Thursday, April 28, 2011

FATWA : PROSEDUR DAN PENGAMALANNYA DI MALAYSIA

PENDAHULUAN
Pada zaman globalisasi kini, fatwa dilihat begitu penting dalam menyelesaikan masalah atau isu baru yang timbul di kalangan umat Islam. Di Malaysia, institusi fatwa mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri untuk menyelesaikan persoalan mengenai hukum syarak serta menjelaskan kekeliruan dan kesamaran sesuatu hukum yang timbul di dalam masyarakat. Berbeza dengan situasi yang berlaku pada umat Islam pada zaman dahulu jika berlaku apa-apa permasalahan yang berkaitan dengan sesuatu hukum, mereka akan terus bertemu dengan baginda Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikannya. Ini kerana pada zaman tersebut baginda masih hidup dan baginda merupakan satu-satunya sumber rujukan utama dalam segala permasalahan.
            Merujuk kepada fatwa yang berpandukan kitab-kitab usul yang lain, pengeluaran fatwa melibatkan mufti perseorangan serta tidak melibatkan apa-apa prosedur seperti di Malaysia. Namun begitu, di Malaysia pengeluaran sesuatu fatwa itu mempunyai kaedah, prosedur, cara serta syarat tertentu yang telah ditetapkan bagi membolehkan susuatu fatwa itu dikeluarkan. Perkara-perkara yang telah ditetapkan ini adalah bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya sebarang kesilapan dalam memberikan jawapan dalam sesuatu masalah.
DEFINISI
Pengertian fatwa pada bahasa:
Ia diambil daripada يفتى  افتى- yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.
Pengertian fatwa menurut ahli usul fiqh:
Ibn Manzur menerangkan bahawa fatwa ialah satu perbuatan yang dilakukan oleh Mufti mengenai sesuatu hukum, atau satu keputusan hukum yang dikeluarkan oleh faqih ( seorang yang berpengetahuan luas lagi mendalam dalam perundangan Islam. (Othman 1981 :9)
            Fatwa ialah ism masdar yang bermaksud ‘ifta’ atau mengeluarkan fatwa, dengan jamaknya iatu ‘al-fatawa’ atau ‘al-fatawi’. ‘Al-istifta’ pula ialah meminta jawapan terhadap sesuatu perkara yang dimusykilkan atau member erti pertanyaan. Fatwa dalam hukum syarak ialah memberi penerangan tentang hukum syarak berdasarkan kepada dalil bagi orang yang bertanya tentangnya (Uthman 2006 :1)

Pengertian Fatwa di Malaysia:
Kenyataan Mufti yang diterbitkan melalui Warta Undang-undang (Ahmad Hidayat Buang 2006 :44). Maksud ini berbeza dengan istilah yang terdapat dalam fiqh. Oleh yang demikian, fatwa di Malaysia telah menjadi urusan rasmi pemerintah yang dikawal pengeluarannya dan dikuatkuasakan peruntukannya.

HUKUM FATWA
Mengikut pandangan kebanyakan ulama, hukum fatwa adalah fardhu kifayah, kecuali jika tiada yang layak (melainkan seorang sahaja), maka ketika itu hukumnya adalah wajib atau fardhu ain ke atasnya.Ini kerana fatwa termasuk dalam keperluan-keperluan agama yang sepatutnya wujud bagi manfaat dan kemaslahatan umum. Dengan adanya fatwa , masyarakat dapat menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan agama untuk mencapai keredhaan Allah. (Zulkifli Mohamad 2008:13)

SYARAT MUFTI
Mufti memainkan peranan penting dalam proses mengeluarkan sesuatu fatwa. Mufti mestilah seorang yang berkemampuan dan berkemahiran dalam mengeluarkan fatwa. Oleh itu terdapat beberapa syarat penting yang harus ada pada seseorang mufti.
Antara syarat-syarat utama seorang mufti adalah mufti tersebut hendaklah seorang yang tahu sumber hukum iaitu al-Quran. Perkara yang perlu diketahui daripada al- Quran ialah ayat-ayat yang berkaitan dengan hukum-hukum halal dan haram, bukannya ayat-ayat yang tidak berkaitan dengannya seperti ayat-ayat kisah nabi.
Selain itu, mufti mesti mengetahui hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan hukum hakam syarak. Mufti juga mesti mengetahui jalan-jalan atau perkara-perkara yang membolehkan seseorang memahami al-Quran dan al-Sunnah. Ini merangkumi ilmu berkenaan hakikat dam majaz, ām dan khāṣ, mujmal dan mufaṣṣal, muṭlaq dan muqayyad, manṭūq dan mafhūm dan mengetahui kaedah-kaedah bahasa Arab yang membolehkan seseorang itu memahami kehendak ayat al-Quran dan al-Sunnah.
Di samping itu, mufti juga mesti mengetahui hukum perbuatan Rasulullah s.a.w, nāṣńikh dan mansūkh, ijmak dan perselisihan pendapat di kalangan salaf, cara mengasingkan ‘iĺlah, mengetahui tertib susunan dalil-dalil syarak dan bentuk tarjih. Mufti juga mestilah seorang yang dipercayai dan amanah serta tidak mempermudah-mudahkan atau tidak sambil lewa dalam urusan agama. (Hassan Kasan 2008:49)

PERANAN FATWA
Fatwa memainkan beberapa peranan yang penting dalam sesebuah negara Islam seperti di Malaysia. Antaranya ialah: (Abdul Monir 1998:58)
a.       Memberikan penjelasan hukum hakam untuk pegangan mustafti (orang yang memohon   fatwa) dan masyarakat.
b.      Membuat penyeragaman dan penyelarasan hukum untuk kepentingan umum.
c.       Menyelesaikan masalah dan pertikaian di kalangan masyarakat dan ummah.
d.      Mewujudkan suasana perpaduan, kesatuan dan persaudaraan di dalam kehidupan seharian di kalangan umat Islam.
e.       Memperlihatkan imej dan maruah Islam serta ummahnya yang tinggi pada pandangan masyarakat bukan Islam.
f.       Fatwa yang telah diputuskan dan diwartakan merupakan suatu peraturan dan undang-undang yang mengikat orang ramai terutama kepada mustafti untuk memahaminya.
g.      Fatwa menjadi rujukan di dalam sesuatu hal berhubung dengan hukum hakam dan hal ehwal Islam yang timbul dari semasa ke semasa.

JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA.
Penubuhan
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan pada awal tahun 1970 berdasarkan kepada peruntukan Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Jawatankuasa ini merupakan badan pengeluar fatwa di peringkat Kebangsaan atas setiap perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. ( Anon: 2011)
           
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah bersidang buat pertama kalinya pada 23 hingga 24 Jun 1970 yang dipanggil dengan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan tersebut berlangung sebanyak 18 kali dan yang terakhir diadakan pada 14 Mei 1980. Kemudiaannya penggunaan perkataan Persidangan ditukar kepada perkataan Muzakarah. Maka pada tarikh 28 hingga 29 Jun 1981 diadakan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Kali Pertama. (nonA: 2011)

Tugas
Tugas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengikut pada Perkara 14 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa ini akan mengemukakan pendapat-pendapatnya kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang kemudian menghantarkannya bersama dengan pengesyoran-pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja.(Anon :2001)

KEANGGOTAAN
 Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdiri:
 i.    Seorang pengerusi yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) di kalangan ahlinya
ii.    Mufti tiap-tiap negeri yang mengambil bahagian atau seorang yang mewakili Negeri dalam Hal Ehwal Agama Islam
iii.   Lima orang alim ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja
iv.   Seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang atau dari profession undang-undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja
Mengikut Perkara 13 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, tiap-tiap ahli melainkan Pengerusi dan Mufti-Mufti hendaklah daripada calon-calon yang diperakukan oleh Perdana Menteri, selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun, tetapi ia adalah layak dilantik semula. Ia hendaklah memegang jawatan selama tempoh yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja (Anon : 2011)

KEAHLIAN JAWATANKUASA FATWA
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI)




Y. Bhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Abdul Shukor
Bin Haji Husin 
   Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI
   Pengarah Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Fatwa Sedunia
(INFAD),
   Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
   Bandar Baru Nilai,
   71800 Nilai,
Negeri Sembilan

  
Y.Bhg. Dato’ Wan Muhammad bin Dato’ Sheikh Abd. Aziz
    Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MKI
Ketua Pengarah
    Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
    Blok D7, Kompleks D,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
    62519 Putrajaya


Y. B. S.S. Tan Sri Dato’ Seri Hj. Harussani bin Hj. Zakaria
    Mufti Negeri  Perak Darul Ridzuan
    Pejabat Mufti Negeri Perak Darul  Ridzuan,
    Tingkat 5, Kompleks Islam Darul Ridzuan,
    Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,
    30000 Ipoh,
    Perak


Y.Bhg. S.S. Dato' Setia  Haji Mohd. Tamyes Bin  Abd. Wahid
    Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan,
    Pejabat Mufti Negeri Selangor,
    Tingkat 7 & 8, Menara Utara,
    Bangunan Sultan Idris Shah
    No. 2, Persiaran Masjid, Bukit SUK, Seksyen 5,
    40000 Shah Alam,
Selangor


Y.Bhg. S.S Dato' Haji Wan Zahidi Bin Haji Wan Teh
    Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,
    Tingkat 10, Menara Pusat Islam,
    Jalan Perdana,
    50519 Kuala Lumpur


Y. Bhg. S.S Datuk Hj. Ahmad Alawi Bin Hj. Adnan
     Mufti Negeri Sabah
     Pejabat Mufti Negeri Sabah,
     Tingkat 2, Blok B, Wisma MUIS,
     Jalan Sembulan, Beg Berkunci 2070,
     88818 Kota Kinabalu,
Sabah


Y. Bhg. S.S. Dato' Haji Hassan Bin Haji Ahmad
     Mufti Negeri Pulau Pinang
     Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang,
     Tingkat 45,  KOMTAR,
     10000 Pulau Pinang


Y. Bhg. S.S Datuk Wira Hj. Rashid Redza Bin Hj. Md. Saleh
     Mufti Negeri Melaka
     Jabatan Mufti Negeri Melaka,
     Aras 2, Imarah A. Kompleks MAIM,
     Jalan Bukit Palah,
     75150 Melaka


Y. B. S.S Dato' Hj. Muhamad Shukri bin Muhamad
     Mufti Kerajaan Negeri Kelantan
     Pejabat Mufti Negeri Kelantan,
     Kompleks Balai Islam Lundang,
     Jalan Sultan Yahya Petra,
     15200 Kota Bharu,
Kelantan


Y. Bhg. S.S. Dato’ Hj. Abd. Rahman bin Hj. Osman
     Mufti Negeri  Pahang
     Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pahang,
     Jalan Masjid,
     26600 Pekan, Pahang


YB. S.S Dato' Hj. Mohd. Tahrir bin Dato’ Shamsudin
    Mufti Negeri Johor
    Jabatan Mufti Negeri Johor Darul Takzim,
Tingkat 3, Kompleks Islam Johor,
    Jalan Masjid Abu Bakar, Karung Berkunci 725,
    80990 Johor Bharu,
Johor


Y. Bhg. S.S Dr. Haji Alias bin Abdullah
     Mufti Negeri Terengganu
     Jabatan  Mufti Negeri  Terengganu,
     Tingkat 1, Pusat Pentadbiran Islam Terengganu,
      Kompleks Seri Iman,
     Jalan Sultan Mohamad,
     21100 Kuala Terengganu,
Terengganu


Y. Bhg. S.S. Dato’ Hj. Mohd Yusof bin Hj. Ahmad
    Mufti Negeri Sembilan 
    Jabatan  Mufti Negeri Sembilan,
    Tingkat 3, Bangunan SUK Lama,
    Karung Berkunci 45, Jalan Dato' Hamzah,
    70990 Seremban,
Negeri Sembilan


Y. Bhg. S.S Dato’ Syeikh Muhamad Baderudin bin Hj. Ahmad
    Mufti Negeri  Kedah 
    Jabatan Mufti Negeri Kedah,
    Tingkat 6, Bangunan PKNK,
    Jalan Sultan Badlishah,
    05000 Alor Star,
    Kedah


Y. Bhg. S.S. Tuan Haji Kipli Bin Haji Yasin
    Mufti  Negeri  Sarawak
    Pejabat Mufti Negeri  Sarawak,
    Tingkat 6, Bangunan Mahkamah Syariah (Anjung   Kanan),
Jalan Satok,
    93400 Kuching,
Sarawak


Y. Bhg. S.S. Dr. Juanda bin Jaya
      Mufti Negeri  Perlis
      Jabatan Mufti Negeri  Perlis
      Bangunan Dato' Mahmud Mat,
      01000 Kangar,
      Perlis


Y. Bhg. Tan Sri Sheikh Ghazali Bin Hj. Abd. Rahman
       Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja
Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara
       No. 7019, Jalan 16,
       Taman Selayang Baru, Batu Caves,
68100 Selangor.


Y. Bhg. Dr. Abdul Hayei Bin Abdul Shukor
       Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja
No. 72, Jalan Dato’ Sulaiman,
       Taman Tun Dr. Ismail,
       60000 Kuala Lumpur


Y. Bhg. Prof. Zakaria Bin Stapa
       Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja
Fakulti Pengajian Islam,
       Universiti Kebangsaan Malaysia
       43600 Bangi,
       Selangor


Y. Bhg. Prof Madya Datin Dr. Paizah Bt. Hj. Ismail
       Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja
No.5, Jalan 11/6,
       46200 Petaling Jaya,
       Selangor Darul Ehsan


Y.Bhg. Dr. Haji Mat Saad Bin Abdul Rahman
       Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja
No. 11, Simpang 253-54-6,
       Jalan Beribi, Kg. Kiarong,
       BE1318 Bandar Seri Begawan,
       Brunei Darussalam


Y.Bhg. En. Faisal Bin Ahmad Sabri
      Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja
Penasihat Undang-Undang
       Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
       Aras 7, Blok D7, Kompleks D,
       Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
       62519 Putrajaya



KAEDAH PENGELUARAN FATWA
Di dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, terdapat beberapa kaedah atau prosedur yang perlu dipatuhi. Di antaranya ialah terdapat satu badan yang menjadi penyelaras bagi mengendalikan urusan pengeluaran sesuatu fatwa. Berikut adalah penerangan mengenai kaedah ini:
Organisasi
Struktur organisasi di dalam setiap pentadbiran melibatkan beberapa jawatankuasa yang mempunyai peranan dan tugas masing-masing. Setiap institusi pula mempunyai organisasi untuk mentadbir dan mengurus perjalanannya, begitu juga dengan fatwa. Perkara yang ingin disentuh dalam perkara ini ialah mengenai jawatankuasa bagi Majlis Fatwa Peringkat Kebangsaan dan ia diketuai oleh seorang pengerusi. Skop tugas pengerusi tersebut ialah bertanggungjawab untuk memanggil ahli-ahli majlis untuk bermuzakarah sekiranya terdapat sesuatu isu yang timbul.(Zaini Nasohah 2005:8)
Seterusnya, tugas setiausaha pula ialah bertanggungjawab untuk mengendalikan urusan memanggil atau menjemput setiap ahli majlis untuk bermuzakarah. Ahli-ahli majlis ini pula terdiri daripada mufti bagi setiap negeri di Malaysia. Setiap daripada mereka akan dipanggil jika ada sesuatu isu baru yang timbul dan kemudiannya akan pulang ke negeri masing-masing dengan membawa keputusan hasil daripada muzakarah peringkat kebangsaan. Urusetia turut tersenarai dalam organisasi ini dan ia dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Antarabangsa, JAKIM. (Zaini Nasohah 2005:9)
Prosedur mengeluarkan fatwa pada peringkat kebangsaan pula adalah berbeza berbanding dengan prosedur mengeluarkan fatwa bagi setiap negeri. Ia membabitkan fatwa bagi sebuah negara dan negeri-negeri yang ada akan terletak di bawah bidang kuasa fatwa kebangsaan ini. Selain itu, telah wujud satu Majlis Fatwa Kebangssan bagi memantau dan menyelaraskan Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri-negeri khususnya dalam sesuatu permasalahan atau isu yang besar yang melibatkan persoalan negara ataupun akidah umat Islam itu sendiri. Di antara isu yang telah diselesaikan atau diputuskan ialah sama ada halal atau haram Amanah Saham Malaysia, pegangan al-Arqam, golongan anti hadis dan lain-lain lagi.(Zaini Nasohah 2005:8).
Langkah-langkah pengeluaran fatwa:
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu ada dalam prosedur pengeluaran fatwa peringkat kebangsaan :
1)      Permohonan keputusan fatwa
Pada peringkat ini, sesuatu isu yang timbul sama ada daripada masyarakat mahupun mufti akan dibawa oleh pengerusi untuk diperbincangkan dalam sesi muzakarah yang diadakan. Sebelum isu tersebut dibawa dalam sesi muzakarah, ia telah melalui satu proses kajian atau penyelidikan oleh beberapa ahli yang dilantik seperti panel kajian. Golongan ini akan melakukan semakan hasil draf atau kertas kerja yang mengandungi masalah atau isu yang timbul. Mereka juga akan memperbaiki kesalahan yang berlaku pada draf atau kertas kerja tersebut. Seterusnya, selepas draf atau kertas kerja mengenai isu itu lengkap, ia akan diperbahaskan dengan baik pada sesi muzakarah.
     2) Pertimbangan oleh jawatankuasa fatwa
Pada peringkat ini, semua ahli majlis akan bermuzakarah bagi kes atau isu yang timbul dan selanjutnya akan membuat keputusan yang sewajarnya hasil daripada sesi muzakarah tersebut. Di sini setiap ahli akan menggunakan kepakaran masing-masing dalam mencari jawapan bagi kes atau isu yang timbul berdasarkan kepada sumber-sumber pengeluaran hukum seperti al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qiyᾶsdan ijtihad.
4) Keputusan fatwa dibawa ke peringkat negeri
Pada peringkat ini, setiap mufti yang mewakili negeri masing-masing akan membawa keputusan muzakarah pada peringkat kebangsaan ini untuk diperbincangkan atau diperbahaskan dengan setiap ahli majlis pada peringkat negeri.
Walaupun sudah terdapatnya fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, tetapi masih berlaku kecenderungan bagi setiap negeri untuk meminda teks fatwa tersebut selepas ia dibawa balik ke negeri masing-masing dan ditentukan oleh jawatankuasa fatwa negeri masing-masing. Biarpun keputusan fatwa yang dibuat di peringkat Kebangsaan itu merupakan keputusan majoriti para mufti yang menjadi anggota, namun perubahan masih berlaku apabila ia dibincangkan semula di peringkat negeri walaupun fatwa tersebut adalah keputusan majoriti dari para mufti. (Zaini Nasohah 2005:8)
Contoh:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok adalah haram menurut pandangan Islam (Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, 23 Mac 1995). Namun hanya sebilangan kecil negeri yang telah mewartakannya sebagai fatwa. Setakat ini, hanya negeri Selangor sahaja yang menerima seterusnya mewartakannya sebagai fatwa. (Zaini Nasohah 2005:10)
Bagi negeri Kedah pula,meskipun telah menerima fatwa yang serupa, namun tidak mewartakannya .Demikian juga dengan negeri Perlis dan Sarawak. (Keputusan Fatwa Negeri Perlis 1995; Keputusan Fatwa Negeri Sarawak 1995). Di Negeri Pahang pula, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak hanya mengharamkan merokok di kawasan masjid dan surau dengan alasan bahawa ia bertentangan dengan adab Islam. Pihak Jawatankuasa telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang menerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa Masjid untuk membuat papan tanda bagi menjadikan masjid dan surau sebagai kawasan larangan merokok.( Zaini Nasohah 2005: 10)
Pada peringkat yang terakhir, fatwa tersebut akan disiarkan sama ada melalui media elektronik dan media cetak selepas diwartakan. Ia bertujuan bagi mengelakkan daripada berlakunya lagi kesamaran di kalangan masyarakat terhadap sesuatu permasalahan isu yang baru timbul.( Zaini Nasohah 2005:9)
ANGGOTA JAWATANKUASA FATWA NEGERI
Salah satu badan yang bersama-sama Mufti dalam proses mengeluarkan fatwa ialah Jawatankuasa Fatwa. Seperti yang dimaklumi, nama jawatankuasa ini berbeza-beza mengikut negeri, tetapi fungsinya adalah sama sahaja iatu membantu Mufti dalam proses mengeluarkan fatwa. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada:
i ) Mufti sebagai pengerusi
ii) Dua orang ahli Majlis Agama Islam yang dilantik oleh Majlis sendiri
iii) Seorang pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang mahir dalam hukum syarak yang akan dilantik oleh Majlis.
iv) Orang-orang yang mahir dan berwibawa dalam hukum syarak yang dilantik oleh Majlis, sekurang-kurangnya tiga orang, tetapi tidak melebihi lima orang.
Oleh itu, anggota Jawatankuasa Fatwa adalah seramai tujuh orang.
Anggota Jawatankuasa Fatwa telah diberi kuasa mengeluarkan fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti mengikut peruntukan undang-undang. (Zulkifli Mohamad 2008 : 47)
Jawatankuasa-Jawatankuasa Fatwa Peringkat Negeri



1.
  Perlis
  Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis
2.
  Kedah
  Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah
3.
  Pulau Pinang
  Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
4.
  Perak
  Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak
5.
  Selangor
  Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor
6.
  Wilayah Persekutuan
  Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara' Wilayah Persekutuan
7.
  Negeri Sembilan
  Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.
8.
  Melaka
  Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka
9.
  Johor
  Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor
10.
  Pahang
  Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang
11.
  Terengganu
  Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu
12.
  Kelantan
Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu        
13.
  Sabah
  Majlis Fatwa Negeri Sabah
14.
  Sarawak
  Ahli-Ahli Lembaga Fatwa Negeri Sarawak


(Anon : 2011)
PROSEDUR MENGELUARKAN FATWA PERINGKAT NEGERI
Sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan, beberapa prosedur perlu diikuti. Disebabkan perbincangan adalah melibatkan prosedur pengeluaran fatwa peringkat negeri, maka hanya dipilih satu negeri sahaja untuk fokus perbincangan. Negeri yang dipilih untuk kajian ialah negeri Selangor. Berikut adalah cara-cara atau prosedur sesuatu fatwa itu dikeluarkan:
1 ) Isu yang timbul
2) Penghantaran kepada Mufti
3) Penyelidikan
4) Mesyuarat
5) Makluman keputusan dan draf warta
6) Perkenan daripada Sultan atau Raja bagi Negeri
7) Pewartaan
1)Isu yang Timbul
Sesuatu fatwa dikeluarkan apabila suatu perkara baru muncul ataupun sesuatu isu timbul, dimana ia memerlukan Mufti untuk mengeluarkan hukum tersebut.
Seksyen 30 menyatakan : “seksyen 30 (1) tertakluk kepada subseksyen (5) dan (6) dan seksyen 33. Mufti boleh atas daya usahanya sendiri atau atas permintaan daripada mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, atau atas perintah Yang di-Pertuan Besar, membuat dan memberitahu dalam Warta Fatwa atau pendapat atas sesuatu soalan yang belum terputus atau soalan yang menimbulkan pertikaian berkaitan dengan hukum syarak.
Untuk memahami seksyen 30 (1) secara keseluruhan dan menepati maksud yang dikehendaki,ia mestilah dibaca bersama subseksyen (5) dan (6) daripada seksyen 33 (5), “apabila mufti bercadang hendak membuat fatwa di bawah seksyen 30, dia hendaklah memanggil satu mensyuarat Jawatankuasa  bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu”
Sementara seksyen 33 (6) menyebut: “Jawatankuasa hendaklah menimbangkan cadangan tersebut dan hendaklah,( melainkan pada pandangan Jawatankuasa persoalan yang dirujukkan itu adalah remeh atas sebab-sebab lain tidak sepatutnya diputuskan) menyediakan satu rang fatwa berkenaan. Jika rang fatwa yang disediakan itu diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa, Mufti hendaklah bagi pihak atas nama Jawatankuasa memutuskan fatwa berkenaan.
Menurut seksyen-seksyen yang telah diperuntukkan, jelas menunjukkan bahawa kemungkinan sesuatu isu itu timbul adalah datang daripada pihak sultan, pihak perseorangan atau atas kehendak Mufti sendiri ( Zulkifli 2008 :32).
Hal ini bermakna, sultan boleh meminta Mufti mengeluarkan fatwa. Baginda berhak mengemukakan sebarang masalah agama kepada Mufti bagi memahaminya dengan lebih baik dan mendalam sama ada untuk peribadinya ataupun untuk maslahah umum yang difikirkan perlu. Ini kerana, sultan adalah ketua agama bagi negeri. (Zulkifli 2008:33).
Selain itu, fatwa juga dikeluarkan jika terdapat soalan daripada orang ramai tetapi ia hendaklah dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti. Persoalan yang ditanya atau diminta fatwa tersebut perlulah diteliti terlebih dahulu untuk menimbangkan samaada persoalan itu wajar untuk difatwakan. Sebaliknya,jika persoalan itu dianggap remeh, maka Mufti berhak untuk tidak menjawabnya. Ini berpandukan kepada seksyen 33 (6) (Zulkifli 2008: 33).
Mufti juga boleh mengeluarkan fatwa atas usahanya sendiri sekalipun tidak diminta oleh mana-mana pihak. Mungkin Mufti melihat  terdapat kewajaran untuk diputuskan berdasarkan maslahah umum (Zulkifli 2008: 32).
2)Penghantaran kepada Mufti
Seksyen 41 (1) memperuntukkan:
“Siapa-siapa pun boleh dengan bersurat kepada setiausaha meminta Majlis mengeluarkan fatwa di atas apa-apa perkara agama Islam atau nas atau undang-undang Adat Istiadat Melayu, apabila diterima permintaan yang demikian,hendaklah setiausaha dengan serta merta menghantar permintaan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Agama”.
            Walaubagaimanapun, peruntukan tersebut telah dipinda pada tahun 1989. Seksyen 31 (1) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 memperuntukkan:
“Mufti boleh atas daya usahanya sendiri atau atas permintaan daripada mana-mana orang yang dibuat dengan surat yang dialamatkan kepada Mufti”.
Perbezaan antara kedua-dua peruntukan ini adalah dari segi kepada siapa permintaan fatwa ditujukan. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 memperuntukkan bahawa surat yang dihantar mesti dialamatkan kepada Mufti, sedangkan peruntukan pada tahun 1952, surat yang dihantar perlu dialamatkan kepada Majlis dan Majlis akan mengemukakannya kepada Mufti ( Mazni 2004 : 124).
Peruntukan tersebut juga menunjukkan bahawa permintaan boleh dibuat dengan surat sahaja, akan tetapi dari segi praktikalnya pertanyaan boleh dikemukakan dengan apa sahaja termasuk faks,telefon dan sebagainya. ( Mazni 2004: 124).
3)Penyelidikan
Apabila Mufti bercadang hendak membuat fatwa, beliau hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa bagi maksud membincangkan perkara yang hendak diberi fatwa itu. Sebelum itu,beliau boleh mengarahkan supaya satu kajian atau penyelidikan dibuat dan kertas kerja disediakan.
            Hal ini menjadi perkara yang asas dan penting dalam amalan fatwa, kerana dengan kajian dan penyelidikan, keputusan fatwa yang diambil akan menjadi lebih matang dan menyakinkan. Dengan kajian ini juga pihak berkuasa fatwa negeri sama ada Mufti ataupun Jawatankuasa Fatwa akan mempunyai ruang yang mencukupi untuk membuat semakan dan penilaian yang teliti terhadap butiran isu yang berbangkit. Proses kajian dan penyelidikan yang sistematik itu amat penting dalam membuat keputusan fatwa, kerana fatwa itu sendiri bukan merupakan pandangan hukum yang ‘spontan’ dan tanpa disiplin tertentu, bahkan ia adalah satu proses pemetikan hukum yang bersistematik (Nor Naemah 2002: 23).
            Dengan peruntukan ini juga, dapat difahami bahawa penyelidikan dan kajian tersebut tidak hanya terhad dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa fatwa, bahkan ia juga boleh dilakukan dengan bantuan pihak lain. ( Nor Naemah 2002: 24).
            Menurut laporan Projek Penganalisaan Fatwa-fatwa Semasa di Malaysia, pihak-pihak berkuasa fatwa dibantu oleh tenaga kepakaran dari luar dengan program-program penyelidikan. Antara  bentuk penyelidikan yang dilakukan ialah seperti kajian perpustakaan, kajian lapangan, meminta penjelasan dan penerangan dari pihak-pihak yang berkaitan, meminta bantuan penyelidikan dari Institusi-institusi Pengajian Tinggi dan lain-lain. Antara cara yang paling kerap digunakan ialah dalam bentuk perbincangan,kajian perpustakaan dan kajian lapangan (Nor Naemah 2002:24 ).
            Membuat kajian dan penyelidikan sebenarnya menjadi perkara dasar  dalam amalan fatwa kerana penyelidikan yang mendalam menjadi tabiat kepada amalan fatwa dalam Islam. Oleh yang demikian, peluang untuk membuat kajian dan penyelidikan yang diperuntukkan bagi amalan fatwa negeri-negeri seharusnya dimanfaatkan dengan optimum. Dengan peluang tersebut, proses pengembangan hukum akan terus berlaku kerana fatwa akan berkembang dengan berkembangnya isu dan permaslahan dalam masyarakat ( Nor Naemah 2002: 24).
4)Mesyuarat
Setelah diteliti dan dibuat kajian bahawa sesuatu permasalahan itu perlu kepada pengeluaran fatwa, persoalan tersebut akan dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa. Pemberitahuan mengenai adanya mensyuarat dibuat secara bertulis dan juga lisan. Pada kebiasaannya, notis mesyuarat akan diberitahu sebulan lebih awal kepada para ahli. Kehadiran adalah amat penting memandangkan jumlah  1/3 dari jumlah keseluruhan ahli perlu ada ketika perbincangan. Jika ahli kurang dari 1/3, maka mesyuarat tersebut akan dibatalkan (Mazni 2004: 126).
5)Makluman Keputusan dan Draf Warta
Selepas keputusan fatwa diperoleh melalui mesyuarat, Jawatankuasa Fatwa akan memaklumkan keputusan tersebut kepada Majlis Agama Islam Selangor. Sekiranya Majlis Agama Islam bersetuju untuk mewartakannya, keputusan fatwa tersebut akan di draf untuk penelitian Yang Berhormat(YB)Undang-undang Negeri. Yang Berhormat Penasihat Undang-undang Negeri akan memastikan bahasa yang digunakan adalah bahasa undang-undang kerana ia adalah untuk pewartaan (Mazni 2004: 127).
6)Perkenan daripada Sultan atau Raja
Draf Warta yang telah dihantarkan kepada YB Penasihat Undang-undang akan diperbetulkan sekiranya terdapat kesalahan dalam draf tersebut. Satu surat akan dihantar dan dihadapkan kepada Sultan atau Pemangku Sultan untuk mohon perkenan. Sultan atau Pemangku Sultan boleh atas pertimbangannya membenarkan atau tidak membenarkan fatwa tersebut diwartakan. Sekiranya perkenan Sultan atau Pemangku Sultan telah diperoleh, fatwa tersebut akan dihantar sekali lagi kepada YB Penasihat Undang-undang untuk diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri secara rasmi (Mazni 2004 : 127).
7)Pewartaan
Menurut peruntukan di dalam Akta,Enakmen dan Ordinan Pentadbiran Undang-undang Islam yang ada sekarang, suatu keputusan dibuat tidak dikatakan sebagai fatwa sekiranya ia tidak dikeluarkan mengikut prosedur atau tatacara yang ditetapkan, iatu dikeluarkan oleh orang atau Jawatankuasa yang diberi kuasa dan disiarkan dalam Warta. Setelah fatwa itu disiarkan, dalam Warta, barulah ia boleh dikuatkuasakan. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa perkara agama terletak di bawah bidang kuasa negeri, maka sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh negeri tertentu hanya mengikat orang yang tinggal fatwa tersebut diperuntukkan ( Zaini Nasohah 2005: 28).
            Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di negeri berkenaan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu melainkan jika ia dibenarkan oleh hukum syarak untuk tidak mengikuti fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan atau pendapat peribadi ( Zaini Nasohah 2005: 29).
            Pada kebiasaannya, fatwa akan diwartakan apabila melihat kepentingan umum. Contohnya, kes-kes ajaran sesat sering diwartakan kerana hanya dengan cara ini pencegahan dan tindakan undang-undang boleh dilaksanakan kepada mereka. Di samping itu juga, dapat menghindari masyarakat daripada terjebak dengan sesuatu ajaran sesat (Mazni 2004: 129).
            Di samping itu juga, fatwa akan diwartakan apabila ia dikira sesuatu yang baru dan tiada nas mengenainya samaada dalam al-Quran mahupun Hadis.Contohnya fatwa mengenai kedudukan masjid baru yang akan dibina dan juga kedudukan masjid lama. Dalam fatwa ini, tindakan yang harus dilakukan ialah mendirikan masjid baru serta mengelakkan tapak masjid yang lama daripada tercemar. Beberapa etika perlu di ambil kira seperti membina masjid baru di tapak yang sama serta mendapatkan  tanah yang berada berhampirannya jika ia ingin membesarkan masjid. Oleh kerana perkara ini tidak terdapat dalam mana-mana nas,maka ia telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri (Mazni 2004: 129).
PENGAMALAN FATWA DI MALAYSIA
Pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam. Fatwa ini disokong oleh beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Setelah tujuh tahun lebih fatwa ini diputuskan, didapati reaksi masyarakat Malaysia khususnya muda-mudi Islam seolah-olah tidak menghiraukan langsung fatwa tersebut. Semakin hari fatwa tersebut semakin dilupakan oleh masyarakat Islam sendiri. (Hafiz : 2010)
            Bagi negeri Melaka mesyuarat bersetuju untuk menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bahawa merokok adalah haram dan Kempen kesedaran anti merokok perlu diadakan dengan lebih serius kepada masyarakat sebelum pewartaan dibuat. Sarawak juga mengatakan "Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan pada kesihatan dan pembaziran pada perbelanjaan".(Hafiz:2010)

            Bagi negeri Perlis, mesyuarat telah meneliti dan berbincang dengan panjang lebar serta memutuskan bahawa menanam tembakau/merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah HARAM dengan berpandukan dalil-dalil serta nas-nas al-Quran, hadis dan pendapat para ulama.

            Bagi negeri Selangor pula fatwa mengatakan merokok adalah haram. Oleh yang demikian, adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap rokok. Bagi maksud fatwa ini, “ rokok ” ialah tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya. Tarikh pewartaan dibuat pada 7 Disember 1995. (Hafiz :2010)
Peraturan mewajibkan pengeluar rokok mencetak amaran kesihatan bergambar (imej ngeri) pada kotak rokok mulai 1 Januari 2009. Walaubagaimanapun peraturan itu hanya diwajibkan mulai 1 Jun 2009 walaupun jiran kita seperti Singapura dan Thailand sudah melaksanakannya. (Hassan Mohd Noor:2009)
Mengikut peraturan, penjual yang menjual bungkusan rokok yang tidak memaparkan amaran kesihatan bergambar selepas 1 Jun boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Amaran itu juga tidak boleh dihalang daripada penglihatan oleh apa-apa benda, alat atau cara. Penjual yang melakukan kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya. Namun hari ini, sudah ada usaha untuk 'memadamkan' imej ngeri itu. Kotak khas yang menarik dan berwarna warni dijual bagi melindungi imej ngeri pada kotak rokok itu (Hassan Mohd Noor:2009)
Setakat ini, tidak kurang daripada 20 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok termasuk lobi hotel dan ruang pejabat berhawa dingin. Turut terlibat pusat hiburan, hospital atau klinik, lif awam, kenderaan awam, tempat makan berhawa dingin, bangunan pejabat Island dan  Peninsular Kuala Lumpur, bangunan Menara Esso Kuala Lumpur, lapangan terbang (kecuali kawasan yang dikhaskan), premis kerajaan, dewan dan institusi pendidikan tinggi.  (Hassan Mohd Noor:2009)
Turut menjadi kawasan larangan merokok ialah tadika, taman asuhan kanak-kanak, hentian pengangkutan awam, sekolah, kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Bhd. dan Pos Malaysia Bhd., kompleks membeli-belah, kompleks sukan, stadium dan stesen minyak. (Hassan Mohd Noor:2009)
Zon larangan ini diperluaskan bagi memastikan perokok tegar tidak mengganggu dan menjejaskan kesihatan mereka yang tidak merokok. . (Hassan Mohd Noor:2009)
Namun, tidak ada penguatkuasaan di zon larangan merokok. Walaupun di tempat berkenaan tedapat zon larangan merokok, pasti ada yang tidak segan silu merokok. Contohnya di sebuah restoran berhawa dingin di Daya Bumi, perokok bebas merokok. Asap rokok berkepul-kepul dilepaskan. Nyatalah undang-undang dan peraturan sekadar hiasan.Malah tidak ada tindakan yang diambil. (Hassan Mohd Noor:2009)
KESIMPULAN
Penetapan fatwa yang telah ditetapkan pada hukum yang telah diputuskan dahulu berdasarkan dalil qat’iyy maka tidak perlu lagi seseorang itu merujuk fatwa. Hal ini kerana secara jelasnya fatwa terbatal hukum yang diputuskan berdasarkan dalil yang qat’iyy lebih jelas dan benar.
Selain itu juga, fatwa yang diputuskan hanya dirujuk pada masalah yang masih belum ada hukum. Hal ini adalah sebagai usaha mengeluarkan fatwa dan menjaga kemaslahatan manusia agar tidak terlalu menyusahkan. Oleh itu, hukum yang diputuskan hendaklah dihormati dan dijaga agar dapat dijadikan rujukan kepada waris akan datang.
Oleh itu, dapatlah kita ketahui bahawa institusi fatwa adalah satu institusi yang sangat berguna dan sangat diperlukan dalam menyelesaikan setiap masalah masyarakat sama ada masalah itu kecil mahupun besar, Institusi fatwa juga akan turut mengeluarkan hukum bagi masalah yang baru. Oleh yang demikian, institusi fatwa negara perlu sentiasa diangkat martabatnya sebagai sebuah institusi yang penting dalam negara dan ia juga menunjukkan satu kepentingan bagi sebuah negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam untuk memelihara undang-undang syariah dalam kehidupan mereka.
 RUJUKAN
Abdul Monir Yaacob. 1998. Mufti dan fatwa di Negara-negara Asean. Institut
Kefahaman Islam Malaysia.
Hasnan Kasan. 2008. Institusi fatwa di Malaysia. Selangor: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Al-Qāsimī, Jamāl al-Dīn. 1986. Kitab al-fatwā fi al-Islām. Beirūt: Dār al-Kutub al-Ilmī.
Mazni Abdul Wahab. 2004. Pewartaan fatwa menurut enakmen pentadbiran
perundangan Islam Selangor 1989 dan Penguatkuasaannya. Jurnal Syariah
12(2) : 123-147.
Noor Naemah Abd.Rahim. 2002 . Ruang ijtihad dalam amalan fatwa di Malaysia,
sorotan dari Sudut Pentadbiran Fatwa. Jurnal Syariah 10(2) :19-30.
Othman Haji Ishak. 1981. Fatwa dalam perundangan Islam Selangor . Penerbit Fajar Bakti
             Sdn.Bhd
Zaini Nasohah. 2005. Undang-undang penguatkuasaan fatwa di Malaysia. Jurnal
Islamiyyat 27(1): 25-44.
Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2008. Fatwa dan mufti: hukum, etika dan sejarah. Nilai:
            Universiti Sains Islam Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 2011. http://www.e-fatwa.gov.my/
[Diakses pada 17 Mac 2011]
islam-tentang.html [Diakses pada 17 Mac 2011]
Hassan Mohd Nor. 2009.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0622&pub
 =utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm&arc=hive [Diakses pada 17
Mac 2011]

Disediakan oleh :
Nur Ha’anah Binti Khaderi      A132636
Nur Azani Binti Shaffie            A131373
Muyassarah Binti Dak             A132116




0 comments:

Post a Comment