Pages

Friday, April 22, 2011

Maslahah Mursalah


1.0       PENDAHULUAN

Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber utama penginstibatan hukum Islam. Sumber ini menjadi asas kepada penginstinbatan hukum Islam kerana al-Quran merupakan wahyu daripada Allah S.W.T, manakala al-Sunnah menerangkan dan menghuraikan apa yang terkandung dalam al-Quran.

            Di samping sumber utama ini, terdapat sumber lain yang digunakan oleh para mujtahid bagi mengeluarkan sesuatu hukum. Ulama fiqh telah membahagikan sumber ini kepada dua bahagian, iaitu sumber yang disepakati oleh jumhur fuqaha seperti ijma’ dan qiyas dan sumber yang diperselisihkan oleh mereka seperti istihsan, maslahah mursalah, ‘urf, sadd al-dhara’i, istishab, syar’ man qablana, qawl al-sahabiyy dan al-istishab. Sumber-sumber ini dinamakan juga sebagai istidlal iaitu menggunakan dalil bukan daripada al-Quran atau al-sunnah, bukan juga daripada ijma’ atau qiyas.

Maslahah mursalah adalah salah satu cabang daripada istidlal yang berperanan untuk memelihara maslahah ummah dengan cara menolak segala perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan menerima segala perkara yang mendatangkan manfaat. Penulisan ini cuba untuk memberikan penjelasan terhadap konsep maslahah mursalah sebagai salah satu sumber dalam penginstinbatan hukum Islam dan pandangan ulama terhadapnya.



2.0       DEFINISI MASLAHAH MURSALAH

Dari sudut etimologi, maslahah mursalah berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘maslahah’ dan ‘mursalah

Maslahah dari segi bahasa adalah kata terbitan (masdar) yang bermakna al-salah seperti perkataan al-manfa’ah yang bermakna al-naf’(manfaat) (Ibn Manzur  t.t : 2/516).

Dari sudut istilah pula, ulama memberikan banyak takrifan, antaranya ialah :

a)      Nukilan daripada Imam Ghazali. Menurut Muhammad Ahmad Burkab (2002), maslahah pada dasarnya adalah suatu gambaran daripada meraih manfaat atau menghindarkan mudarat iaitu ke arah memelihara tujuan syarak. Oleh itu dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan al-maslahah adalah menolak mudarat dalam rangka memelihara tujuan syarak yang meliputi lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

b)      Pendapat Said Ramadan al-Buti. Menurut beliau, maslahah adalah manfaat yang ditentukan oleh Maha Pencipta untuk kepentingan hamba-Nya, dengan tujuan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. (Muhammad Said Ramadan al-Butiyy 2000 : 27)

Berdasarkan definisi-definisi tersebut, dapat disimpulkan bahawa adanya persamaan persepsi antara satu sama lain iaitu :

a)      Maslahah secara terminalogi harus berada dalam ruang lingkup tujuan syarak, tidak boleh disandarkan kepada keinginan hawa nafsu.

b)      Maslahah haruslah mengandungi dua unsur penting iaitu meraih manfaat dan menolak mudarat.

Mursalah pula bererti mutlak, iaitu bebas, tidak diikat dengan dalil yang memperakukannya atau dengan dalil yang menolaknya (Abdul Karim Zaydan 2009 : 188).

Maslahah mursalah dalam satu istilah khusus pula diertikan sebagai satu method pengeluaran hukum yang tiada dalil khusus mengenainya dan tidak pula diketahui penerimaan dan penolakan syarak terhadapnya. (Ramadhan Abd al-Wadud 1987 : 162)


3.0       PEMBAHAGIAN MASLAHAH

Ulama usul telah membahagikan maslahah kepada tiga bahagian iaitu maslahah dari sudut kekuatan zat, dari sudut umum dan khusus dan dari sudut perakuan dan penolakan syarak.

 i.                    Sudut kekuatan zat
Pembahagian maslahah dari sudut ini terbahagi kepada tiga iaitu:

a)                  Maslahah daruriyyah iaitu maslahah utama dalam kehidupan manusia dan tidak boleh diabaikan. Sekiranya ia diabaikan, tiada lagi keseimbangan dalam kehidupan sama ada di dunia atau di akhirat. (H.Said Agil Husin al-Munawar 1998 : 63). Maslahah ini dapat disimpulkan sebagai penjagaan terhadap lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta.

b)                  Maslahah hajiyah iaitu maslahah yang menjadi keperluan kepada manusia bagi memudahkannya menjalani kehidupan dan mengelakkan kesulitan serta kesukaran dalam kehidupan. (H.Said Agil Husin al-Munawar 1998 : 63).  Namun, ketiadaannya tidaklah membawa kepada kepincangan seperti tiadanya maslahah daruriyyah. Contohnya, diberikan rukhsah kepada orang yang bermusafir untuk berbuka puasa dan melakukan jamak dan qasar.

c)                  Maslahah tahsiniyyah iaitu maslahah yang menyempurnakan kehidupan manusia. Sekiranya maslahah ini tiada, tidaklah membawa kepada ketidaktenteraman dan porak peranda, berbeza jika tidak dijaga maslahah daruriyyah, dan tidak juga membawa kesulitan dalam kehidupan manusia seperti ketiadaan maslahah hajiyah. Namun, ketiadaannya akan membawa kepada ketidaksempurnaan dalam kehidupan. Antara contohnya ialah menjaga adab ketika makan dan minum dan memakai pakaian yang cantik pada hari raya.

ii.                    Sudut umum dan khusus

Selain itu, maslahah juga boleh dilihat dari sudut ruang lingkup sama ada ia umum atau khusus iaitu maslahah ‘ammah, maslahah aghlabiyyah dan maslahah khassah.

a)                  Maslahah ‘ammah iaitu maslahah yang merangkumi seluruh manusia. Contohnya pensyariatan membunuh ahli bid’ah jika dibimbangi golongan ini akan mempengaruhi umat Islam dengan perbuatan bid’ah yang mereka lakukan. (Muhammad Ahmad Burkab 2002 : 45)

b)                  Maslahah aghlabiyyah merupakan maslahah yang hanya melibatkan sebahagian besar manusia sahaja. Contohnya jaminan yang dikenakan ke atas pengilang terhadap produk yang dikeluarkan oleh mereka. Ini kerana yang berurusan dengan pengilang hanyalah sebahgaian besar manusia sahaja dan bukannya keseluruhannya. (ibid 2002 : 45)

c)                  Maslahah khassah pula adalah maslahah yang merujuk kepada kemaslahatan individu tertentu pada situasi tertentu. (ibid 2002 : 45) Contohnya adanya kemaslahatan bagi seorang isteri agar hakim menetapkan keputusan fasakh kerana suaminya hilang. (H.Said Agil Husin al-Munawar 1998 : 64).


iii.                    Sudut perakuan dan penolakan syarak

Maslahah juga boleh dibahagikan kepada tiga bahagian jika dilihat dari sudut penerimaan oleh syarak (melalui al-Quran dan al-Sunnah). Maslahah-maslahah tersebut adalah seperti berikut:-

a)                  Maslahah mu’tabarah iaitu maslahah yang sabit dengan nas atau ijmak (Ramadan Abd al-Wadud 1987 : 150). Dengan erti kata lain, maslahah tersebut diperakui oleh syarak sama ada melalui nas atau ijmak. Contohnya pensyariatan hukuman had ke atas penzina. Ia bertujuan menjaga keturunan dan nasab manusia yang terdapat nas al-Quran yang memperakui hukuman tersebut. Firman Allah S.W.T:


   ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٲحِدٍ۬ مِّنۡہُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٍ۬‌ۖ                                         
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.(Surah an-Nur, ayat 2)
   
Pada nas di atas, syarak memperakui hukuman sebat ke atas penzina. Ia bertujuan untuk memelihara kemaslahatan umat manusia dari segi menjaga keturunan dan ia bertepatan dengan prinsip maqasid shar’iyyah.

b)                  Maslahah mulghah pula adalah maslahah yang tidak diperakui oleh syarak melalui nas-nas secara langsung. Contohnya pembahagian sama rata antara lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta pusaka.(Abdul Karim Zaydan 2009 : 187). Walaupun pada awal kelihatan ia memberikan kesaksamaan pembahagian harta pusaka kepada kedua-dua belah pihak, namun ia tidak diiktiraf oleh syarak berdasarkan firman Allah S.W.T:
c)                   

    يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ فِىٓ أَوۡلَـٰدِڪُمۡ‌ۖ لِلذَّكَرِ مِثۡلُ حَظِّ ٱلۡأُنثَيَيۡنِ‌
Maksudnya : Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.(Surah an-Nisa', ayat 11)

Pada ayat di atas, Allah telah menetapkan bahawa dalam pembahagian harta pusaka, lelaki mestilah memperolehi bahagian yang lebih daripada perempuan dengan nisbah 2:1. Oleh itu, pembahagian secara sama rata antara lelaki dan perempuan adalah terbatal.


d)                 Maslahah mursalah iaitu maslahah yang tiada dalil khusus mengiktirafnya sama ada menerima atau menolak. Ia merupakan antara bentuk yang paling sesuai bagi menggambarkan nilai fleksibiliti perundangan Islam. Ini kerana terdapat banyak contoh yang menunjukkan kaedah ini begitu relevan untuk diaplikasikan. Antara contohnya ialah pengumpulan al-Quran dalam satu mushaf pada zaman Saidina Abu Bakar, mengenakan cukai tanah (kharaj) terhadap tanah pertanian yang dirampas oleh tentera Islam dan tidak membahagikannya kepada tentera-tentera Islam pada zaman Saidina Umar al-Khattab.

Semua perkara ini tidak dinyatakan secara jelas oleh Allah S.W.T melalui nas-nas Al-Quran mahupun hadis sama ada diperakui atau ditolak.


4.0       KEHUJAHAN MASLAHAH MURSALAH

Maslahah mursalah merupakan salah satu dalil yang tidak disepakati di kalangan ahli-ahli usul. Oleh itu, kehujahan maslahah mursalah boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pendapat yang menerima dan pendapat yang menolak.

1)      Pendapat Yang Menerima

Terdapat beberapa ulama yang menerima maslahah mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum. Antaranya ialah Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal dan juga Imam al-Ghazali. Namun begitu, hanya Imam Malik sahaja yang menerima maslahah mursalah sebagai hujah mutlak. Walaupun demikian, golongan yang menerima maslahah mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum amat berhati-hati agar tidak berlaku pembentukan hukum berdasarkan keinginan dan nafsu.

                    i.            Golongan yang menerima maslahah mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum berhujah bahawa seandainya secara tersirat diperakui maslahah mursalah tetapi ia tidak diambil kira, maka setiap mukallaf akan mengalami kesulitan sedangkan Allah berfirman:



 وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِى ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٍ۬‌ۚ
Maksudnya: Dan Dia tidak sekali-kali menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan
  (Surah al-Hajj, ayat 78)

Berdasarkan ayat di atas, dapat dilihat bahawa Allah tidak akan menjadikan kesulitan kepada hambaNya. Oleh itu, pengeluaran hukum berdasarkan maslahah mursalah bertepatan dengan tujuan pensyariatan iaitu untuk menjaga kemaslahatan. Ini kerana hukum berkaitan permasalahan manusia sering berubah mengikut masa dan keadaan. (Wahbah al- Zuhaili 1998 : 759)

                  ii.            Maslahah mursalah telah menjadi amalan para Sahabat dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Permasalahan tersebut juga turut merangkumi hak individu. Contohnya isu pengumpulan al-Quran oleh khalifah Abu Bakar. Tujuannya ialah bagi menjaga kemaslahatan umat Islam. (Muhammad Ahmad Burkab 1994 : 135). Selain itu, khalifah Umar juga telah menjatuhkan hukuman buang daerah ke atas seorang lelaki kerana kerana memiliki rupa paras yang menawan. Ini bertujuan bagi mengelakkan timbulnya fitnah dalam kalangan masyarakat.

                iii.            Masalah manusia dan cara merealisasikannya berubah mengikut perubahan masa dan keadaan. Ini kerana nas terhad sedangkan masalah yang dihadapi oleh manusia sentiasa berubah dan berkembang. Permasalahan tersebut memerlukan kepada  hukum yang baru apabila menemui sesuatu perkara yang belum pernah dihukumkan sebelumnya. Oleh itu, keperluan kepada maslahah mursalah dilihat amat perlu bagi menjaga kemaslahatan seluruh umat manusia.

                iv.            Sekiranya pendekatan maslahah mursalah tidak digunakan dalam perkara yang berkaitan menjaga kemaslahatan manusia, maka tujuan disyariatkan perundangan itu tidak akan tercapai kerana perundangan Islam disyariatkan bagi menjaga kemaslahatan dan menyempurnakan hidup manusia. Ini kerana manusia memerlukan panduan dalam kehidupan terutamanya bagi perkara yang baru. Sekiranya maslahah mursalah tidak diambil dalam perundangan yang terdapat ruang padanya bagi menjaga kemaslahatan manusia, sudah pasti akan berlakulah kerosakan.   (Badran Abu Ainin Badran 1965 :303)


2)      Pendapat Yang Menolak

Selain golongan yang menerima, terdapat juga golongan yang menolak maslahah mursalah sebagai salah satu sumber pengeluaran hukum. Antaranya ialah Imam Abu Hanifah dan juga Imam Syafie. Mereka mempunyai hujah yang tersendiri untuk menolak maslahah mursalah.
     
                    i.            Golongan ini menolak maslahah mursalah sebagai sumber hukum kerana ia akan membuka ruang kepada seseorang untuk mengeluarkan hukum tanpa berpandu kepada nas tetapi berdasarkan hawa nafsu. Ini kerana perkara tersebut tidak terdapat di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah. Oleh itu, seseorang itu tidak terikat dengan nas dalam pengeluaran hukum dan boleh mengeluarkan hukum menurut hawa nafsu.(Wahbah al-Zuhaili 2000 : 32)

                  ii.            Seseorang itu akan bermudah-mudah dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Menurut mereka perkara ini akan mengakibatkan terbinanya hukum yang tidak sepatutnya dalam perundangan kerana tidak terdapat sekatan dalam mengeluarkan hukum berdasarkan maslahah mursalah.(Zakiyy al-Din Sha’ban 1971 : 168)

                iii.      Allah Yang Maha Bijaksana menurunkan syariat yang datang dalam bentuk nas untuk merealisasikan kemaslahatan kepada manusia. Oleh itu, pembinaan hukum melalui maslahah mursalah menunjukkan bahawa Allah S.W.T meninggalkan sebahagian daripada maslahah dalam syariat yang diturunkan kepada manusia. Ini menunjukkan bahawa perundangan yang diturunkan oleh Allah sama ada al-Quran atau al-Sunnah tidak lengkap.

                iv.      Golongan ini juga berhujah bahawa beramal dengan maslahah mursalah akan membawa hukum yang berbeza pada zaman yang berbeza. Perkara ini akan menafikan sifat umum perundangan yang diturunkan oleh Allah S.W.T yang  ia bersesuaian pada setiap masa dan tempat. (Zakiyy al-Din Sha’ban 1971 : 168)


5.0       SYARAT-SYARAT BERAMAL DENGAN MASLAHAH MURSALAH

Para ulama telah menetapkan beberapa syarat penggunaan maslahah mursalah sebagai sumber hukum yang tidak disepakati. Namun begitu, terdapat dua perbezaan dalam hal tersebut. Pertamanya, syarat-syarat yang diletakkan oleh ulama yang menerima dan yang kedua  pula bagi ulama yang menolak.

Syarat-syarat ulama yang menerima 
Terdapat beberapa syarat yang ditetapkan oleh ulama yang menggunapakai maslahah mursalah sebagai sumber hukum. Antaranya :

1.      Maslahah itu dipastikan wujudnya dan bukan sangkaan (waham) sahaja.( Mohd Salleh Haji Ahmad 1999 : 126)

2.      Tidak terdapat dalil yang membatalkannya. Hal ini kerana tidak boleh berijtihad dalam masalah yang ada nas walaupun tidak ternyata hikmahnya. ( Ibid)

3.      Maslahah tersebut hendaklah umum bukan khusus kepada sesuatu kelompok sahaja.(Ibid)

4.      Maslahah tersebut boleh diterima oleh akal jika diterangkan kepada orang yang berakal.( Amin al-Jarumi 2009 : 89)

5.      Digunakan untuk menjaga keperluan manusia dan menolak kepayahan. (Abdul Karim Zaidan 1987 : 242) 

Sebagai contoh, pengumpulan al-Quran oleh Khalifah Abu Bakar r.a. Perkara ini tidak pernah dilakukan semasa zaman Rasulullah SAW. Saidina Umar r.a telah mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar r.a supaya nas-nas al-Quran ini dikumpul dan dibukukan di dalam satu mushaf. Kemudiannya Saidina Abu Bakar telah mengambil kira keadaan semasa iaitu kebanyakan para penghafal al-Quran telah syahid di medan perang dan faktor-faktor lain lagi. Maka dengan itu, Zaid bin Thabit r.a telah dilantik sebagai untuk menulis semula ayat-ayat al-Quran di dalam satu mushaf.

Peristiwa ini menjadi  contoh bahawa maslahah itu wujud dan bukan sangkaan. Sekiranya tidak dikumpulkan al-Quran dalam satu mushaf kemungkinan besar akan mendatangkan kepayahan apabila hendak merujuk ayat-ayat al-Quran. Selain itu, pengumpulan al-Quran itu tidak mempunyai dalil yang menyuruh dan dalil yang membatalkan. Ia bertujuan untuk memelihara agama Islam.

Di samping itu, pengumpulan al-Quran merupakan maslahah yang umum dan bukan khusus kepada sesuatu kelompok. Ini kerana usaha pengumpulan al-Quran bertujuan menjaga kemaslahatan umat Islam dan bukannya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Dalam kata lain, usaha tersebut untuk menjaga keperluan umat Islam dan kemulian agama Islam serta menolak kepayahan. 

            Oleh itu, jelaslah bahawa ulama yang mengunapakai maslahah mursalah sebagai sumber hukum bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia yang tidak disebut di dalam nas al-Quran dan al-Sunnah.

Syarat-syarat ulama yang menolak
Terdapat juga ulama yang tidak mengambil maslahah mursalah sebagai sumber hukum. Walaupun begitu, terdapat pendapat daripada golongan tersebut yang menetapkan beberapa syarat yang harus dipenuhi sekiranya dalil ini ingin digunakan.  Antaranya :

1.      Hendaklah maslahah itu di tahap darurat bukan sekadar hajat sahaja.(Mohd Salleh Haji Ahmad 1999 : 126)
2.      Kulliyyah bukan juziyyah. ( 1999 : 126)

3.      Ketetapan hukum yang boleh dilaksanakan menerusi dalil ini adalah semata-mata dalam bahagian muamalah bukan perkara ibadah. (Abdullah Ishak 1997 : 93)

4.      Maslahah-maslahah tersebut tidak berlawanan dengan salah satu daripada tujuan perundangan Islam yang asas. (Ibid)

5.      Sesuatu maslahah itu hendaklah ada dan diyakini di sisi syarak yang boleh memberi manfaat dan mencegah mudarat. (Ibid)

Misalnya apabila orang kafir menjadikan tawanan Islam sebagai perisai mereka. Maka, tentera Islam harus memerangi mereka walaupun terpaksa membunuh dan mengorbankan tawanan Islam bagi menegakkan kebenaran dan menghancurkan kekufuran. Ini jelas menunjukkan bahawa maslahah itu di tahap darurat bukan lagi sekadar hajat.

Selain itu, maslahah tersebut adalah kulliyah dan juziyyah. Ini kerana, sekiranya tidak dikorbankan tawanan Islam yang dijadikan perisai oleh tentera musuh, berkemungkinan musuh akan menyerang tentera Islam dan merampas negara Islam. Oleh itu, lebih banyak kerosakan akan berlaku terhadap agama Islam dan umatnya. Di samping itu, terpaksa mengorbankan tawanan Islam ini juga bertujuan menjaga asas-asas perundangan Islam seperti menjaga agama dan nyawa . Hal ini kerana,  jika tidak berbuat demikian dikhuatiri akan mengancam nyawa penduduk Islam yang lain serta agama Islam tu sendiri. 

Dalam kata lain, dengan mengorbankan tentera Islam yang dijadikan perisai, diyakini di sisi syarak akan memberi manfaat kepada semua umat Islam yang lain dan mencegah kemudaratan. Oleh itu, hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di atas, sekiranya ingin menggunapakai dalil ini sebagai sumber hukum.


6.0       CONTOH PENGGUNAAN MASLAHAH MURSALAH

Contoh-contoh pengunaan maslahah mursalah dalam dilihat dalam beberapa perkara. Antaranya ialah:
1.      Pengumpulan al-Quran yang dilakukan pada era pemerintahan khulafa’ al-rāshidin yang pertama, Saidina Abu Bakar r.a. Pengumpulan al-Quran ini tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Namun begitu, Saidina Umar al-Khattab yang melihat keperluan terhadap pengumpulan dan pembukuan al-Quran dalam satu mūshaf telah mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar r.a, melihat kepada perlunya menjaga al-Quran kerana ia merupakan kalam Allah yang merupakan panduan kepada umat Islam, Saidina Abu Bakar r.a telah memerintahkan Zaid Ibn. Thabit r.a untuk menulis semula ayat-ayat  al-Quran dalam satu mūshaf (Rosmawati Ali 1997 : 48). Peristiwa pembukuan al-Quran ini adalah bagi menjaga kemuliaan al-Quran itu sendiri dari hilang di samping dapat menjaga kedaulatan agama Islam.

2.      Maslahah mursalah turut digunakan dalam penambahan hukuman terhadap peminum arak. Dalam hadis Rasulullah s.a.w ada disebut berkenaan hukuman terhadap peminum arak. Contohnya :

إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم
Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka 
   ( Riwayat Abu Daud)


أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali
 (Riwayat Muslim)


Hadis pertama menerangkan hukuman minum arak iaitu disebat manakala hadis kedua pula menerangkan mengenai jumlah sebatan yang dikenakan ke atas peminum arak iaitu sebanyak 40 kali sebatan. Walau bagaimanapun, semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah menggandakan hukuman terhadap peminum arak kepada 80 kali sebatan. Ini berdasarkan konsep maslahah bagi menjaga akal. Ini kerana, apa seseorang itu meminum arak, ia akan kehilangan kewarasan akal.

3.      Pendapat Ibn Abi Laila yang membolehkan kanak-kanak menjadi saksi dalam kes yang melibatkan kecederaan yang terjadi antara mereka di tempat mereka bermain seperti padang permainan dan lain-lain. Kanak-kanak dibolehkan menjadi saksi pada masa ini kerana mereka biasa ke tempat ini dan jarang bercampur dengan orang yang layak menjadi saksi. Maka, dengan menggunakan maslahah mursalah ini, iaitu bagi menjaga kemaslahatan terhadap nyawa, kanak-kanak diberikan kelayakan untuk menjadi saksi dalam masalah ini agar ia selaras dengan maqāsid shari’ah bagi memenuhi jaminan orang ramai tidak mengira peringkat umur. Walaupun pada asalnya pembawaan saksi hanyalah terhad terhadap mereka yang telah mencapai umur baligh dan berakal, namun, bagi mengelakkan kesalahan dan kecederaan yang dilakukan oleh kanak-kanak terbabit dilepaskan begitu sahaja, penyaksian kanak-kanak perlu diambil kira. Ini perlu agar perbicaraan dapat dilaksanakan dan hukuman yang setimpal dapat diambil. Tindakan menerima penyaksian ini bertepatan dengan tujuan menjaga kemaslahatan jiwa, di samping dapat mengelakkan individu yang bersalah mengulangi kesalahan yang dilakukannya kerana merasakan tidak akan dikenakan tindakan.

4.      Pengumpulan hadis dan ilmu yang berkaitan dengan hadis dibukukan. Menurut Ibn ‘Asākir apabila dilihat pada akal, pengumpulan ini seolah-olah merosakkan adab sebagai orang Islam kerana melakukan perbuatan yang tidak dilakukan oleh Nabi. Namun tujuan pengumpulan hadis ini sebenarnya adalah untuk mengelakkan hadis-hadis yang amat berguna ini hilang begitu sahaja. Oleh itu, mereka bertekad untuk mengumpulkannya agar ia dapat dijadikan bukti ataupun panduan dalam mengistinbat sesuatu hukum. Maka, mereka mula membukukan hadis Nabi ini dengan menyusun ilmu-ilmu berkaitan dengan hadis ini mengikut bab bagi memudahkan orang ramai mempelajarinya dan dapat juga mengelakkan manusia daripada mengambil hadis yang tidak benar. Pengumpulan hadis ini sama seperti pengumpulan al-Quran yang pada asasnya adalah untuk kemaslahatan agama agar sumber perundangan ini tidak hilang begitu sahaja dan ia juga memudahkan manusia untuk mengistinbat hukum berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Namun begitu, pengumpulan hadis ini pada zahirnya dilihat bercangah dengan sabda baginda.

لا تكتبوا عني ومن كتب عني القرأن فليمحه

Maksudnya: Jangan kamu tulis sesuatu yg telah kamu terima dariku selain Al-Quran. Barang siapa menulis sesuatu dariku selain Al-Quran hendaklah ia memadamnya.

Berdasarkan hadis di atas, Baginda Rasulullah s.a.w melarang penulisan hadis apatah lagi untuk mengumpulkannya. Namun begitu, ulama menyatakan bahawa, larangan penulisan hadis ini hanyalah ketika era permulaan Islam. Pada ketika itu, iman umat Islam masih lemah dan dikhuatiri akan tertukar dengan ayat-ayat al-Quran. Namun begitu, selepas berlalunya zaman Sahabat, para tabiin melihat keperluan untuk mengumpulkan hadis ini dalam sebuah kitab. Di mana, ia bagi menjaga agama daripada diporakperandakan oleh golongan-golongan yang suka mencipta hadis palsu dan mereka yang tidak mempercayai hadis.

5.      Antara fatwa kontemporari pada hari ini yang menggunakan maslahah mursalah adalah berkenaan dengan hukum merokok. Dalam bab merokok, tiada sebarang nas yang membolehkan atau melarang perbuatan itu. Oleh yang demikian, bagi mereka yang mengharuskan menghisap rokok, telah menggunakan dalil bahawa asal sesuatu itu adalah harus sehingga ada dalil yang menyatakan sebaliknya. Namun begitu, melihat kepada kemudharatan yang dibawa oleh rokok itu, ramai ulama yang memfatwakan haram menghisap rokok. Ini kerana, merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan diri sendiri, malah turut memudaratkan kesihatan mereka yang berada disekeliling perokok tersebut disamping turut melakukan pembaziran wang dengan menyalurkannya ke jalan yang sia-sia. Dalam kes ini, jelas penggunaan maslahah mursalah sebagai dalil pengeluaran hukum haram merokok dengan matlamat untuk menjaga nyawa, diri dan harta.


7.0       KESIMPULAN

Kesimpulannya maslahah mursalah merupakan sumber hukum yang tidak disepakati dan berperanan dalam menetapkan hukum-hukum yang tidak ada peruntukan nas al-Quran dan Hadis. Hal ini kerana wujudnya permasalahan baru yang memerlukan kepada penetapan hukum. Maslahah mursalah ini juga tidak ada nas yang menolak dan nas yang menerima. Melaluinya hukum dapat ditetapkan mengikut piawaian semasa dalam konteks masyarakat hari ini.. 

            Di samping itu, kesepakatan jumhur dalam menerima kaedah ini sebagai salah satu dalil untuk menetapkan hukum berkenaan maslahah tertentu kecuali perkara ibadat. Hal ini kerana perkara ibadat telah diperuntukkan nas baginya. Tambahan lagi, dalil ini bertujuan menjaga lima perkara utama dalam agama iaitu menjaga agama, akal, nyawa, harta dan maruah. Hal ini kerana dengan terjaga lima perkara utama tersebut manusia akan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

            Oleh itu, maslahah mursalah merupakan salah satu dalil sumber hukum tidak disepakati yang sesuai diamalkan pada masa kini supaya hukum-hukum yang ditetapkan selari dengan maslahah dan suasana masyarakat Islam pada hari ini serta tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Rujukan

Al-Quran

Abd Karim Zaydan. 2009. al-Wajiz fi Usul Fiqh. Beirut: Resalah Publisher

Al-Buti Muhammad Said Ramadhan. 2000. Dawabit al-Maslahah fi shari’ah al- Islamiyyah. Beirut: Resalah Publisher.

Badran Abu Ainin Badran. 1965. Usul al-Fiqh. Mesir,: Dar al- Maarif.
Dr. Wahbah Zuhailli. 1998. Usul al-Fiqh al-Islami. Jilid 2. Damsyik: Dar al-Fikr.

Dr. Wahbah Zuhaili. 2000. Usul al-Taqrib Baima al-Mazahib al-Islamiyyah. Damsyik: Dar al-Maktabi.
H.Said Agil Husin al-Munawar. 1998. Konsep al-Maslahah Sebagai Salah Satu Sumber Perundangan Islam Dalam Jurnal Islamiyyat. Jilid 18&19. Bangi: Ukm.
Ibn Manzur. t.t. Lisan al-Arab. Beirut : Dar al-Fikr.

Mohd Amin al-Jarumi. 2005.  Pembuktian Dalam Syariat Islam. Shah Alam, Selangor: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti teknologi Mara.
Mohd. Saleh Ahmad. 1999.  Pengantar Syariat Islam. Kuala Lumpur:  Pustaka Abdul Majid.
Muhammad Ahmad Burkab. 2002. Al-Masalih al-Mursalah wa Atharuha fi Murunah al-Fiqh Islami. Dubai: Dar al-Buhuth.

Prof. Madya Dr. Abdullah Ishak. 1997. Sumber Perundangan Islam dan Tanggungjawab Muslim. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
Ramadhan Abdul Wadud. 1987. Al-Ta’lil bi al-Maslahah ‘Inda al-Usuliyyin. Kaherah: Dar al-Huda Li al-Taba’ah.

Zakiyy al-Din Sha’ban, Usul al-Fiqh Islami, Beirut, Lubnan, Matobi’ Dar al-Kutub.
Rosmawati Ali. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Muhammad Ahmad Burkab. 1994. Al-Masalih al-Mursalah wa Atharuha fi Murunah al-Fiqh Islami. Beirut, Lubnan: Kuliyyah al-Imam al-Auzai’ li Dirasa tal-Islamiyyah.


Saiful Amal bin Musahudin
Muhammad Hilmi bin Fadzil
Muhammad Rozaini bin Ahmad
Nor Azam bin Omar


5 comments:

  1. Imam syafie menggunakan mursoleh al mukhtabarah..Harap penulis membincangnya juga.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum....
    mintak izin untuk ambil maklumat dan menggunakannya dalam tugasan saya...t.kasih
    semoga dimudahkan segala urusan anda... :)
    JazakAllahu Khairan

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum.. saya nak minta izin untuk mengambil maklumat ini bagi tujuan presentation pembelajaran.

    ReplyDelete