Pengenalan
Dalam Islam dalil utama yang digunakan oleh fuqaha untuk mengistinbat hukum-hukum adalah al-Quran. Sekiranya di dalam al-Quran tidak didapati hukum yang dikehendaki, maka dalil berikutnya yang akan digunakan adalah hadis. Sekiranya dalam hadis pun tidak terdapat ketentuan-ketentuan hukum yang dikaji maka dalil berikutnya adalah ijmak dan seterusnya qiyas.
Dalam Islam, terdapat dua ketentuan hukum iaitu hukum yang disepakati dan hukum yang tidak disepakati. Al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas merupakan dalil-dalil syarak yang sudah disepakati oleh para para jumhur fuqaha sebagai sumber kepada pengeluaran hukum syarak. Manakala dalil yang tidak disepakati pula secara umumnya ada tujuh iaitu maslahah al-mursalah, al-‘urf, sadd al-dhara’i, al-istihsan, al-istishab, mazhab Sahabat dan syariat umat terdahulu.
Maslahah mursalah merupakan salah satu daripada sumber hukum perundangan Islam tetapi ia tergolong dalam sumber hukum yang tidak disepakati. Antara ulama yang menerima kehujahan maslahah mursalah ialah Imam Malik dan sebahagian ualama mazhab Hanbali. Sementara ulama yang menolak kehujahan maslahah mursalah ialah Imam Shafi’i dan mazhab Hanafi.
Dalam kertas kerja ini, kami akan membincangkan definisi maslahah mursalah, pembahagian, kehujahan serta isu-isu yang berkaitan dengan maslahah mursalah.
Definisi Maslahah
Maslahah mursalah terdiri daripada dua perkataan iaitu maslahah dan mursalah. Sebelum melihat kepada maksud maslahah mursalah secara khusus adalah lebih baik dijelaskan terlebih dahulu maksud maslahah. Maslahah merupakan masdar yang bermaksud kebaikan (al-salah). (al-Marbawi 1354H:1/341) Kata jamaknya ialah masalih. (al-Marbawi 1354H: 1/342).
Dari segi istilah pula, maslahah bermaksud manfaat yang ditentukan oleh Allah yang Maha Bijaksana untuk hamba-hamba-Nya dengan memelihara agama, jiwa, akal fikiran, keturunan dan harta. ( Muhammad Sacid Ramadan al-Buti 2000: 27 ) Berdasarkan takrif di atas, maslahah boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu dari aspek kekuatan zat, aspek umum dan khusus ataupun aspek perakuan dan penolakan syarak.
Klasifikasi Maslahah
Maslahah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:
1. Aspek kekuatan pada zat
2. Aspek umum dan khusus
3. Aspek perakuan dan penolakan syarak
Aspek Kekuatan Pada Zat
Pembahagian maslahah dari aspek ini terbahagi kepada tiga iaitu:
1. Al-Daruriyyah
Maslahah al-Daruriyyah ialah setiap perkara yang yang dimaksudkan oleh Allah untuk dipelihara iaitu agama, jiwa, akal, fikiran, keturunan dan harta. Menurut pandangan syarak, kelima-lima perkara ini dalam kehidupan manusia. Sekiranya salah satu daripadanya tiada, kehidupan tidak dapat diteruskan. Oleh itu, mengerjakan ibadat diwajibkan untuk menjaga agama. Selain itu, undang-undang yang disyariatkan oleh Allah (s.w.t) seperti qisas, hudud dan takzir adalah untuk menjaga lima elemen tersebut agar kehidupan dapat diteruskan. Kesimpulannya, maslahah daruriyyah adalah bertujuan bagi memelihara lima perkara di atas. (Mohd Saleh Hj Ahmad 1999:124)
2. Al-Hajiyyah
Maslahah Hajiyyah ialah perbuatan-perbuatan atau tindakan-tindakan yang dengan kewujudannya akan memudahkan kehidupan manusia. Namun, ketiadaannya tidaklah begitu menyusahkan. Sebagai contoh, dibolehkan solat jamak bagi mereka yang bermusafir. Ia merupakan keringanan dalam menunaikan solat. Sekiranya tidak dilakukan, ia tidaklah memudaratkan musafir tersebut kerana solat jamak bertujuan untuk memudahkan musafir menunaikan solat. Maka, perbuatan ini diperlukan untuk memperoleh kelonggaran hidup dan menghilangkan kesempitan. Contoh lain ialah akad sewaan. Dengan adanya akad ini, ia boleh memenuhi keperluan orang lain. Sebaliknya, jika akad sewaan ini dilarang, kehidupan manusia akan menjadi rumit kerana terpaksa membeli barang keperluan tersebut sedangkan ia hanya untuk digunakan dalam tempoh yang sekejap sahaja. (Mohd Saleh Hj Ahmad 1999:124)
3. Al-Tahsiniyyah
Maslahah Tahsiniyyah ialah maslahah yang apabila tidak dikerjakan, kehidupan manusia tidak mengalami kesulitan tetapi adanya maslahah tersebut, kehidupan manusia ia akan menjadi lebih baik. Oleh yang demikian, ia termasuk dalam usaha-usaha penyempurnaan perkara yang sepatutnya dan menghindari perkara yang tidak sepatutnya dilakukan seperti kesopanan dalam berbicara, menjaga adab makan dan minum, perbelanjaan harta yang sederhana dan tidak terlalu pemurah atau terlalu kedekut. (Mohd Saleh Hj Ahmad 1999:125)
Aspek Umum Dan Khusus
Selain itu juga, maslahah boleh dilihat dari aspek ruang lingkup sama ada ia umum atau khusus iaitu maslahah ‘ammah, aghlabiyyah, atau khassah. (Mohd Saleh Hj Ahmad 1999:126)
‘Ammah
Maslahah yang merangkumi seluruh manusia. Contohnya, pensyariatan membunuh ahli bid’ah jika dikhuatiri golongan ini akan mempengaruhi umat Islam dengan perbuatan bid’ah yang mereka lakukan.
Aghlabiyyah
Maslahah yang melibatkan sebahagian besar manusia sahaja. Misalnya jaminan yang dikenakan ke atas pengilang terhadap produk yang dikeluarkan oleh mereka. Ini kerana yang berurusan dengan pengilang hanyalah sebahagian besar manusia sahaja dan bukan keseluruhannya.
Khassah
Kemaslahatan individu tertentu pada situasi tertentu yang jarang berlaku. Contohnya idah wanita yang agak jauh pusingan haidnya akan dikira mengikut bulan dan bukan kitaran mengikut haid.
Aspek Perakuan Dan Penolakan Syarak
Maslahah manusia dalam kehidupan ini tidak terbatas dari segi jenis dan jumlahnya. Ia selalu bertambah dan berkembang mengikut situasi masyarakat. Sesetengah maslahah ada yang tetap dan berubah-ubah. Ini bermakna syariat Allah memandang maslahah ini dengan teliti, dengan mengambil kira kemaslahatan sesebuah masyarakat. Selain itu juga, pembahagian ini memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya sebagai panduan kepada tertib dan susunan kedudukan yang perlu diambil kira sekiranya terdapat percanggahan antara sesama maslahah dalam usaha mengistinbat hukum syarak. Ia terbahagi kepada tiga:
Maslahah Mu’tabarah
Maslahah Mu’tabarah ialah maslahah yang diperakui oleh syarak dan dibinakan hukum-hakam bagi mendapatkan maslahah itu. Contohnya bagi maslahah memelihara jiwa, maka disyariatkan hukum qisas. Bagi maslahah memelihara harta, maka diperundangkan hukum potong tangan pencuri, dan bagi kepentingan memelihara akal diperundangkan hukuman sebat kepada peminum arak. (Hanafi 1970:65)
Maslahah Mulghah
Maslahah Mulghah ialah setiap perkara yang dianggap oleh akal sebagai maslahah tetapi ia dibatalkan oleh syarak dan tidak diambil kira kerana ia bertentangan dengan nas secara langsung. Misalnya mewajibkan berpuasa selama dua bulan berturut-turut sebagai permulaan pada tertib kaffarah zihar sebelum ’berusaha’ dan tidak mampu untuk membebaskan hamba. Keadaan ini khusus kepada sesiapa yang mudah untuk membebaskan hamba berbanding dengan puasa. Walaupun dengan cara ini mungkin kelihatan lebih mendatang kemaslahatan pada akal, namun ia tidak dikira sebagai maslahah yang diiktiraf kerana ia bertentangan dengan nas. Nas tersebut ialah firman Allah (s.w.t) yang berbunyi.(Hanafi 1970:65)
Maksudnya: Orang-orang yang menzihar isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Barangsiapa yang tidak mendapatkan (budak), maka (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut. Maka siapa yang tiada kuasa (wajib atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin. (al-Mujadalah 58:3-4)
Pada ayat di atas, Allah (s.w.t) telah menetapkan susunan tertib kaffarah zihar yang dimulakan dengan pembebasan hamba dan diakhiri dengan memberi makan kepada orang miskin. Dengan ini, penepatan berpuasa sebagai permulaan kepada kaffarah zihar terbatal kerana berpuasa hanya dibolehkan jika tidak mampu untuk membebaskan hamba.
Manakala yang ketiga ialah maslahah mursalah akan diterangkan seterusnya selepas ini.
Definisi Maslahah Mursalah
Maslahah mursalah seperti yang telah diketahui, terdiri daripada dua perkataan iaitu maslahah dan mursalah.
Definisi maslahah telah dibincangkan sebelum ini. Mursalah pula merupakan masdar daripada perkataan ( أرسل ) yang bermaksud bebas atau tidak diikat. (al-Marbawi 1354H: 1/236)
Oleh itu maksud maslahah mursalah ialah maslahah yang tiada nas menyokong atau menolak secara langsung tetapi secara tersirat ia dimaksudkan oleh syarak untuk dipelihara.( Hamad ‘Ubayd al-Kubaisi 2009: 150)
Walau bagaimanapun, maslahah mursalah telah menjadi perselisihan di kalangan para ulama sama ada ia boleh dijadikan sebagai salah satu sumber hukum atau tidak. Berikut adalah penerangan mengenai kedudukan maslahah mursalah sebagai hujah dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
Kedudukan Maslahah Mursalah dan Kehujahannya
Dalam agama Islam, terdapat hukum berbentuk tacabbudiyyah seperti bentuk solat, waktu solat dan puasa yang telah ditetapkan oleh syarak. Ketetapan ini tiada ruang bagi akal fikiran untuk mempertikaikan tentang kelogikan ibadah-ibadah tersebut. Malah hukum-hukum ibadah tersebut juga tiada ruang untuk diqiyaskan dan disesuaikan dengan maslahah mursalah kerana hukum-hukum ibadah tersebut telah ditetapkan oleh syarak.
Manakala hal-hal yang berkaitan dengan muamalat dan adat, ia mempunyai ruang dan peluang kepada manusia untuk melakukan ijtihad melalui qiyas dan maslahah mursalah. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam menerima pakai maslahah mursalah sebagai salah satu hujah bagi penetapan sesuatu hukum. (Ramli 1999: 167)
Maslahah mursalah adalah hujah syarak
Mazhab Maliki dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa maslahah mursalah boleh dijadikan salah satu sumber hukum dalam menetapkan sesuatu hukum. Antara dalil dan hujah mereka ialah seperti berikut: (Ramli 1999: 167-173)
i. Para Sahabat dan tabicin yang berijtihad telah mengeluarkan fatwa pada banyak perkara dengan menggunakan maslahah tanpa terikat dengan kaedah qiyas dan tiada sesiapa yang membantah perbuatan para Sahabat dan tabicin tersebut. Antara contohnya:
a. Khalifah Abu Bakar telah mengumpul al-Quran dalam satu mushaf untuk menjaga al-Quran setelah ramai para Sahabat yang menghafal al-Quran telah terkorban dalam Perang al-Riddah. Kronologi pengumpulan ini bermula dengan cadangan Sayidina ‘Umar kepada Sayidina Abu Bakar. Pada peringkat awal, Sayidina Abu bakar menolak cadangan ini kerana perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Namun begitu, Abu Bakar akhirnya bersetuju untuk mengumpulkan al-Quran tersebut berdasarkan kemaslahatan umat Islam pada masa itu iaitu bagi mengelakkan al-Quran daripada hilang.
b. Khalifah ‘Umar pernah menghukum lelaki tampan dengan buang daerah kerana rupa parasnya yang cantik telah menyebabkan ramai wanita muda di Madinah terpesona. ‘Umar bertindak sedemikian demi maslahah untuk mengelakkan daripada berlakunya fitnah.
ii. Sekiranya kemaslahatan yang terdapat di setiap tempat itu diabaikan walaupun maslahah itu selari dengan kehendak syarak, nescaya umat Islam yang mukallaf akan mengalami kesulitan.
Oleh itu, penetapan sesuatu hukum syarak adalah berdasarkan kepada kemaslahatan umat bukan berdasarkan kepada kepentingan seseorang individu. (Ramli 1999: 168)
Maslahah Mursalah tidak boleh dijadikan hujah syarak
Ulama yang menolak maslahah mursalah sebagai hujah dalam menetapkan sesuatu hukum ialah mazhab Hanafi, Mazhab Syaficie dan mazhab Zahiriyyah. Antara dasar penolakan mereka terhadap maslahah mursalah ini adalah seperti berikut:
i. Semua syariat yang telah ditetapkan oleh Allah (s.w.t) dalam mengambil kira kemaslahatan umat manusia dan tidak ada satu pun yang ditinggalkan atau tidak dijelaskan. Justeru, mereka yang menjadikan maslahah mursalah sebagai hujah seolah-olah menganggap syarak telah meninggalkan sebahagian daripada kemaslahatan manusia serta tidak disyariatkan untuk mereka. Oleh itu, apabila maslahah diterima seolah-olah Allah (s.w.t) yang meninggalkan sebahagian daripada kemaslahatan kepada umat manusia. Ini menunjukkan Allah (s.w.t) tidak bijaksana maka ia adalah bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah.
ii. Pembinaan hukum berdasarkan maslahah mursalah yang bukan berdasarkan kepada dalil khusus akan membuka ruang kepada seseorang individu untuk mengeluarkan hukum berdasarkan hawa nafsu. Oleh itu, penetapan sesuatu hukum tanpa berdasarkan kepada nas kadang kala boleh mengakibatkan suatu penyimpangan daripada hukum syariat dan tindakan zalim terhadap masyarakat dengan alasan maslahah seperti yang dilakukan oleh pemerintah yang zalim.
iii. Penggunaan maslahah mursalah sebagai sumber hukum akan membentuk perbezaan hukum akibat perbezaan pemikiran ulama. Ekoran itu, beramal dengan maslahah mursalah akan membawa kepada hukum yang berlainan dengan sebab perbezaan masa kerana maslahah sentiasa berubah mengikut masa dan suasana. (Ramli 1999: 170)
Oleh itu, penggunaan maslahah mursalah adalah tidak diterima sebagai dalil syarak kerana ia mencemarkan kesucian hukum-hukum syarak dengan tindakan-tindakan pihak-pihak tertentu dengan mengikut nafsu semata-mata tanpa berlandaskan syarak dengan alasan berlindung di sebalik maslahah mursalah. Berikut adalah contoh-contoh isu-isu kontemporari yang berkaitan dengan maslahah mursalah.
Isu-Isu Kontemporari yang Berkaitan dengan Maslahah Mursalah
Terdapat beberapa isu-isu kontemporari atau semasa yang berkaitan dengan maslahah mursalah yang akan dibincangkan iaitu:
i. Penggunaan Kalimah Allah oleh orang bukan Islam (Anon 2011)
Penggunaan kalimah Allah bagi orang Kristian atau bangsa-bangsa selain Islam adalah tidak bertepatan dan tidak selari dengan prinsip-prinsip al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah agama Islam. Selain itu, roh kalimah Allah bukan sekadar menjadi sebutan, seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata tetapi melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya. Isu ini amat penting untuk diperbincangkan demi menjaga satu daripada maqasid syariah iaitu memelihara agama.
Setelah diteliti bahawa tiada dalil yang menyokong dan menolak kepada penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Oleh itu, orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat terutamanya kepada golongan muda dan kanak-kanak muslim. Contohnya apabila mereka membaca terjemahan kitab Bible terbitan bahasa Inggeris iaitu ”..aku adalah anak Allah ’atau’ ...damai sejahtera dari Allah”, mereka akan mengganggap kalimah ’Allah’ di dalam agama-agama lain sama dengan kalimah ’Allah’ yang digunakan oleh umat Islam. Hal ini ternyata memberi kesan kepada pemikiran yang mungkin akan terpesong.
ii. Pendermaan Organ(Anon 2011)
Pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quran mahupun Sunnah Rasulullah s.a.w. kerana kaedah ini merupakan perkembangan yang baru dalam dunia perubatan. Perkara ini boleh dikaitkan dengan firman Allah (s.w.t):
••
Maksudnya: Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seseorang manusia maka, seolah-olah ia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.(al-Maidah 5:32)
Ayat ini menunujukkan kepada bentuk usaha yang diharuskan untuk menyelamatkan nyawa seseorang daripada kebinasaan. Ini termasuklah menderma organ kepada saudara mara. Hal ini bertepatan dengan firman Allah (s.w.t):
• •
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(al-Baqarah 2:173)
Ayat di atas mengharuskan pendermaan organ kepada pihak lain sekiranya pihak itu dalam keadaan darurat dan memerlukan. Ia juga selari dengan kaedah fiqh iaitu: الضرورات تبيح المحذورات yang membawa maksud kepada keadaan yang darurat mengharuskan perkara-perkara yang diharamkan.
Oleh yang demikian, ulama bersepakat bahawa pemindahan organ diharuskan setelah mendapati tiada persepakatan sama ada isu ini diterima atau ditolak berdasarkan daripada sumber nas yang qatcie. Mereka juga meletakkan syarat bahawa pemindahan organ hanya dibolehkan setelah tiada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Di samping itu, kaedah rawatan ini juga diharuskan sekiranya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup). Maka isu ini dibolehkan demi menjaga salah satu daripada maqasid syariah iaitu memelihara nyawa.
iii. Penubuhan Universiti (Anon 2011)
Penubuhan Universiti juga merupakan salah satu isu yang bertepatan dengan salah satu cabang maqasid syariah iaitu memelihara akal. Walaupun ia tiada dalam dalil yang menyokong mahupun yang menolak namun ia diharuskan bagi menjaga akal manusia. Ini bertepatan dengan kaedah maslahah mursalah bahawa dengan tertubuhnya pusat pembelajaran ini akan melahirkan golongan yang manusia yang berhemah tinggi tetapi juga mempunyai kesedaran dan tanggungjawab kepada masyarakat dan sanggup membina masyarakat yang stabil, aman damai dan bersatu padu.
Maka, lahirnya mahasiswa yang berilmu dan berkualiti tinggi yang dapat membantu negara dalam pelbagai aspek terutamanya mahir dalam bidang pentadbiran, politik dan pemerintahan negara.
iv. Bayi Tabung Uji (Anon 2011)
Salah satu faktor perkahwinan adalah untuk mempunyai zuriat ataupun keturunan. Namun apabila perkara tersebut tidak dapat dikecapi, ia akan membawa kepada kesedihan dan perkara-perkara yang negatif. Oleh yang demikian, dengan menggunakan kaedah bayi tabung uji boleh mencapai faktor perkahwinan itu. Bayi tabung uji ialah percantuman benih di antara lelaki dan perempuan yang bukan secara persetubuhan normal.
Setelah dikaji, isu ini tidak mempunyai dalil daripada nas-nas al-Quran dan Sunnah yang melarang atau menyokong kaedah bayi tabung uji tersebut. Para ulama berpendapat bahawa mensenyawakan telur isteri dengan sperma suami tanpa ada sedikit syak pun kemungkinan ia bercampur dengan sperma lelaki lain adalah harus hukumnya dan mensabitkan nasab anak yang bakal dilahirkan.
Kaedah ini bersesuaian dengan satu daripada maqasid syariah iaitu memelihara keturunan. Maslahah mursalah daripada kaedah ini adalah dapat memperoleh zuriat walaupun si isteri tidak boleh memperolehi anak secara semulajadi iaitu melalui hubungan kelamin suami isteri yang sah. Selain itu, kaedah ini juga boleh mengelakkan si suami daripada melakukan zina semata-mata untuk mendapatkan anak.
v. Penyaluran harta haram ke Baitulmal (Anon 2011)
Harta merupakan benda yang bernilai selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan dan rasuah adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri ini bertepatan dengan firman Allah (s.w.t):
•
Maksudnya: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.(al-Baqarah 2:275)
Ayat di atas menerangkan pengharaman riba bagi urusan jual beli maka apabila berlakunya riba ia perlu diserahkan kepada Baitulmal untuk kemaslahatan umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya. Sehubungan dengan itu, isu ini tidak mempunyai dalil yang menyokong atau menolak namun ia diharuskan bagi menjaga harta. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir. Kaedah ini bersesuaian dengan satu daripada maqasid syariah iaitu memelihara harta.
Kesimpulan
Sebagai natijah kepada perbincangan topik ini, syariat Islam merupakan agama yang terakhir membawa sinar harapan kepada seluruh manusia dalam membantu mengatur dan menyusun sistem kehidupan yang lebih sempurna. Ketika manusia meneruskan kehidupan mereka yang penuh dengan cabaran, maslahah dilihat sebagai sebahagian daripada alternatif perundangan Islam yang penting untuk berfungsi dalam pentas moden. Realiti ini menjadikan sumber perundangan Islam bersifat dinamis dalam menjamin kemaslahatan manusia.
Di samping itu, maslahah mursalah adalah bertepatan dengan maqasid syariah iaitu menjaga lima perkara iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Hal ini kerana beragama merupakan fitrah manusia dan lima kepentingan ini adalah diperlukan untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Oleh itu, dengan pengambilan maslahah mursalah sebagai salah satu cabang hukum adalah langkah yang terbaik kerana mengikut peredaran masa dan zaman. Ini kerana Islam adalah agama yang relevan sepanjang zaman dan memberi rukhsah kepada umatnya dan tidak membebankan.
Rujukan
Al-Quran
Anon. 2003. Hukum bayi tabung uji. Http://www.hanan.com.my[ 17 April 2011 ]
Anon. 2008. Isu tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah.
Http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan-penganut-Kristian-
terhadap-penggunaan-kalimah-Allah [ 17 April 2011 ]
Anon. 2009. Derma organ dalam perspektif Islam. http://ms.wikipedia.org /wiki/Derma_Organ_dalam_Perspektif_Islam [ 17 April 2011 ].
Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari. 2004. Pemindahan organ dalam Islam dan pelaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: al-hidayah.
Al-buti Muhammad Sacid Ramadhan. 2000. Dawabit al-maslahah fi al-shariah al-Islamiyyah. Beirut: al-Resalah Publishers.
Hanafi. 1970. Pengantar dan sejarah hukum Islam. Jakarta: Pustaka Bulan Bintang.
Al-kubaisi, Hamad ‘Ubayd. 2009. Usul al-Ahkam Wa Turuq al-Istinbat Fi Tasyri’ al-Islami. Damsyik : Dar al-salam
Muhammad Idris al-Marbawi. Kamus al-Marbawi. 1354H. al-Halabi: al-Qahirah.
Ramli SA. 1999. Muqaranah mazahib fi al-usul. Jakarta: Gaya Media Pratama.
Sarimah Hanim Aman Shah. 2005. Ekonomi dari perspektif Islam. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
DISEDIAKAN OLEH:
WAN FATIMAH ZAHRAA BINTI WAN SHAHRUDDIN A 131430
NOORHAZIERAH BT SANIF A 134763
SHARIFAH MADIHAH BT SYED ALWI A 134768
NURULHANNAN BT DAIM A 135428
blog yg sangat bagus dan padat dgn isu2 semasa....berharap agar lbh byk blog spt ini pada mse akan datang....b
ReplyDeletethanks..untk post ini.sangat manfaat.teruskan berjuang menyebarkan ilmu.....salam :)
ReplyDeletesgt mmbntu utk mmahami tntg perkara ini..sbb agak sukar mmhami perkara ini dlm bhs arb , so blh jdi bhn rujukan..
ReplyDeletesgt mmbntu utk mmahami tntg perkara ini..sbb agak sukar mmhami perkara ini dlm bhs arb , so blh jdi bhn rujukan..
ReplyDelete