PENDAHULUAN
Ijtihad adalah sebuah usaha yang bersungguh-sungguh yang hanya boleh dilakukan oleh para mujtahid dalam memutuskan sesuatu hukum yang tidak dibahaskan dalam Al-Quran mahupun Al-Sunnah dengan syarat menggunakan akal yang sihat dan pertimbangan yang matang.
Keperluan kepada ijtihad adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan pada hari ini. Bukan hanya untuk memjawab persoalan-persoalan baru yang sentiasa timbul tetapi juga untuk menilai kembali ijtihad para fuqaha’ terdahulu memandangkan suasana dan persekitaran hidup sudah berubah dengan segala kemajuannya baik dari segi ekonomi, sosial mahupun sains dan teknologi.
Tujuan ijtihad adalah untuk memberi jawapan segera kepada masyarakat dalam menghadapi persoalan yang berkenaan, kerana tanpa jawapan yang segera orang ramai akan membina persepsi sendiri. Dan tujuan lainnya adalah untuk memenuhi keperluan umat manusia akan pegangan hidup dalam beribadah kepada Allah s.w.t di suatu tempat atau pada suatu waktu tertentu. Ringkasnya pemikiran hukum Islam ini merupakan teras dalam pengajian syariah, ia bukan sahaja diperlukan pada hari ini tetapi juga sentiasa subur dalam proses ijtihad sejak zaman Rasulullah sampailah ke hari
DEFINISI
Asal perkataan ijtihad ialah “al-juhd” yang digunakan untuk perkara yang susah atau sukar kepada manusia mengerjakannya dan ada kemungkinan tidak berdaya mengerjakannya (Lisan al-‘Arab jilid 2 1989:133). Sebagai contoh, seseorang itu berijtihad dengan membawa seketul batu yang besar dan bukan dinamakan ijtihad dengan membawa sebiji limau. (Abu Abdullah Hanafi Hj Dollah, 2006:40).
Selain itu, ia juga membawa maksud bersungguh-sungguh ( Husin Unang 2008:396 ) dan keupayaan seseorang dalam melakukan sesuatu yang terbaik dalam perbuatan dan tindak tanduk ( Abdul Karim Zaidan 2009:317 ). Di samping itu, ia juga membawa maksud berusaha sekuat tenaga dan sedaya upaya ( Usman Khalid 2007:355 )
Rumusan yang dapat dibuat, ijtihad ialah sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan tenaga lebih daripada biasa dan membebankan serta berkemungkinan pekerjaan itu tidak menarik minat pelakunya malah dikerjakan secara terpaksa atau kerana sebab-sebab tertentu. ( Kassim Salleh 1992: 147)
Manakala dari segi istilah syarak pula, ijtihad mempunyai pelbagai maksud antaranya:
1. Menurut nukilan daripada Imam al-Ghazali,
(بذل المجتهد وسعه في طلب العلم باحكام الشريعة)
Maksudnya ;
Ijtihad ialah seeseorang mujtahid mencurahkan sepenuh kesungguhannya untuk mencari ilmu berkaitan dengan hukum syarak. ( Wahbah al-Zuhaili 1990: 1038)
2. Menurut pendapat jumhur ulama Usul al-Ahkam :
(بذل أقصى الوسع لتحصيل حكم شرعي عملي بطريق الاستباط من الادلة الشرعية)
Maksudnya:
Mencurahkan sepenuh tenaga untuk mendapatkan hukum syarak berbentuk amali dengan cara istinbat daripada dalil-dalil syarak ( Badran Abu al-Aynayn Badran 1986:471)
3. بذل المجتهد وسعه في طلب العلم بالحكام الشريعة بطريق الستنباط
Maksudnya :
Mujtahid mencurahkan segala kemampuan dalam mendapatkan pengetahuan mengenai okum-hukum syara dengan cara istinbat. ( Abdul Karim Zaidan 1990:410)
Daripada takrif di atas dapat disimpulkan bahawa ijtihad ialah curahan tenaga daripada seorang faqih yang mengkaji dalil-dalil untuk mengeluarkan hukum-hukum syarak bagi masalah furuk.
PENSYARIATAN IJTIHAD
Setelah mengetahui tentang takrif dan pengertian ijtihad, perlu diketahui juga tentang pensyariatan ijtihad itu sendiri sebagai sumber hukum dalam Islam. Ulama Islam bersepakat bahawa ijtihad sebagai salah satu sumber hukum dalam Islam selepas al-Quran dan al-Sunnah.
Antara dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah digunakan bagi membuktikan perkara tersebut:-
1) Firman Allah SWT:
إنا أنزلنا إليك الكتاب بالحق لتحكم بين الناس بما أراك الله ولا تكن للخآءنين خصيما.
Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya).”
(Surah al Nisa:4:105)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT telah memberi hak kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menghukum di kalangan manusia dengan seadil-adilnya bersandarkan kepada perkara yang diwahyukan kepada Baginda. Penghukuman itu perlu dilakukan sama ada dengan nas yang nyata atau ijtihad dan pendapat yang bersandarkan kepada sumber-sumber pensyariatan.
2) Sabda Rasulullah s.a.w :
إذا حكم الحاكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران, وإذا حكم فاجتهد ثم أخطأ فله أخر
Maksudnya:
“Apabila seseorang hakim itu berijtihad untuk mengeluarkan hukum, dan sekiranya tepat maka baginya dua pahala, apabila dia ingin menjatuhkan hukuman, lalu beijtihad tetapi tersilap, baginya satu pahala.”( Sahih al-Bukhari )
Hadis ini menerangkan bahawa sesiapa yang berkelayakan untuk berijtihad maka dibenarkan untuk berijtihad, tidak kira sama ada ijtihadnya itu benar atau salah. Ijtihad yang dilakukan, jika benar akan peroleh dua pahala. Manakala, jika salah, tetap akan meraih satu pahala. Hal ini menunjukkan bahawa ijtihad itu diharuskan, malah digalakkan kerana ijtihad yang benar atau salah, tetap diberi pahala oleh Allah.
Kesimpulannya, dalil di atas membuktikan bahawa ijtihad merupakan mekanisme untuk mengistinbatkan hukum dan menyelesaikan permasalahan yang timbul dulu kini dan akan datang. Namun demikian, tidak semua perkara boleh diijitihadkan.
Kesimpulannya, dalil-dalil di atas membuktikan ijtihad itu merupakan Kesimpulannya, dalil-
RUANG LINGKUP IJTIHAD
Hukum Yang Boleh Diijtihad
Ijtihad yang harus dilakukan pada perkara tertentu sahaja, antaranya ialah:
1. Hal dan perkara yang tidak disebut hukumnya dalam nas al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama. Untuk itu, ijtihad yang boleh dilakukan ialah dengan mengkaji untuk mengetahui hukumnya melalui al- qiyas, masalih al-mursalah, ‘urf, istishab, istihsan dan lain-lain. Contohnya ijtihad Umar supaya Abu Bakar mengumpulkan al-Quran. Pada mulanya Abu Bakar tidak setuju, namun selepas itu beliau bersetuju. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997 : 264 )
2. Terhadap hal dan kejadian yang terdapat hukumnya dalam al-Quran atau hadis mutawatir, namun dilalah kedua-dua nas tersebut terhadap hukum adalah zanni. Untuk itu, mujtahid mestilah berusaha untuk mencari maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada nas tersebut sama ada cam, khas, mutlaq, muqayyad dan lain-lain. Oleh itu, untuk menetapkan hukum daripada lafaz nas tersebut, maka mujtahid mesti berijtihad. (Nik Salida Suhaila Nik Saleh 2007 : 11-12 ). Contohnya ijtihad terhadap firman Allah SWT
{والمطلقات يتربصن بأنفسهن ثلــثة قروء}
{والمطلقات يتربصن بأنفسهن ثلــثة قروء}
Maksudnya :
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka(daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid)
( Al-Baqarah : 2 : 228 )
Nas al-Quran dan pensabitan lafaz al-qur’ itu adalah qatci tetapi dilalah hukum daripada maknanya adalah zanni. Untuk itu, para mujtahid melakukan ijtihad bagi mendapat maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada lafaz al-qur’ itu. Hasil daripada ijtihad ulama mazhab Hanafi, lafaz al-qur’ membawa erti haid. Untuk itu, menurut ulama mazhab Hanafi perempuan yang diceraikan suaminya mestilah ber ciddah selama tiga kali haid. ( Ibid : 12 )
Manakala hasil ijtihad ulama mazhab Syafici pula, lafaz qur’ ialah bererti suci. Untuk itu wajib ke atas perempuan yang diceraikan oleh suaminya beriddah selama tiga kali suci. ( Ibid : 12)
3. Kejadian yang terdapat hukumnya dalam nas yang sabit secara zanni, tetapi dilalah kepada maknanya sabit secara qatci. Untuk itu bidang ijtihad pada nas tersebut ialah dengan mengkaji bentuk periwayatan dengan melihat kepada kedudukan perawi sama ada thiqah, adil dan sebagainya. Para mujtahid mempunyai kaedah masing-masing untuk menentukan hal ini.( Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:264 ) Misalnya sabda Nabi s.a.w :
في خمس من الإبل شاة
Maksudnya : Pada setiap lima ekor unta diwajibkan zakat seekor kambing. (Ibn Majah, Tarmizi dan Malik)
Makna yang terkandung dalam nas adalah qatci kerana lafaz ( شاة ) ialah lafaz khas, tetapi sabitnya adalah zanni kerana hadis tersebut tidak bertaraf mutawatir sebaliknya hadis ahad.
4. Pensabitan nas dan dilalah adalah zanni. Ini hanya berlaku kepada hadis sahaja. Oleh itu, harus bagi mujtahid berijtihad dengan melihat lafaz hadis dan kedudukan rawi dan sanad dan kemudian berusaha untuk mengetahui maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada lafaz hadis tersebut. ( Nik Salida Suhaila Nik Saleh 2007 : 12-13 ) Contohnya ijtihad terhadap hadis yang berbunyi :
لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب
Maksudnya :
Tiada sembahyang kepada sesiapa yang tidak membaca al- Fatihah. ( Sahih Al-Bukhari )
Hadis tersebut sabit secara zanni, kerana ia bukanlah diriwayatkan dengan cara mutawatir. Dilalahnya juga zanni kerana boleh memberi dua makna iaitu menafikan kesempurnaan sembahyang dan menafikan sahnya sembahyang itu. ( Ibid : 13 )
Hasil ijtihad ulama, maka ulama mazhab Syafice mengatakan tidak sah sembahyang tanpa membaca surah al-Fatihah. Manakala, hasil ijtihad ulama mazhab Hanafi pula tidak sempurna sembahyang yang tidak dibaca surah al-Fatihah. ( Ibid : 13 )
Hukum Yang Tidak Boleh Diijtihad
Antara hukum yang tidak harus diijtihadkan ialah:
1. Hukum yang terdapat dalam nas yang sabit secara pasti dan dilalahnya juga adalah qatci. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 2007 : 266-267 ) Contohnya nas yang menyatakan hukuman hudud terhadap penuduh zina. Firman Allah SWT:
والذين يرمون المحصنات ثم لم يأتوا بأربعة شهداء فاجلدوهم ثمانين جلدة
Maksudnya :
Dan orang- orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan- perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat.
( Al-Nur : 24 : 4 )
Nas di atas sabit secara qatci, dan lafaz thamanin, iaitu (80) dalam ayat tersebut adalah khas. Oleh itu, ia hanya menunjukkan satu makna sahaja, iaitu 80 kali dan tidak mungkin ia menunjukkan makna lain lagi. Justeru itu, ayat dan nas tersebut tidak ada ruang untuk berijtihad dalam bilangan sebat kepada penzina yang bukan muhsan. ( Ibid : 267 )
2. Tidak boleh ijtihad dalam hukum keseksaan dan kaffarah yang ditetapkan kadarnya oleh syarak, seperti kaffarah zihar dan sumpah.( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2007 : 267-268 ) Firman Allah SWT tentang zihar :
والذين يظاهرون من النساءهم ثم يعودون لما قالوا فتحرير رقبة من قبل أن يتمآسـا
Maksudnya :
Dan orang- orang yang ziharkan isterinya, kemudian mereka berbalik daripada apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba abdi sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur.
( Al- Mujadalah 58 : 3)
Hukum zihar adalah haram dan ia termasuk dalam dosa-dosa besar kerana suami yang menziharkan isterinya bererti dia telah mengubah hukum Allah yang telah menghalalkan isterinya kepada si suami, tetapi suami telah mejadikannya haram baginya seperti ibunya. Barangsiapa yang menziharkan isternya maka dia tidak boleh bersetubuh dengan isterinya selagi dia tidak membayar kaffarah. Selain daripada bersetubuh dibenarkan pada suami mengikut mazhab Syafici seperti bercium dan sebagainya. (Anon:2011)
Kaffarah bagi zihar adalah membebaskan hamba yang beragama Islam bagi mazhab Syafie. Jikalau tidak mampu membebaskan hamba hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Kalau berbuka sebelum tempoh dua bulan, maka diwajibkan dimulakan dari awal. Kalau tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut, maka hendaklah dia memberi makan 60 orang miskin, atau membayar dalam bentuk nilai. ( Ibid )
3. Hukum dan kejadian yang tidak ada nas menunjukkan hukumnya, sama ada nas qacti atau zanniyy, jelas atau tidak jelas, tetapi telah berlaku ijmak atau pernah berlaku ijmak ulama mengenai hukum tersebut. Maka, hukum seperti ini tidak boleh diijtihad lagi. Contohnya, kesepakatan ulama tentang terbatalnya perkahwinan antara wanita muslimah dengan lelaki kafir. (Nik Salida Suhaila Nik Saleh 2007 : 11)
Dalil yang mengharamkan perkahwinan antara wanita muslimah dengan lelaki bukan Islam ialah:
Firman Allah SWT :
ولا تنكحوا المشركات حتى يؤمن ولأمة مؤمنة خير من مشركة ولو أعجبتكم,ولا تنكحوا المشركين حتى يؤمنوا ولعبد مؤمن خير من مشرك ولو أعجبكم ,أولئك يدعـون إلى النار, والله يدعوا إلى الجنة والمغفرة بـإذنه, ويبين ءاياته للناس لعلهم يتذكرون.
Maksudnya :
Dan janganlah kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan Sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) Dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan Sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).
( Al-Baqarah : 2 : 221 )
Ayat ini menunjukkan bahawa wanita apabila memeluk Islam, maka tercerailah dia daripada suaminya yang kafir. Kesannya, dia tidak halal kepada suaminya dan begitu juga sebaliknya. Pengkaji melihat jika ikatan antara suami isteri yang berlangsung pun akan terputus lantaran berbeza agama, tentu sekali memulakan nikah dari awal tidak boleh.
4. Tidak boleh ijtihad tentang hukum- hukum syarak yang telah dimaklumi. Contohnya: kewajipan mendirikan sembahyang, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, pengharaman berzina samada muhsan atau ghairul muhsan dan sebagainya. Hal ini kerana ia tidak membawa makna lain selain daripada kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Oleh itu, setiap muslim wajib melaksanakan kewajipan tersebut dalam keadaan senang atau susah. (Wahbah al-Zuhaili 1986:1052) Firman Allah s.w.t :
{ الزانية والزاني فاجلدوا كل واحد منهما مائة جادة}
Maksud: perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat;
( Surah Al-Nur 24 : 2 )
Ayat ini menerangkan bahawa orang yang berzina akan dihukum sebat sebanyak 100 kali. Maka, tidak boleh didatangkan ijtihad pada hukum bilangan sebat, kerana telah sabit secara qatci.
Begitu juga dengan kewajipan sembahyang, seperti firman Allah s.w.t:
{ وأقيموا الصلاة وآتوا الزكاة }
Dalam ayat ini tiada ruang untuk berijtihad pada maksud sembahyang dan zakat itu, selepas diterangkan maksudnya melalui sunnah iaitu perbuatan Nabi Muhammad. (Wahbah al-Zuhaili1986:1052)
KESIMPULAN
Ijtihad merupakan salah satu sumber hukum yang disepakati ulama berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah, namun ijtihad tidak harus secara mutlak bahkan ada syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh syarak dalam menjadikannya sebagai sumber hukum. Yang dapat diijtihad adalah hukum-hukum syarak yang dalilnya bersifat zanniyy.
Ijtihad secara bahasa berasal dari jahada yang bererti kemampuan, usaha dan penelitian untuk mendapatkan hukum berdasarkan kitabullah dan sunnah Nabi s.a.w. Mengenai dasar ijtihad banyak disebut dalam firman Allah s.w.t. antaranya dalam surah Al-Nisa’ ayat 59:
يــآأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله واطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم
Maksudnya: wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu kepada Allah, dan taatilah Rasul dan taatilah ulil amri di kalangan kamu.
Ijtihad amat diperlukan dalam perkara ijtihadiyyah sama ada berkaitan dengan ibadat, muamalat, jinayah, bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam yang berdepan dengan pelbagai keraguan. Justeru itu, menjadi tanggungjawab para mujtahid pada masa kini untuk menyelesaikan persoalan-persoalan baru yang bersesuaian dengan konteks semasa.
RUJUKAN
Al-Quran
Abu Mazaya Al-Hafiz. 2004 Fiqh jenayah Islam. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publishers.
Abdul Karim Zaidan. 1990 Al-Wajiz fi usul al-fiqh. Amman: Maktabah al-Basyair.
Abdul Karim Zaidan. 2009. Al-Wajiz fi usul al-fiqh. Lebanon : Muassasah al-Risalah
Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin.1997 Pengantar usul fiqh. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Abdul Majid Muhammad. 2003 Dirasat fi al-ijtihad wa fahm al-nas. Beirut:Dar al-Basha’ir al-Islamiyyah.
Abdul Wahhab Khallaf. 1995 Ilm al-usul a-lfFiqh wa khulasah al-tahric al-Islamiyy. Kaherah: Dar al-Fikr al-Arabiyy.
Abu Abdullah Hanafi Hj Dollah. 2006 Kamus bestari al-khalil. Gombak: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Husin Unang. 2008. Kamus al-tullab. Kuala Lumpur : Darul Fikir.
Kassim Salleh.1992 Ijtihad: Sejarah dan Perkembangannya. Petaling Jaya: Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
Muhammad al-Baqir, Muchtar Adam dan Ibrahim Hosen.1988. Ijtihad dalam sorotan. Penerbit Mizan
Muhammad bin Ismacil Abu cAbdullah.1987. Sahih Al-Bukhari. Beirut: Dar Ibn al-Kathir
Muhammad Fauzi.1984. al-Ijtihad fi sharicah al-Islamiyyah. Kuwait: Maktabah Dar al-Turath.
Nik Salida Nik Salleh. Syariah Dan Undang-undang: Isu dan Amalan. 2007. Nilai: Universiti Sains Islam Malausia.
al-Zuhaili, Wahbah. 1986.. Usul al-fiqh al-Islamiy. Damsyiq : Dar al-Fikr.
Anon, 2011. http ://www.oocities.org/collegepark/campus/8690/perso/so42.htm Tajuk : Kaffarah Bagi Zihar. 15 April 2011.
TUAN ZUL AJMA BINTI TUAN AHMAD ( A132895 )
SITI SARAH BINTI ROHAIDI ( A131263 )
NIK MASLINA BINTI NIK MAHMUD ( A 131183 )
AINUN MARDZIAH BINTI MAT SIDI ( A134045 )
No comments:
Post a Comment