekiranya perkataan itu lahir daripada seorang yang sama taraf dipanggil iltimas dan jika sesuatu perkataan itu keluar daripada orang bawahan kepada orang atasan dipanggil doa atau rayu. (Hassan Ahmad 2000 : 338)

III.            Abu Hussin Al-Basri daripada golongan Muktazilah berpendapat bahawa al-amr ialah perkataan yang menuntut membuat sesuatu perbuatan serta mengganggap dirinya berkedudukan tinggi.

القول الطا لب للفعل مع الإستعلاء

Maksudnya : perkataan yang menuntut membuat sesuatu perbuatan serta mengganggap dirinya orang atasan.

Perkataan الإستعلإ bererti orang bekedudukan tinggi yang mengangap dirinya berada diperingkat atas walaupun pada hakikatnya dia bukanlah dari peringkat atasan. (Muhammad Soleh al-Musaimah 1993 : 28)

2.0       SIGHAH-SIGHAH AL-AMR

a.       Sighah ficl al-amr iaitu atas wazan ifcal. Contohnya, firman Allah :

 قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُ‌ۖ 
Maksudnya: Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu…
      ( as-Saffat.37:2)

Lafaz ٱفۡعَلۡ di atas merupakan ficl al-amr, dan hukum hakiki dimana setiap perintah menunjukkan wajib. Maka hukum yang diistinbat daripada sighah al-amr tersebut menunjukkan perbuatan tersebut wajib dilaksanakan.


b.      Ficl al-mudaric yang disertai dengan ل amru. Contohnya, firman Allah :

فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ
Maksudnya: Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya)
(al-Baqarah:2:185)

Lafaz فَلْيَصُمْهُ merupakan gandingan ficl al-mudaric danل  amru yang menunjukkan perintah supaya melakukan kerana disertai lam al-amr. Maka hukum yang diistinbat daripadanya adalah wajib. ( Jasin bin Muhammad Muhalhil Yasin 1988 : 99)

c.       Sighah al-amr juga boleh hadir dalam bentuk kata terbitan yang menggantikan ficl al-amar. Contohnya, firman Allah :

فَرِهَـٰنٌ۬ مَّقۡبُوضَةٌ۬‌ۖ
Maksudnya: Maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang.                                 
 (al-Baqarah: 2: 283)

 Lafaz فَرِهَانٌ merupakan kata terbitan daripada perkataan رهن yang menunjukan kepada perintah. Maka hukum yang diistinbat daripada lafaz ini menunjukkan perbuatan itu adalah wajib. ( Hassan Ahmad 2000 : 391)

d.      Jumlah khabariyyah yang difahami sebagai al-amr. Contohnya, firman Allah :

وَٱلۡوَٲلِدَٲتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَـٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِ‌ۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَ‌ۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu…
(al-Baqarah:2:233)

Sighah ini merupakan tuntutan supaya para ibu menyusukan anak-anak mereka,dan bukan bertujuan untuk memberitahu tempoh penyusuan tersebut. Maka ayat ini wajib melalui lafaz inshaiyyah yang dimaksudkan di sebalik lafaz khabariyyah, iaitu para ibu wajib menyusukan anak mereka. ( Hassan Ahmad. 2000 : 233)

e.       Sighah yang  hadir dalam bentuk  menunjukkan suruhan wajib seperti farada dan kutiba. Contoh firman Allah:

                                                                                                                                                                      i.            قَدۡ فَرَضَ ٱللَّهُ لَكُمۡ تَحِلَّةَ أَيۡمَـٰنِكُمۡ‌ۚ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda iaitu kafarah)…
(  al-Tahrim: 66 : 2)

Lafaz فَرَضَ secara jelas menunjukkan perbuatan itu difardukan. Maka hukum yang diistinbat daripada lafaz tersebut adalah wajib.

                                                                                                                                                    ii.            يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa…
(  al-Baqarah: 2: 183)

Lafaz كُتِبَ adalah lafaz yang secara jelas menunjukkan diwajibkan berpuasa, maka hukum berpuasa adalah wajib. ( Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali. 1997 : 152)





3.0       HUKUM YANG DIISTINBAT DARIPADA SIGHAH AL-AMR
Ulama telah berbeza pendapat dalam menentukan makna hakiki lafaz al-amr  ketika tidak ada tanda yang menunjukkan salah satu dari maknanya. Terdapat beberapa pendapat ulama mengenai makna hakiki tersebut. Jumhur ulama usul berpendapat makna asal al-amr adalah wajib berdasarkan dalil ini, sebagaimana firman Allah s.w.t :

فَلۡيَحۡذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنۡ أَمۡرِهِۦۤ أَن تُصِيبَہُمۡ فِتۡنَةٌ أَوۡ يُصِيبَہُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ          
Maksudnya: Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahNya beringat serta berjaga-jaga supaya mereka tidak ditimpa bala bencana atau ditimpa azab siksa yang tidak terperi sakitnya.
( al-Nur: 24 : 63 )

Ayat di atas menerangkan, orang yang melanggar perintah Allah akan ditimpa azab yang pedih. Oleh itu, ulama berpendapat azab yang menimpa mereka adalah kerana meninggalkan perintah wajib. Ayat ini juga menunjukkan asal perintah adalah wajib, kecuali ada qarinah yang memalingkan makna asal tersebut. ( Hassan Hassan.2000 : 397-398)

Al-amr asalnya menunjukkan wajib dengan adanya tanda-tanda tertentu. Contohnya firman Allah :

أقيمُواالصَّلاةَوآتُواالزَّكَاة                                                                        
Maksudnya: Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat..
                                                                    ( al-Nur: 24 : 56)

Lafaz أقيمُوا merupakan ficl al-amr yang bermaksud perintah, tiap-tiap perintah adalah wajib. Maka, sembahyang adalah wajib.

Namun demikian terdapat juga beberapa hukum yang dapat dikeluarkan atau diistinbat daripada sighah-sighah al-amr selain daripada wajib mengikut kesesuaian qarinah yang hadir bersamanya. Antaranya hukum hakiki wajib tadi boleh menjadi selain daripada hukum wajib dengan adanya qarinah atau petunjuk yang memalingkan makna tersebut kepada sunat, harus, irshad, tacdib, indar (amaran), tacjiz (melemahkan atau mencabar), doa, ikram, al-taskhir, al-taswiyyah, al-imtinan, al-takwin, al-tafwid, al-takdhib, al-iltimas, al-tamanni, al-ihanah, dan al-ihtiqar. (Abdul Latif Muda 1997 : 154-159)

Sighah al-amr juga boleh bermaksud sunat dengan terdapatnya qarinah yang menunjukkan sunat, contohnya, Firman Allah :

فَكَاتِبُوهُمۡ إِنۡ عَلِمۡتُمۡ فِيہِمۡ خَيۡرً۬ا‌ۖ
Maksudnya: Hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian)..
                                    ( al-Nur: 24 : 33)

Ayat di atas telah memalingkan maksud asal hukum tersebut melalui qarinah yang difahami berdasarkan ayat itu sendiri, iaitu selepas ficl mudaric diberi pilihan samada untuk menulis atau tidak hutang tersebut. Ini bermakna lafaz tersebut tidak menunjukkan wajib tetapi hanyalah sunat.
Seterusnya sighah al-amr juga boleh menjadi harus. Contohnya, firman Allah :

اللَّهِ كُلُواوَاشْرَبُوامِنْ رِزْقِ
Maksudnya: Makanlah dan minumlah daripada rezeki Allah..
                                                                                        (  al-Baqarah: 2 : 60 )

Perkataan كُلُواوَاشْرَبُوا, kedua-duanya adalah perintah daripada Allah,dan makna hakiki  tiap-tiap perintah adalah wajib. Maka melalui ayat ini hukum makan dan minum adalah wajib, tetapi oleh kerana makan dan minum adalah urusan keduniaan serta Allah dan Rasul tidak menyatakan banyak atau sedikit malahan tiada paksaan, jadi perintah ini tidak boleh dikatakan wajib. Sesuatu yang tidak wajib berkaitan hal keduniaan dinamakan mubah, iaitu harus makan dan minum. (Abdul Qadir Hassan 1971:29)



4.0       KEDUDUKAN SIGHAH AL-AMR SELEPAS TEGAHAN ATAU PENGHARAMAN
Prinsip asas al-amr adalah wajib, tetapi apabila ia datang selepas berlakunya tegahan atau perintah pengharaman, maka ia boleh membawa selain hukum wajib. Di sini, para ulama terdahulu telah memberikan pelbagai  pendapat tetapi hanya tiga pendapat sahaja yang akan dibincangkan.

1)         Pendapat Imam al-Shafiiyy, mazhab Hanbali dan sebahagian mazhab Maliki
Menurut pendapat Imam al-Shafiiyy, mazhab Hanbali dan sebahagian mazhab Maliki, perintah selepas tegahan menunjukkan kepada hukum harus. (Abdul Karim Zaydan 2009 : 234) Mereka berhujah bahawa kedatangan perintah selepas adanya tegahan adalah tanda yang menunjukkan perintah asal (wajib) dipalingkan kepada harus. Hal ini  kerana kebanyakan sighah al-amr yang datang selepas tegahan menunjukkan hukum harus menurut persepakatan para ulama sebagaimana contoh berikut :

وَإِذَا حَلَلۡتُمۡ فَٱصۡطَادُوا‌ۚ
Maksudnya : "dan apabila kamu selesai bertahallul, maka berburulah".
( al-Maicdah: 5: 2)
Dalam ayat ini terdapat perintah iaitu فَاصْطَادُوا yang bermaksud "berburulah". Maka ulama usul telah berselisih pendapat dalam menentukan hukum yang terkeluar melalui perintah ini sama ada wajib atau harus.( Muhammad Soleh al-Usaimin 1993 : 32) Perintah berburu ini datang selepas adanya tegahan melakukannya seperti firman Allah S.W.T :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَوۡفُواْ بِٱلۡعُقُودِ‌ۚ أُحِلَّتۡ لَكُم بَہِيمَةُ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ إِلَّا مَا يُتۡلَىٰ عَلَيۡكُمۡ غَيۡرَ مُحِلِّى ٱلصَّيۡدِ وَأَنتُمۡ حُرُمٌ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ يَحۡكُمُ مَا يُرِيدُ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendak
(  al-Maidah: 5 : 1)

Ulama bersepakat mengatakan perintah supaya berburu selepas adanya tegahan menunjukkan kepada harus, dan tidak membawa kepada hukum wajib berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah sendiri.

2)         Pendapat kedua pula mengatakan sighah al-amr yang datang selepas tegahan adalah wajib. Pendapat tersebut dipelopori oleh kebanyakan ulama bermazhab al-Hanafi dan sebahagian mazhab al-Shafiiy dan Maliki (Abdul Karim Zaydan 2009 : 234). Mereka berpegang kepada prinsip asal al-amr itu sendiri iaitu setiap perintah menunjukkan kepada hukum wajib ketika  tiada qarinah yang memalingkannya kepada hukum yang lain. Ini dapat dilihat melalui firman Allah S.W.T :

فَإِذَا ٱنسَلَخَ ٱلۡأَشۡہُرُ ٱلۡحُرُمُ فَٱقۡتُلُواْ ٱلۡمُشۡرِكِينَ حَيۡثُ وَجَدتُّمُوهُم
Maksudnya : “maka apabila berakhir bulan-bulan haram maka hendaklah kamu membunuh orang-orang musyrik di mana sahaja kamu menemui mereka”.
(  al-Tawbah: 9 : 5)


Perintah membunuh orang-orang musyrikin di dalam ayat ini adalah selepas diharamkan melakukannya di dalam bulan-bulan haram dan ia menunjukkan kepada hukum wajib menurut persepakatan ulama.

3)         Perintah yang datang selepas berlakunya tegahan menunjukkan kepada suruhan untuk menghapuskan tegahan itu dan kembali kepada hukum asal sebelum berlakunya tegahan sama ada wajib, harus, sunat dan sebagainya. Ini adalah pendapat al-Kamal Ibn al-Humam daripada mazhab Hanafi (Abdul Karim Zaydan 2009 : 234). Mereka berhujah berdasarkan kajian yang dibuat terhadap perintah-perintah yang datang selepas adanya tegahan ini, dan hasil kajian tersebut mendapati bahawa hukumnya adalah sama seperti sebelum berlakunya tegahan.

a)         Memerangi orang-orang musyrikin pada mulanya adalah wajib, dan ia ditegah oleh Islam dalam bulan-bulan haram. Kemudian ia diperintahkan semula setelah berakhirnya bulan-bulan tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَإِذَا ٱنسَلَخَ ٱلۡأَشۡہُرُ ٱلۡحُرُمُ فَٱقۡتُلُواْ ٱلۡمُشۡرِكِينَ حَيۡثُ وَجَدتُّمُوهُم
Maksudnya : “maka apabila berakhir bulan-bulan haram maka hendaklah kamu membunuh orang-orang musyrik di mana sahaja kamu menemui mereka”.
( al-Tawbah: 9 : 5)

Para ulama telah bersepakat dan berpendapat bahawa hukum memerangi orang bulan Islam adalah wajib dan hukum wajib ini juga kekal selepas tamatnya tempoh tegahan tersebut.

b)         Contoh ayat yang mengekalkan hukum asal selepas datangnya tegahan adalah pada surah al-Ma’idah ayat 2 :
وَإِذَا حَلَلۡتُمۡ فَٱصۡطَادُوا‌

Maksudnya : "dan apabila kamu selesai bertahallul, maka berburulah".      
 ( al-Maidah: 5 : 2 )
Hukum berburu pada mulanya diharuskan, kemudian ditegah pada masa berihram, selepas itu diperintahkan melakukannya setelah selesai berihram. Jumhur ulama bersepakat, ayat tersebut menjelaskan bahawa seseorang yang selesai daripada ihram dengan bertahallul diharuskan berburu. Hukum harus berburu merupakan hukum asal, sebelum ia ditegah. (Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali. 1997: 165)



5.0       KEDUDUKAN AL-AMR DARI SUDUT PENGULANGAN TUNTUTAN

Prinsip asas al-amr itu adalah sesuatu perintah itu wajib untuk dilakukan. Namun, timbul persoalan tentang kadar sesuatu tuntutan itu untuk dilakukan. Adakah cukup sekadar sekali sahaja melakukannya, atau perlu dilakukan berulang kali? Jika terdapat tanda atau qarinah yang mengkehendaki untuk melakukanya berulang kali atau sebaliknya, maka ia dihukum berdasarkan tanda atau qarinah tersebut. Namun, jika sesuatu perintah itu tidak terdapat sebarang tanda aras yang menentukan kadarnya, maka ulama telah berselisih pendapat :
       I.            Pendapat ini dianggap sebagai pendapat jumhur ulama. Perintah yang tidak dikaitkan dengan sesuatu (al-amr al-mutlaq) menunjukkan kepada tuntutan melaksanakannya tidak terikat dengan sekali atau berulang kali. Apabila ia terlaksana dengan dilakukan  sekali, ia juga terlaksana dengan berulang-ulang, tetapi sekali adalah yang paling minima untuk dilaksanakan. Ini adalah pendapat Imam al-Raziyy dan pengikutnya, antaranya ialah al-Baydawiyy. ( Hasan Ahmad 2002 : 407)

Mereka berhujah bahawa al-amr yang mutlaq kadang-kadang penggunaannya membawa maksud untuk dilakukan secara berulang-ulang dan kadang-kadang membawa maksud sekali sahaja. Contoh ayat yang menunjukkan kepada perlakuannya berulang-ulang adalah :

وَإِن كُنتُمۡ جُنُبً۬ا فَٱطَّهَّرُواْ‌ۚ
Maksudnya : “Sesungguhnya sesiapa yang berjunub maka bersucilah”.
( al-Ma’idah : 5 : 6 )
Berdasarkan kepada ayat di atas, lafaz فَاطَّهَّرُوا  adalah sighah al-amr yang terbentuk ficl al-amr yang menunjukkan perintah wajib bersuci apabila berjunub. Lafaz إِن menujukkan syarat supaya bersuci iaitu wajib mandi setiap kali berjunub. (A. Hanafi M.A.1998 : 37)
Contoh al-amr mutlaq yang membawa maksud sekali ialah sabda Rasulullah S.A.W :

ان الله كتب عليكم الحج فحجروا الناس ياأيها

Maksudnya : “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memfardhukan haji ke atas kamu, maka hendaklah kamu mengerjakan haji”.     
    II.            Kebanyakan ulama mazhab Hanbali dan Shafici berpendapat ia menunjukkan sekali berdasarkan kepada lafaz dan boleh diandaikan berulang-ulang (Abdul Karim Zaydan 2009 : 235). Mereka berhujah dengan hadith Rasulullah S.A.W :
ان الله كتب عليكم الحج فحجروا الناس ياأيها

Maksudnya : “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memfardhukan haji ke atas kamu, maka hendaklah kamu mengerjakan haji”.

Setelah mendengar sabda Rasulullah ini, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah tentang perkara ini.Adakah kefardhuan haji ini mesti dilakukan pada setiap tahun atau tidak. Pertanyaan ini pasti lahir daripada pemahamannya bahawa perintah tersebut mungkin membawa maksud berulang-ulang atau sekali. Ini jelas menunjukkan bahawa hadis ini memberi maksud sama ada perlu dilakukan berulang-ulang atau sekali sahaja. Jika tidak, sudah tentu Rasulullah akan menegur soalan itu. (Abdul Karim Zaydan 2009 : 237)
 III.            Pendapat ketiga pula daripada sebahagian fuqaha’ dan ulama al-kalam seperti al-Asfarayiniyy, al-Shiraziyy dan Ahmad bin Hanbal iaitu al-amr jika dikaitkan dengan sesuatu yang menunjukkan kepada berulang kali, maka penyempurnaan kepada  perkara yang diperintah itu boleh dilakukan berulang-ulang kali seumur hidup dengan syarat perkara yang diperintah itu mampu dilakukan. (Abd Latiff Muda & Rosmawati Ali 1997: 160)

Mereka berhujah berdasarkan peristiwa Saidina Abu Bakar memerangi golongan yang enggan membayar zakat. Saidina Abu Bakar berpegang dengan kewajipan untuk membayar zakat. Tiada seorang sahabat pun yang menyangkalnya.Ini menunjukkan mereka bersepakat bahawa perintah zakat itu wajib dilakukan berulang-ulang atau berterusan.

Hal ini juga boleh diaplikasikan dalam sighah al-nahy yang menetapkan kepada berulang-ulang sesuatu tuntutan yang ditegah.Ini kerana faktor sepunya kedua-dua lafaz ini adalah dari segi tuntutan (الطلب).




KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, dapatlah diketahui bahawasanya sighah-sighah al-amr terbahagi kepada beberapa bentuk iaitu sighah bentuk ficl al-amr, sighah ficl al-mudaric yang digandingkan dengan huruf ل amru, sighah bentuk ayat khabariyyah tetapi bermaksud inshaiyyah, sighah yang menunjuk suruhan wajib seperti farada dan kutiba, dan sighah bentuk masdar iaitu kata terbitan yang menggantikan ficl al-amr. Selain itu, melalui kaedah pengistinbatan hukum, sighah al-amr juga merupakan asas pengeluaran sesuatu hukum sama ada wajib, sunat, harus, irshad, ta’dib (adab), indar (amaran) serta ta’jiz (melemahkan). Terdapat juga perselisihan dalam kalangan ulama yang berselisihan pendapat terhadap kedudukan sighah al-amr yang datang selepas tegahan atau pengharaman dan juga kedudukan sighah al-amr dari segi pengulangan tuntutan. Terdapat juga perselisihan bahawa al-amr mesti ditunaikan segera atau boleh dilewatkan.



RUJUKAN
      Abdul Qadir Hassan  1977.  Usul al-Fiqh.  Kelantan : Pustaka Aman Press
A.                  Hanafi M.A  1988.  Usul Fiqh.  Selangor : Klang Book Centre.
Abdul Karim Zaydan  2009. Al-Wajiz fi Usul fiqh.  Damsyik : Muasasah al-Risalah Nasyirun.
Hassan  Ahmad  2000. Usul Fiqh.  Kuala Lumpur : Pustaka Haji Abdul Majid.
Jasin Muhammad Muhalhil Yasin  1988.  Jalan Pendek Untuk Mengenal Dasar Ilmu Ushul Fikih. Kuala Lumpur : Kalam Mulia.
Muhammad Soleh al-Usaimin 1993.  Al-Usul Min Ilmu al-Usul . Mesir : At-Tabia’h al-Ula al-Maktabah Bil Kaherah.
Rosmawati dan Abdul Latif Muda, 1997.Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.


NAMA                                                                                                           NO. MATRIK

SAIFUL AMAL BIN MUSAHUDDIN                                                        A132712

MOHD                                                                                                         A131***

MUHAMMAD ADIB BIN AZIZ                                                                 A132226

ABDUL WAFI BIN RAMLI                                                                         A127808



Sesi pengajian 2010/2011

No comments:

Post a Comment