Pages

Friday, April 22, 2011

Perbahasan Fatwa Menurut Ulama' Usul Fiqh




PENGENALAN

    Fatwa sangat penting dalam mengharungi kehidupan ini dan kewujudan fatwa membolehkan perlaksanaan hukum-hukum syarak ditegakkan berlandaskan kaedah-kaedah syariah. Fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang Islam atau hukum syarak. Dengan kedudukan itu, institusi fatwa diberikan perhatian yang utama oleh dunia Islam (Zulkifli Mohammad al-Bakri 2008: 1).

    Kepentingan fatwa semakin terserlah dalam kehidupan manusia sejagat sebagai satu mekanisme utama bagi menjelaskan hukum syarak dan penyebaran ajarannya merangkumi aspek akidah serta syariat di dalam kehidupan manusia. Melihat kepentingan institusi fatwa dan juga peranan mufti dalam Islam, maka mufti adalah tokoh terpenting dalam masyarakat dan kerajaan Islam.

    Al-Quran dan al-Sunnah pula menjadi sumber utama dalam syariah Islam yang tidak mungkin difahami oleh semua golongan muslim kecuali mereka mengkaji secara mendalam tentang bidang dan ilmu agama. Justeru, para ulama memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan tuntutan agama bagi member kefahaman yang jelas. Seperti yang diketahui, mengeluarkan fatwa merupakan tugas yang mulia dan agung, tetapi mempunyai risiko yang tinggi kerana seorang mufti seperti pendapat Imam al-Shatibi, mufti adalah pengganti kedudukan Nabi Muhammad s.a.w dalam menyampaikan ajaran Allah, mengajar serta memberi peringatan kepada mereka yang menyeleweng (Zulkifli Mohammad al-Bakri 2008:1).


DEFINISI

Fatwa ialah kata nama yang digunakan dengan maksud al-ifta iaitu satu pernyataan yang dikeluarkan oleh mufti mengenai sesuatu hukum atau satu keputusan hukum yang dikeluarkan oleh faqih iaitu seorang yang berpengetahuan luas dan mendalam di dalam perundangan Islam (Ibn Manzur 1956:15/147).

    Fatwa menurut istilah ulama usul bermaksud suatu perkhabaran mengenai hukum syarak pada suatu masalah, disandarkan dengan dalil-dalil syarak, dalam bentuk yang tidak diwajibkan selepas ditanyakan oleh manusia. Oleh itu, mufti ialah seorang yang menerangkan hukum Allah dalam suatu masalah selepas ditanya oleh manusia dan fatwanya hanya nasihat bukan kemestian. (Muhammad Fuad Muhammad Suariyy 2005:20)

    Selain itu, al-Badakhshi yang telah membuat rumusan mengenai fatwa di dalam kitabnya Manahij al-‘Uqul bahawa harus bagi seseorang mujtahid mengeluarkan fatwa sekiranya mujtahid tersebut memenuhi syarat yang telah ditentukan mengikut kaedah usul fiqh. Oleh itu, fatwa bermaksud satu keputusan hukum syarak yang dikeluarkan oleh seorang mujtahid. (al-Badakhshi 658 H:2/210)
Jamaluddin al-Qasimi berpendapat pula berpendapat bahawa fatwa ialah menjawab masalah yang menimbulkan kemusykilan hukum. (Jamaluddin al-Qasimi 1986:10)

    Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa fatwa ialah pernyataan jawapan yang dilakukan oleh mufti dalam menyelesaikan persoalan yang timbul oleh orang ramai.


DALIL PENSYARIATAN FATWA

Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan bahawa Allah telah memerintahkan untuk berfatwa. Antaranya ialah dapat dilihat di dalam surah al-Nisa ayat 176:


                                  يَسۡتَفۡتُونَكَ قُلِ ٱللَّهُ يُفۡتِيڪُمۡ فِى ٱلۡكَلَـٰلَةِ‌ۚ إِنِ ٱمۡرُؤٌاْ هَلَكَ لَيۡسَ لَهُ ۥ وَلَدٌ۬ وَلَهُ  
Maksudnya: Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu.”


    Selain itu, Allah s.w.t juga telah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w untuk memberikan fatwa kepada orang yang bertanya kepadanya. Ini dapat dilihat di dalam firman Allah s.w.t surah al-Nisa ayat 127:


                                   وَيَسۡتَفۡتُونَكَ فِى ٱلنِّسَآءِ‌ۖ قُلِ ٱللَّهُ يُفۡتِيڪُمۡ فِيهِنَّ وَمَا يُتۡلَىٰ عَلَيۡڪُم 

Maksudnya: Dan mereka meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: "Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka.

    Berdasarkan kedua-dua ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa fatwa ini sangat penting dan tidak boleh dengan mudah diabaikan, apatah lagi digugurkan. Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya memberikan fatwa kepada orang yang bertanya kepadanya. Ini merupakan satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w.


HUKUM MEMBERIKAN FATWA

Terdapat dua hukum dalam memberikan fatwa iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah (Ibrahim Najib 1975:11). Keadaan yang menjadikan hukum berfatwa fardhu kifayah ialah apabila terdapat orang yang lebih alim di dalam satu kawasan tersebut, maka persoalan itu boleh dijawab oleh mana-mana mufti yang mengetahui tentangnya. Selain itu, keadaan yang menjadikan hukum berfatwa fardhu kifayah ialah mengenai ukuran jarak antara satu mufti dengan mufti yang lain. Jarak ukuran yang dikira ialah dalam 2 marhalah yang membolehkan solat qasar dilakukan (Ibrahim Najib 1975:11).

    Beberapa ulama juga telah memberikan pandangan mengenai hukum memberikan fatwa. Anataranya ialah Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sekiranya terdapat beberapa orang yang boleh mengeluarkan fatwa, maka ia menjadi fardhu kifayah (al-Nawawi 1992:8/87). Selain itu, Imam Ibn al-Salah yang sama seperti pendapat Imam al-Nawawi. Sekiranya terdapat orang lain di dalam satu kawasan itu, tidak wajib ke atasnya untuk mengeluarkan fatwa (Salah al-Din 1986: 45).

    Hukum memberikan fatwa juga boleh berubah daripada fardhu kifayah kepada fardhu ain apabila hanya ada seorang mufti yang di kawasan tersebut dan tiada orang yang layak untuk mengeluarkan fatwa. Oleh itu, kewajipan itu jatuh kepada mufti tersebut. Ini kerana Allah S.W.T telah mengharamkan seseorang itu memberikan fatwa tanpa ilmu. Perbuatan ini termasuk di dalam dosa besar (Ibrahim Najib 1975:12). Buktinya dapat dilihat di dalam firman Allah S.W.T di dalam surah al-A’raf ayat 33:


 قُلۡ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّىَ ٱلۡفَوَٲحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡہَا وَمَا بَطَنَ وَٱلۡإِثۡمَ وَٱلۡبَغۡىَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ وَأَن تُشۡرِكُواْ بِٱللَّهِ مَا لَمۡ يُنَزِّلۡ بِهِۦ سُلۡطَـٰنً۬ا وَأَن تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ
Maksudnya: Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.


    Perkataan ‘harrama’ ini menunjukkan bahawa Allah mengharamkan perbuatan-perbuatan keji termasuklah kepada mereka yang memberi fatwa tanpa kelaykkan. Ini bermaksud, hanya mufti yang memiliki ilmu untuk berfatwa sahaja yang layak untuk mengeluarkan fatwa. Bagi yang tidak memiliki ilmu secukupnya tidak dibenarkan berfatwa kerana ia telah ditegah oleh Allah s.w.t.

    Beberapa ulama juga telah memberikan pendapat mengenainya. Antaranya ialah Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa apabila tidak wujud pada satu tempat itu kecuali seorang sahaja yang layak memberi fatwa, ketika itu hukum fatwa menjadi fardhu ain ke atasnya untuk mengeluarkan fatwa. Beliau menambah lagi, sebelum mengeluarkan fatwa, mufti perlu berpandukan amalan yang diamalkan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W iaitu dengan merujuk al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas (al-Nawawi 1992. 8/87).

    Selain itu, menurut Ibn Hanbal dan Al-Qaffal daripada golongan Syafi berpendapat bahawa sekiranya terdapat lebih dari seorang, wajib bertanya kepada mufti yang paling tinggi ilmu pengetahuannya dan paling warak kerana pendapat mufti bagi orang awam seperti dalil bagi mujtahid (Muhammad Salam Madkur 1969:402).

    Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa hukum memberikan fatwa adalah fardhu kifayah. Seperti yang diketahui, amalan fatwa dikeluarkan oleh golongan mufti. Apabila hukum fatwa adalah fardu kifayah, maka hukum mufti juga adalah fardu kifayah kerana antara keduanya berkait rapat antara satu sama lain. Namun demikian, jika tiada yang layak melainkan seorang sahaja, maka ketika itu hukum mufti adalah wajib atau fardu ain.


RUANG LINGKUP FATWA

Terdapat beberapa perkara yang membolehkan mufti mengeluarkan fatwa. Antaranya perkara yang berkaitan dengan hukum qatie iaitu perkara yang berasaskan akidah iaitu rukun iman, asas ibadah iaitu rukun Islam dan hukum-hukum yang telah ditetapkan di dalam al-Quran seperti hukum hudud, pewarisan, pernikahan dan seumpamanya (Abd Sattar 2008:59).

    Fatwa juga dapat dibuat dalam hukum yang tidak tetap dan tidak muktamad. Pertama, tertakluk kepada hukum yang tidak tetap dalil dan hukumnya. Kedua, tertakluk kepada hukum yang tiada nas selain al-Quran dan al-Sunnah seperti qiyas, istihsan, masalih al-mursalah dan ‘urf (Abd Sattar 2008:59).

   Sesuatu perkara itu menjadi tidak tetap sama ada dari segi hukum ataupun dalil sekiranya terdapat perselisihan pendapat dan kefahaman untuk mengeluarkan hukum ke atas perkara tersebut. Begitu juga bagi hukum yang menggunakan dalil selain daripada al-Quran dan al-Sunnah. Hukum-hukum tersebut berubah mengikut keadaan semasa (Abd Sattar 2008:59).


ADAB MUFTI

Untuk mengeluarkan fatwa, mufti perlu menjaga adab kerana individu yang berjawatan tinggi dipandang oleh masyarakat. Antara adab yang perlu ada pada mufti ialah mesti ikhlaskan diri semasa memegang jawatan mufti. Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah al-Bayyinah ayat 5:

    
                 وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ
Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah ugama yang benar.


    Ayat di atas menunjukkan bahawa sesorang itu perlu melakukan sesuatu dengan hati yang ikhlas kerana Allah S.W.T. Sayyid Qutub berpendapat bahawa agama yang sebenar ialah melakukan ibadah kepada Allah S.W.T dengan ikhlas, menjauhi syirik, mendirikan solat dan menunaikan zakat (Sayyid Qutub 2000:484)

    Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a juga berpendapat bahawa seorang mufti itu perlu mempunyai niat yang ikhlas kerana dengan adanya sifat tersebut, seseorang itu akan mendapat petunjuk dalam mengeluarkan fatwanya (Ali Hasballah 1971:102).

    Selain itu, seorang mufti hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam berkenaan hadis Rasulullah s.a.w, tentang nasikh mansukhnya dan mengetahui hukum syarak serta asas-asasnya iaitu al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. (Ali Hasballah 1971:104-105).

    Selain itu, seorang mufti perlu memiliki kehidupan yang sempurna. Ini bermaksud kehidupan yang dilalui adalah cukup tanpa bergantung kepada orang ramai. Ini adalah untuk mengelak mufti tersebut difitnah dan dipandang rendah oleh masyarakat sekiranya meminta bantuan daripada orang lain (Ali Hasballah 1971:103).

    Seorang mufti juga perlu mengetahui keadaan manusia di sekelilingnya. Ini bermaksud, sekiranya mufti tidak mengetahui keadaan manusia maka fatwanya akan mendatangkan lebih banyak kerosakan berbanding kebaikan. Tanpa disedari juga, penipuan akan meningkat apabila orang yang zalim akan berlagak seperti orang yang dizalimi dan orang yang melakukan perkara batil berlagak seolah-olah melakukan perkara yang benar. Secara tidak langsung akan meningkatkan kadar manusia yang tidak mengetahui hukum syarak yang betul (Ibn Qayyim 1977:199).

    Ibn Qayyim juga berpendapat bahawa seorang mufti mesti berwaspada dalam mengeluarkan sesuatu hukum kerana ia merupakan salah satu kecerdikan dirinya di samping tidak berburuk sangka terhadap orang lain. Mufti juga mestilah mengeluarkan fatwa dengan melihat keadaan di sekelilingnya (Ibn Qayyim 1977:748).

    Sekiranya seseorang mufti memenuhi kesemua adab tersebut, maka ia tidak menjadi masalah untuk mengeluarkan fatwa. Fatwa yang hendak dikeluarkan itu perlulah yakin dan berpegang pada landasan yang betul supaya tidak terpesong.


ADAB MUSTAFTI

Al-Mustafti adalah orang yang meminta fatwa dan bertanya tentang hukum syarak. Apabila terdapat permasalahan baru yang memerlukan hukum, maka al-mustafti akan meminta fatwa daripada mufti. Selain itu, al-mustafti adalah mereka yang tidak layak untuk mengeluarkan fatwa dan tidak mencapai taraf sebagai seorang mufti (Salah al-Din 1986:157).

     Apabila ingin mengemukakan persoalan kepada mufti, beberapa adab perlu dipenuhi. Perkara ini amatlah penting untuk menjaga adab antara orang yang berilmu dengan orang yang bertanya. Antara adabnya ialah seorang yang bertanya itu perlulah bertanyakan hal yang bermanfaat sahaja. Soalan yang boleh ditanya hanya berkaitan dengan persoalan hukum semasa sahaja (Yusuf al-Qaradawi 1996:34).

    Selain itu, seorang mustafti mestilah mengikut gerak hati sendiri. Ini bermaksud, sekiranya persoalan yang dijawab oleh mufti itu tidak berapa meyakinkan dirinya, beliau boleh bertanya kepada mufti lain untuk mendapatkan kepastian. Namun begitu, persoalan yang ditujukan itu perlulah sama dengan persoalan yang ditanya kepada mufti sebelum ini untuk mengelak fatwa yang diberikan itu berlainan fahamannya. Apabila berlaku keraguan, hendaklah merujuk beberapa kali untuk mendapatkan kepastian tetapi di majlis yang lain. (Yusuf al-Qaradawi 1996:40)

   Seorang mustafti yang telah mendapatkan fatwa tentang persoalan yang ditanya itu perlulah memahami dengan betul dan mengetahui batas-batas yang digariskan. Selepas itu, bolehlah mengamalkan fatwa tersebut dengan yakin. Fatwa yang diberikan mestilah dilihat sepenuhnya dan tidak boleh mengambil sebahagian sahaja kerana ditakuti akan mendapat azab Allah pada hari akhirat nanti. (Yusuf al-Qaradawi 1996:41)

     Selain itu, adab mustafti yang lain ialah hendaklah menjaga adab ketika bertanyakan soalan kepada mufti sama ada dari segi perkataan, gaya bahasa atau gerak tubuh yang digunakan ketika berhadapan dengan mufti (al-Hafnawi 1995: 307).

    Sebagai contoh, “Apakah pandangan menurut imam mazhab anda berkenaan dengan masalah ini?” Antara adab-adab lain ialah mustafti tidak sepatutnya berada dalam keadaan jemu, dukacita, marah atau dalam keadaan berdiri ketika dia bertanya. Ini adalah kerana dibimbangi hatinya dalam keadaan yang tidak tenteram ketika itu. Di samping itu, sekiranya mustafti masih mempunyai keraguan atau ingin bertanya lebih lanjut tentang persoalanya maka tidak sepatutnya dia bertanya pada ketika itu. Mustafti hendaklah berbuat demikian pada majlis yang lain atau sekiranya ingin bertanya pada majlis yang sama hendaklah setelah dia menerima fatwa beserta dalil dan hujah daripada mufti (al-Hafnawi 1995: 307).


KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, fatwa merupakan ijtihad ulama dan salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk menentukan hukum. Apabila terdapat permasalahan-permasalahan baru yang tidak terdapat hukumnya melalui sumber-sumber hukum yang ada, maka di sinilah peranan fatwa bagi mengatasi setiap masalah yang timbul. Adalah menjadi kewajipan seorang mufti yang dilantik oleh pemerintah dalam sesebuah negara untuk menjalankan amanah dengan sebaiknya. Mufti juga amat diperlukan pada zaman kini kerana masyarakat kini kurang arif dalam ilmu agama. Oleh yang demikian, peranan yang dimainkan oleh mufti adalah besar. Segala persoalan perlu dijawab secara berhemah dan terperinci, serta menjawab persoalan yang diutarakan tersebut.

    Fatwa yang dibuat mestilah berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah serta sumber-sumber yang boleh diterima hujah agar ia bersifat menjaga kemaslahatan umum. Selain itu juga, mufti dan mustafti perlu menjaga adab yang telah digariskan. Ini adalah untuk menjamin kesejahteraan agama Islam.


Rujukan
Abdul Satar Abdul Jabbar Abbas. 2008. Taisir al-Fatwa. Al-Iraq:Markaz al-Buhuth wa al-dirasat al-Islamiyyah.
Ali Hasballah. 1971. Usul al-Fiqh. Mesir:Dar al-Maarif.
Ali Hasballah. 1971. Usul al-tashri’ al-Islami. Mesir:Dar al-Maarif.
Ibrahim Najib Muhammad ‘Iwad. 1975. Al-Qada fi al-Islam. Al-Qahirah:Majma’ Al-Buhuth Al-Islamiyyah.
Mohammad Tajr al-Ulm. 1977. Al-Ijtihad usuluh wa akhamuh. Beirut:Dar al-Zahra.
Ibn Manzur. 1956. Lisan al-‘Arab. Jilid 15. Beirut: Dar Sadir.
Al-Badakhshi, Muhammad bin al-Hasan. 658M. Sharh al-Badakhshi:Manahaji al-‘uqul. Juz 2. Beirut:Dar al-Kutub al-Islamiyyah.
Muhammad Fuad Muhammad Suariyy. 2005. Al-Madkhal ila dirasat al-fiqh al-islami. Kuala Lumpur:Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ibn Qayyim, Muhammad Ibn Abi Bakr. 1977. A’lam al-muwaqq’in ‘an rabb al-‘alamin. Beirut: Dar al-Fikr.
Al-Hafnawi, Muhammad Ibrahim. 1995. Tabsir al-nujaba bi haqiqat al-ijtihad wa al-taqlid wa al-talfiq wa al-ifta. Al-Qahirah:Dar al-Hadith.
Al-Damsyiki, Muhammad Jamaluddin al-Qasimi. 1986. Al-Fatawa fi al-Islam. Beirut:Dar al-Kutub al-‘Ilmiah.
Muhammad Salam Madkur. 1969. Al-Madkhal li al-fiqh al-Islami. Al-Qahirah:Dar al-Nahdah al-‘Arabiyyah.
Muhammad Saleh Uthaimin. 1993. Al-Usul min ilm al-usul. Qaherah:Maktabah al-Sunnah.
Othman Ishak. 1981. Fatwa dalam perundangan Islam. Kuala Lumpur:Fajar Bakti Sdn Bhd.
Sayyid Qutb. 2000. Tafsir fi zilal al-Qur’an. Terjemahan: Yusof Zaky Yackob. Jilid 17. Kota Bharu:Pustaka Aman Press.
Salah al-din. 1986. Adab al-mufti wa al-mustafti. Beirut:Dar al-Makrifah.
Al-Nawawi, Yahya ibn Syaraf. 1992. Raudah al-talibin. Jilid 12. Beirut:Dar al-Kutub ‘Ilmiah.
Al-Qaradawi, Yusuf. 1996. Fatwa antara ketelitian dan kecerobohan. Terjemahan: Ahmad Nuryadi Asmawi. Selangor:Thinker’s Library Sdn Bhd.



DISEDIAKAN OLEH:

ATRASINA BINTI MOHD ZAHRULLAIL
WAN NURBAINI BINTI MOHAMED AMIN
SITI NORAIN SAMEHAH BT HARUN
WAN NUR NADIYATUL HUSNA BT WAN AKASHAH

No comments:

Post a Comment