PENGENALAN AL-ISTIHSAN
Al-Quran adalah sumber perundangan pertama yang disepakati, diikuti oleh al-Sunnah. Sehubungan dengan itu, terdapat juga sumber perundangan yang tidak disepakati seperti al-maslahah al-mursalah, al-‘urf, sadd al-dhara’i dan banyak lagi termasuklah juga al-istihsan.
Al-istihsan merupakan salah satu daripada sumber hukum perundangan Islam tetapi ia tergolong dalam sumber hukum yang tidak disepakati. Ini kerana terdapat ulama yang menerima dan juga menolak al-istihsan. Antara ulama’ yang menerima kehujahan al-istihsan ialah ulama Mazhab Hanafi, Imam Malik dan sebahagian ulama Hanbali. Sementara ulama yang menolak kehujahan al-istihsan ialah Imam Shafi’i serta sebahagian ulama Hanbali. ( Mohd Salleh bin Haji Ahmad 1997:117 )
Ulama yang menerima al-istihsan berpendapat bahawa adalah al-istihsan salah satu cara untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kepentingan awam. Manakala, menurut sebahagian ulama yang menolak kehujahan al-istihsan, jika al-istihsan dibenarkan ini boleh membuka jalan ke arah penggunaan akal fikiran tanpa sekatan yang membolehkan ia terdedah kepada kesilapan dalam menetapkan hukum. Ini kerana hukum akan dibuat berdasarkan nafsu dan fikiran sedangkan yang berhak membuat hukum adalah Allah s.w.t.
DEFINISI AL-ISTIHSAN
Al-istihsan dari segi bahasa ialah menganggap sesuatu itu baik atau sesuatu yang disukai oleh seseorang serta cenderung ke arahnya sekalipun dipandang buruk (tidak disukai) oleh orang lain. ( Yusuf Sukri Farhat 2007:127 )
Sementara al-istihsan dari segi istilah pula dapat dibahagikan kepada beberapa pandangan kerana ulama usul telah berbeza pendapat dalam memberi definisi al-istihsan. Imam al-Karkhiyy mentakrifkannya sebagai :
"أن يعدل المجتهد عن أن يحكم في المسألة بمثل ما حكم به في نظائرها الى خلافه لوجه يقتضى العدول عن الأول"
Maksudnya : “Berpaling seseorang mujtahid dari menghukum suatu masalah menyerupai dengan hukum pada masalah lain yang sebandingnya, kerana ada suatu pertimbangan yang lebih utama yang mengkehendaki perpalingan tersebut”. ( Abdul Karim Zaidan 2009: 181 )
Dengan erti kata lain, penetapan hukum oleh seseorang mujtahid terhadap suatu masalah yang menyimpang daripada ketetapan hukum yang ditetapkan pada masalah-masalah yang serupa disebabkan adanya alasan yang lebih kuat yang mengkehendaki dilakukan penyimpangan itu.
Sebahagian para ulama usul pula mentakrifkannya sebagai :
"عدول المجتهد عن مقتضى قياس جلي الى مقتضى قياس خفي, أو عن حكم كلي الى حكم استشنائي لدليل انقدح في عقله رجح لديه هذا العدول"
Maksudnya : “Berpaling seseorang mujtahid daripada mengambil hukum yang berasaskan qiyas yang nyata kepada mengambil hukum yang berasaskan dari qiyas yang tersembunyi, atau meninggalkan hukum kulli dan mengambil hukum pengecualian ( istisna’ ) kerana ada dalil yang lebih kuat pada pandangan mujtahid” ( Abdul Karim Zaidan 2009 : 181 )
HAKIKAT AL-ISTIHSAN
Oleh yang demikian, apa yang dapat disimpulkan di sini berdasarkan penakrifan-penakrifan di atas ialah al-istihsan merupakan peralihan atau perpindahan daripada suatu hukum kepada hukum yang lain pada suatu isu yang sama kerana terdapat alasan ataupun dalil yang lebih kuat.
SEJARAH AL-ISTIHSAN
Mazhab Hanafi merupakan mazhab yang paling kerap menggunakan kaedah al-istihsan. Imam Abu Hanifah sendiri mempunyai fahaman yang mendalam berkenaan dengan qiyas dan al-istihsan sehingga Imam Syafi’e menggambarkan keadaan beliau ini dengan berkata, “Para sarjana yang menggunakan qiyas dan al-istihsan boleh dianggap sebagai pewaris Abu Hanifah.” Hal ini menunjukkan bahawa Imam Syafi’e sendiri mengakui kehebatan Imam Abu Hanifah di dalam penggunaan al-istihsan
Abu Yusuf iaitu murid kepada Abu Hanifah telah membuat satu penyataan berdasarkan kaedah gurunya itu berijtihad dengan berkata, “Dalam setiap kes yang telah dihadapkan kepada Abu Hanifah, perkara pertama yang akan dilakukan oleh beliau ialah memastikan sama ada wujud dalil berkenaan perkara tersebut atau tidak. Jika terdapat dalil, maka beliau akan menggunakannya. Jika terdapat dua pendapat, maka pendapat yang lebih kuat akan digunakan. Walau bagaimanapun, jika terdapat dua pendapat yang sama, beliau akan mengadilinya berdasarkan pendapat beliau sendiri (ra’y), qiyas atau al-istihsan.” Ini menunjukkan bahawa Abu Hanifah amat teliti dalam membuat keputusan dan mengikut jalan yang telah ditetapkan syariat. Selain itu, Abu Hanifah juga merupakan seorang yang peka terhadap keadaan dan keperluan masyarakat yang membuatkannya membuat al-istihsan yang sempurna dan memberi manfaat kepada orang ramai. (Saim Kayadibi 2010: 186-189)
PEMBAHAGIAN AL-ISTIHSAN
Berdasarkan kepada takrif al-istihsan sebelum ini, al-istihsan dapat dibahagikan kepada beberapa pembahagian yang tertentu, iaitu:
1) Al-Istihsan Dengan Nas
Al-Istihsan dengan nas ialah berpindah daripada hukum asal yang telah ditetapkan pada satu masalah kerana terdapat nas yang mengkehendakinya berpindah daripada hukum asal tersebut. Contohnya al-istihsan dengan nas adalah seperti berikut: (Hasan bin Ahmad 2002 : 304-305)
i. Jual beli secara tempahan (bai’ al-salam) merupakan jual beli sesuatu barang yang belum ada di tangan penjualnya. Menurut qiyas, pada asalnya jual beli dengan cara ini adalah haram kerana barang tidak wujud semasa transaksi jual beli dilaksanakan. Rasulullah s.a.w. melarang jual beli seperti ini dilaksanakan seperti di dalam sabda Rasulullah s.a.w. kepada Hakim bin Hazam.
"لا تبع ما ليس عندك"
Maksudnya: “ Janganlah engkau jual sesuatu yang tidak ada di sisi engkau”
(Riwayat Abu Daud)
Hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang menjalankan transaksi jual beli sekiranya barang tidak wujud semasa majlis akad berlangsung. Namun, jual beli salam ini dikecualikan daripada kehendak dalil umum atau hadis tersebut kerana ada nas lain yang mengharuskan iaitu hadis mengenai peristiwa Rasulullah s.a.w. yang datang ke Madinah sedangkan penduduk-penduduknya pada masa itu menjalankan jual beli salam ke atas buah-buahan dalam masa setahun dan dua tahun kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:
من أسلف منكم فليسلف فى كيل معلوم ووزن معلوم اٍلى أجل معلوم
Maksudnya: “Barang siapa yang berjual salam di kalangan kamu maka hendaklah ia berjual salam dengan sukatan yang jelas dan timbangan yang diketahui sehingga tempoh yang jelas”.
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah membenarkan transaksi jual beli salam tetapi barang tersebut mestilah dengan sukatan yang jelas dan timbangan yang diketahui. Tempoh transaksi jual beli itu juga mestilah diketahui.
ii. Contoh yang kedua ialah seseorang yang berpuasa tidak akan batal ibadah puasanya. Menurut qiyas, iaitu kaedah umum dan hukum asalnya adalah batal puasa seseorang itu disebabkan tidak menahan diri daripada memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Namun, hal ini dikecualikan daripada kaedah umum kerana wujudnya nas hadis yang membatalkannya berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi:
من نسي وهو صائم فأكل أو شرب فليتم صومه فاٍنما الله أﻃﻌﻤﻪ وسقاه
Maksudnya: “Barangsiapa lupa sedangkan ia berpuasa lalu ia makan atau minum maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya maka sesungguhnya Allah s.w.t. memberi makan dan minum kepadanya.”
( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dan At-Tarmizi dan Abu Daud dan Ibn Majah)
Hadis di atas telah menjelaskan bahawa sesiapa yang makan dan minum pada bulan puasa secara tidak disedari, maka puasa tersebut adalah sah dan wajib diteruskan.
2) Al-Istihsan Dengan Ijmak
Al-Istihsan dengan ijmak ialah berpindah daripada hukum asal yang telah ditetapkan pada satu masalah kerana terdapat persepakatan para ulamak yang mengkehendakinya berpindah daripada hukum asal tersebut. Misalnya: (Hasan bin Ahmad 2002 : 306-307)
i. Menempah barangan iaitu bai’ al-salam. Mengikut kaedah umum adalah tidak diharuskan kerana barang yang diakadkan itu tidak ada semasa akad. Namun, ia diharuskan kerana jual salam ini adalah sesuatu yang baik dan merupakan salah satu cara masyarakat menjalankan jual beli yang merupakan satu keperluan, maka para mujtahid bersepakat bahawa jual salam ini diharuskan.
ii. Contoh yang kedua ialah masalah penggunaan bilik air awam yang mengenakan bayaran masuk yang sama, tetapi tidak ditentukan kadar penggunaan air dan masa berada di dalamnya. Menurut kaedah umum, hal seperti ini adalah diharamkan kerana tidak diketahui kadar air yang digunakan dan masa ketika berada di dalamnya. Namun, para mujtahid telah menggunakan kaedah al-istihsan dengan melihat bahawa sudah menjadi kebiasaan orang ramai melakukannya di setiap masa tanpa diingkari oleh mana-mana mujtahid. Maka, ia menunjukkan bahawa mereka bersepakat bagi meraikan keperluan orang ramai dan menolak kesukaran bagi mereka. Kesimpulannya, penggunaan bilik air awam itu adalah diharuskan kerana melihat kepada al-istihsan.
3) Al-Istihsan Berdasarkan Darurat
Al-Istihsan berdasarkan darurat ialah berpindah daripada hukum asal yang telah ditetapkan pada satu masalah kerana terdapat darurat yang mengkehendakinya berpindah daripada hukum asal tersebut (Ruzian Markom 2004 : 68). Antara contohnya adalah seperti berikut: (Hasan bin Ahmad 2002 : 307-308)
i. Membersih perigi ataupun kolam yang bernajis. Mengikut kaedah umum ataupun qiyas, perigi ataupun kolam tersebut tidak akan bersih selama-lamanya walaupun dibuang separuh ataupun kesemua air di dalam perigi ataupun kolam tersebut. Ini kerana, membuang separuh daripada air tersebut tidak akan menjadikan baki air yang terdapat di dalam perigi tersebut bersih. Begitu juga sekiranya air tersebut dibuang keseluruhannya kerana ia tidak akan membersihkan air yang baru keluar dari mata air dalam perigi ataupun kolam tersebut. keadaan ini akan menyukarkan masyarakat kerana telah menyebabkan kesukaran dan kepayahan mereka sekiranya perigi ataupun kolam tersebut telah menjadi punca utama sumber air. Dengan sebab itu, diharuskan bagi masyarakat menggunakan air itu atas keperluan dan darurat.
4) Al-Istihsan Berdasarkan Qiyas Khafiyy
Al-Istihsan berdasarkan qiyas khafiyy ialah berpindah daripada hukum asal iaitu qiyas jaliyy yang telah ditetapkan pada satu masalah kerana terdapat keadaan yang mengkehendakinya berpindah daripada hukum asal tersebut. Para mujtahid bertindak sedemikian kerana terdapatnya dalil yang membolehkannya berubah dari qiyas jaliyy kepada qiyas khafiyy demi kemaslahatan umum. Contohnya: (Hasan bin Ahmad 2002 : 308-309)
i. Baki minuman yang diminum oleh burung liar seperti anak helang dihukumkan suci. Mengikut qiyas jaliyy, baki air tersebut adalah najis berdasarkan qiyas dengan binatang buas yang dagingnya haram dimakan kerana hukum sisa minuman ini adalah berdasarkan hukum daging. Sekiranya daging binatang tersebut adalah najis, maka sisa daripada binatang tersebut juga menjadi najis kerana air liurnya terbit daripada dagingnya atau bercampur dengan dagingnya yang najis.
Namun mengikut al-istihsan, iaitu dengan qiyas khaffiyy, baki daripada minuman burung-burung tersebut adalah suci, sama seperti baki minuman manusia dengan alasan bahawa air liur burung dan manusia tidak bercampur dengan air ketika air tersebut diminum. Ini kerana burung minum menggunakan paruhnya yang merupakan tulang keras yang suci dan tidak menyerap najis. Maka air yang terkena paruh tersebut tidak menjadi najis. Dengan erti kata yang lain, bukan disebabkan daging binatang buas tersebut najis, maka sisa daripadanya juga adalah najis. Namun, ia dihukumkan najis kerana masuknya sesuatu yang lain ke dalam sisa binatang tersebut, maka ia dihukumkan najis seperti air liur yang bercampur dengan daging binatang buas tersebut. Oleh itu, sekiranya daging yang najis tidak bercampur dengan air melalui air liur, maka sisa minuman itu tetap tidak najis. ‘Illah di atas tidak terdapat pada burung pemangsa kerana daging burung itu walaupun ia dihukumkan najis tetapi dagingnya yang najis itu tidak bercampur dengan air kerana burung tersebut tidak minum dengan menggunakan mulutnya bahkan menggunakan paruhnya yang tidak terdapat padanya air liur yang bercampur dengan daging yang najis. Dengan itu, dikembalikan hukum yang asal iaitu sisa air yang diminum oleh burung buas adalah halal sesuai dengan hukum yang asal. (Ahmad Kamarudin et.al. 2007 : 6-7)
5) Al-Istihsan Berdasarkan Maslahah
Maksud al-istihsan dengan maslahah ialah beralih daripada satu hukum pada satu-satu masalah yang telah menjadi kaedah umum kepada hukum yang lain kerana wujudnya maslahah yang tertentu. Misalnya: (Hasan bin Ahmad 2002 : 310-311)
i. Mengikut prinsip umum, tidak harus memberi zakat kepada Bani Hasyim, tetapi Abu Hanifah mengharuskannya mengikut situasi kerana al-istihsan demi untuk memelihara kepentingan mereka dan memelihara mereka daripada dipersia-siakan.
ii. Antara prinsip yang ditetapkan dalam mazhab Hanafi ialah akad muzara’ah dengan mati salah seorang daripada dua yang berakad atau mati kedua-duanya seperti yang berlaku di dalam sewa menyewa, tetapi mereka mengecualikan daripadanya sebahagian daripada masalah-masalah. Antaranya ialah apabila mati pemilik tanah sedangkan tanamannya belum boleh diambil, mereka menghukum kekal akad padanya kerana berdasarkan al-istihsan yang menyalahi prinsip umum untuk memelihara kepentingan pekerja (amil) dan menolak kemudharatan daripadanya.
6) Al-Istihsan Berdasarkan ‘Urf
Al-Istihsan berdasarkan 'urf ialah berpindah daripada hukum asal yang telah ditetapkan pada satu masalah yang menjadi satu amalan kebiasaan yang mengkehendakinya berpindah daripada hukum asal tersebut. Contohnya: (Hasan bin Ahmad 2002 : 309-310)
i. Menurut fiqh mazhab Hanafi, antara prinsip umum harta wakaf hendaklah berkekalan dalam tempoh yang panjang. Mengikut prinsip ini, tidak harus mewakafkan harta alih kerana ia cepat rosak dan tidak berkekalan. Namun, Imam Muhammad bin Hasan mengharuskan wakaf harta alih seperti buku-buku dan seumpamanya kerana ia menjadi kebiasaan atau adat masyarakat mewakafkannya. Oleh itu ia dibolehkan atas dasar al-istihsan walaupun menyalahi prinsip umum.
KEHUJAHAN AL-ISTIHSAN
Para ulama berselisih pendapat tentang kehujahan al-istihsan sebagai salah satu sumber perundangan Islam. (Wahbah al-Zuhaili 1986:2/29)
1. Golongan yang menerima (Wahbah al-Zuhaili 1986:29)
Pendapat ini dinisbahkan kepada golongan Hanafi, Hanbali dan Maliki.
Antara hujah golongan yang menerima ialah:
i) Al-istihsan adalah sumber hukum yang dapat menolak kesusahan kepada kesenangan yang merupakan asas dalam agama seperti firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 185:
߉ƒÌムª!$# ãNà6Î/ tó¡ãŠø9$# Ÿwur ߉ƒÌムãNà6Î/ uŽô£ãèø9$#
Maksudnya:
Allah s.w.t menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
Ayat di atas menerangkan bahawa Allah s.w.t menyuruh hambaNya mengambil kesenangan (يسر) dan menghindari kesusahan (عسر) dalam semua perkara. Ini bertepatan dengan asas al-istihsan iaitu menolak kesusahan kepada kesenangan. Misalnya tidak sah jual salam jika diqiyaskan kepada akad jual beli, kerana benda yang diakadkan belum wujud ketika akad. Oleh kerana jual salam adalah baik dan perlu dalam masyarakat serta memudahkan urusan jual beli, maka ulama mengira baik dan diharuskan. (Wahbah al-Zuhaili 1986:29)
ii) Firman Allah s.w.t dalam surah al-Zumar ayat 55.
(#þqãèÎ7¨?$#ur z`|¡ômr& !$tB tAÌ“Ré& Nä3ø‹s9Î) `ÏiB Nà6În/§‘ `ÏiB È@ö6s% br& ãNà6u‹Ï?ù'tƒ Ü>#x‹yèø9$# ZptGøót/ óOçFRr&ur Ÿw šcrããèô±n@ ÇÎÎÈ
Maksudnya:
Dan turutlah Al-Quran sebaik-baik (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.
Ayat di atas menerangkan bahawa Allah s.w.t menurunkan al-Quran kepada manusia untuk dijadikan sebagai sebaik-baik panduan hidup (أحسن). Oleh itu berdasarkan perkataan (أحسن) dalam ayat tersebut, golongan yang menerima al-istihsan sebagai sumber perundangan berpendapat bahawa al-istihsan merupakan salah satu cara yang terbaik dalam mengeluarkan sesuatu hukum kerana al-istihsan mendatangkan kemaslahatan kepada manusia bukannya kemudaratan. Misalnya kadar bayaran menggunakan bilik air atau pun tandas adalah sama sahaja bagi setiap orang tanpa mengambil kira kadar air yang digunakan serta kadar masa menggunakan tempat tersebut. Ini kerana menetapkan kadar pada seumpama itu adalah menyusahkan, maka lebih baik ditinggalkan.
(Wahbah al-Zuhaili 1986:2/30)
2. Golongan yang menolak (Wahbah al-Zuhaili 1986:2/30)
Antara ulama yang menolak penggunaan al-istihsan adalah Imam al-Syafie. (Wahbah al-Zuhaili 1986:2/31)
Antara hujah golongan ini ialah:
i) Sesungguhnya tidak harus mengeluarkan hukum melainkan apabila disandarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan juga qiyas. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah dalam ayat 49:
Èbr&ur Nä3ôm$# NæhuZ÷t/ !$yJÎ/ tAt“Rr& ª!$# Ÿwur ôìÎ7®Ks? öNèduä!#uq÷dr& öNèdö‘x‹÷n$#ur br& š‚qãZÏFøÿtƒ .`tã ÇÙ÷èt/ !$tB tAt“Rr& ª!$# y7ø‹s9Î) ( bÎ*sù (#öq©9uqs? öNn=÷æ$$sù $uK¯Rr& ߉ƒÌムª!$# br& Nåkz:ÅÁムÇÙ÷èt7Î/ öNÍkÍ5qçRèŒ 3 ¨bÎ)ur #ZŽÏWx. z`ÏiB Ĩ$¨Z9$# tbqà)Å¡»xÿs9 ÇÍÒÈ
Maksudnya:
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah s.w.t itu), maka ketahuilah, Allah s.w.t mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka, dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.
Ayat di atas menunjukkan bahawa sumber hukum hanya boleh berpandukan wahyu Allah s.w.t iaitu al-Quran dan al-Sunnah dan bukannya berdasarkan sumber hukum yang lain. (Wahbah al-Zuhaili 1986:31)
ii) Nabi tidak pernah mengeluarkan fatwa dengan menggunakan al-istihsan sebaliknya hanya menggunakan wahyu daripada Allah s.w.t. (Wahbah al-Zuhaili 1986:2/31)
iii) Al-Istihsan merupakan kesenangan serta keringanan dalam mengeluarkan hukum, serta tidak ada dabit yang tertentu. Oleh itu apabila ia harus kepada mujtahid, maka ia juga harus kepada orang lain yang tidak mempunyai akal yang sama atau akal yang lebih baik kerana ia adalah manifestasi kepada penggunaan akal yang waras. (Wahbah al-Zuhaili 1986:2/31)
KESIMPULAN
Melalui perbincangan ringkas berkenaan kehujahan istihsan di atas, dapat disimpulkan bahawa al-istihsan merupakan salah satu daripada sumber hukum perundangan Islam tetapi ianya tergolong dalam sumber hukum yang tidak disepakati. Oleh yang demikian, ulama’ berselisih pendapat tentang kehujahan al-istihsan, Ini kerana terdapat ulama yang menerima dan juga menolak al-istihsan.
Ulama yang menerima al-istihsan berpendapat bahawa al-istihsan merupakan salah satu cara untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kepentingan awam. Manakala golongan yang menolak pula berhujah jika al-istihsan dibenarkan maka ia akan membuka jalan kepada pengeluaran hukum berdasarkan akal dan hawa nafsu semata-mata.
Walau bagaimanapun, punca kepada perselisihan ini adalah kerana masing-masing ingin membawa kebaikan untuk masyarakat, agama dan membawa kebenaran serta berhati-hati dan teliti dalam mengeluarkan hukum. Sesungguhnya al-istihsan dikatakan sebagai mewakili sudut kemudahan dan kelonggaran yang telah diberikan oleh Islam melalui syariatnya.
RUJUKAN
Al-Quran
Abdul Karim Zaidan. 2009. Al-Wajiz fi usul al-fiqh. Beirut: Lebanon.
Yusuf Sukri Farhat. 2007. Mu’jam al-tullab. Edisi ke-6. Lubnan: Dar al-Kutub al-Ilmiyah.
Al-Zuhaili Wahbah. 1986. Usul al-fiqh Islami. 2 Jil. 1986. Damsyik: Dar al-Fikr
Saim Kayadibi. 2010. Istihsan: the doctrine of juristic preference in Islamic law. Selangor: Islamic Book Trust.
Hasan bin Haji Ahmad. 2002. Usul fiqh dan qawa’id fiqhiyyah. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
Ruzian Markom. 2004. Apa itu undang-undang Islam. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
DISEDIAKAN OLEH:
NURSAHILA AYUB
NURUL HAFISAH HASAN
KHAIRUL NURAIN ABDUL AZIZ
NURUL NUR IZZATIE MOHD. ZAIDI
No comments:
Post a Comment